Atas pengalaman yang sangat luas ini, kerajaan mengamanahkan beliau memimpin Mara yang disifatkan sebagai sebuah badan milik kerajaan yang amat dekat dengan hati penduduk bumiputera luar bandar untuk terus melangkah dengan penuh gagah seiring usianya yang bakal mencecah 53 tahun pada 1 Mac ini.

Sewaktu diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurufoto SHIDDIEQIIN ZON di pejabatnya di Ibu pejabat Mara, baru-baru ini, beliau berkongsi misi, visi dan idea bagi memajukan golongan bumiputera. Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan pendidikan dalam meningkatkan sosioekonomi bumiputera.

MINGGUAN MALAYSIA: Mara sebagai sebuah institusi yang sangat dekat dengan rakyat terutamanya bumiputera sering diberikan harapan sangat tinggi untuk mengubah nasib golongan luar bandar, bagaimana Dr. sebagai pengerusi yang baharu mahu menterjemahkan hasrat tersebut?

DR. HASNITA: Paling penting untuk mengubah nasib sesiapa pun ialah melalui pendidikan. Bukan pendidikan akademik saja tetapi juga bidang kemahiran sebab di masa hadapan kita tidak tahu jenis pekerjaan atau sektor pekerjaan mana lebih mustahak. Jadi kita perlu sediakan pelajar kita untuk masa hadapan. Bagi saya perlu juga naikkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) luar bandar dan miskin bandar. Sekarang ramai orang luar bandar sudah ke bandar tetapi menjadi miskin bandar. Memang betul, Malaysia ada sekolah nasional tetapi peranan Mara adalah memberi pendidikan bertaraf tinggi kepada masyarakat seperti ini yang tidak mempunyai peluang. Inilah peluang yang boleh Mara boleh berikan sebab kita ada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM) untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan universiti. Kedua, melalui keusahawanan kepada penduduk luar bandar yang sudah ada pengalaman dan minat hendak masuk dalam perniagaan. Bukan sahaja beri bantuan kewangan tetapi juga latihan, premis dan sokongan.

Dr. mempunyai PhD dalam bidang Nuklear Fizik dari Universiti Oxford, bagaimana Dr. akan menggunakan kepakaran yang ada untuk memajukan lagi Mara?

DR. HASNITA: Selepas menamatkan pengajian PhD, saya bekerja di London sebab minat bekerja dalam bidang kewangan. Saya bekerja di syarikat di Coopers & Lybrand. Saya dilatih sebagai aktuari yang ada disiplin ekonomi dan kewangan. Dari situ saya berkerja dengan beberapa bank di London sebelum pulang ke Malaysia. Kemudian bekerja di Arab Saudi, Kuwait dan pulang semula ke London dan selepas itu ke Amerika Syarikat (AS) pula. Jadi saya mempunyai banyak pengalaman dalam perniagaan. Saya juga pernah ada satu syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan kemudian menjadi syarikat global dengan mempunyai pejabat di Dubai, London dan AS. Jika seorang anak Malaysia dari kampung pun boleh buat perniagaan global, orang lain juga boleh lakukan. Daripada pengalaman ini banyak yang boleh dilaksanakan di Mara tetapi paling penting disiplin kewangan kerana kita hendak pastikan setiap ringgit yang diberikan oleh kerajaan dapat memberikan manfaat kepada orang ramai. Jadi, kita kena sangat berdisiplin ketika membelanjakan wang dan pastikan tidak membazir.

Apabila hendak membuat sesuatu peruntukan atau projek, kita kena kaji betul-betul bukan sekadar idea sahaja tetapi lihat juga sama ada memberi manfaat dari segi kewangan atau peluang dalam meningkatkan pengetahuan. Kita mendapat geran daripada kerajaan dan mahukan setiap ringgit memberikan kesan berganda. Disiplin ini bukan hanya ditetapkan oleh saya tetapi juga ahli majlis lain yang terdiri daripada golongan korporat dan perniagaan. Kadang-kadang kita gagal tetapi kita belajar. Gagal juga bagus sebab kita belajar. Contohnya apa kemahiran dan faktor kompetitif yang Mara ada. Ini termasuk dalam bidang pelaburan, apakah peluang kompetitif kita, pesaing, saiz pasaran dan bagaimana kita menggunakannya sepenuhnya dan apakah pelan keluar yang ada. Semua benda perlu dilakukan kajian kebolehupayaan terlebih dahulu seperti hendak membina MRSM di tempat baharu, kita mesti tanya adakah lokasinya betul, berapa jumlah pelajar, adakah jauh? Sayang kalau MRSM itu tidak dipenuhi 100 peratus. Ini hanya satu pembaziran.

Berdasarkan kualiti yang ada di Mara apakah potensi yang boleh dibangunkan lagi?

DR. HASNITA: Dari segi tenaga kerja ramai berkualiti dan saya juga hairan mengapa mereka tidak bekerja di sektor korporat tetapi ini boleh memanfaatkan lagi Mara. Sekarang saya hendak berikan rangka kerja seperti tadbir urus, kawalan dala­man dan hala tuju serta strategi yang betul supaya mereka boleh melaksanakan tugas tanpa was-was dan lebih cemerlang lagi. Kita sebagai Ahli Majlis yang baharu memberi kebebasan dan akan bekerja dengan lebih dekat bersama pengurusan supaya mereka faham ke mana hala tuju kita.

Potensi bidang yang ditawarkan Mara seperti pendidikan, pelaburan dan keusahawanan bagaimana?

DR. HASNITA: Dalam pendidikan Mara kini dalam proses memposisikan pendidikan Mara bagi melahirkan 10 peratus pelajar cemerlang di Malaysia dan kemudian kita mahu pelajar kita yang ke luar negara fokus universiti mana yang boleh membawa balik manfaat ilmu contohnya China, Korea, Jepun, Jerman dan AS. Pada masa sama, kita berharap dapat mengkaji kurikulum dan subjek di sana supaya dapat memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan. Selain itu, Mara juga ada institusi pendidikan tinggi yang berpotensi seperti German-Malaysia Institute (GMI). Saya difahamkan sebanyak 93 peratus lepasan Institut Malaysia-Jepun mendapat pekerjaan dan gaji permulaan RM5,000. Inilah sasaran kita bukan hanya dapat pekerjaan tetapi juga dengan gaji tinggi. Jadi untuk mencapai sasaran Malaysia menjadi negara maju kita perlu melahirkan pekerja yang bersedia dengan perubahan industri.

Selain itu, kita juga mempunyai banyak pejabat Mara di luar negara. Misalnya di AS mungkin pejabat Mara boleh berperanan sebagai pemudahcara mencari syarikat bagi pelajar Malaysia menjalani latihan praktikal selama enam atau 12 bulan agar mereka dapat pengalaman bekerja. Kita juga fokus untuk meningkatkan kualiti dan melatih guru bagi mencapai standard ditetapkan. Pada masa sama kita kena wujudkan pelajar yang lebih holistik seperti terlibat dalam sukan sebab tidak semua pelajar cemerlang dalam akademik. Ada yang hebat dalam tenis, golf, badminton dan lain-lain jadi kita kena bantu mereka. Sistem di AS misalnya, kalau cemerlang dalam golf mereka akan diberikan biasiswa dan pada masa sama boleh belajar subjek lain.

Bidang keusahawanan pula, disebabkan suasana ekonomi yang amat mencabar yang pertama kita perlu lakukan adalah menjaga usahawan sedia ada. Kita tidak mahu memberikan pinjaman kepada usahawan kemudian lupakan mereka. Jika ada potensi kita kena bantu untuk mengharungi kesukaran ekonomi sekarang. Kedua, bagi usahawan yang berjaya, kita mahu membantu supaya menjadi lebih baik, kita akan menyokong mereka untuk kembangkan lagi perniagaan dengan membawa produk mereka ke luar negara. Bagi syarikat permulaan fokus kita untuk tahun ini membantu yang berpengalaman. Kalau baru habis belajar tidak boleh terus masuk bidang perniagaan. Perlu sekurang-kurangnya bekerja dua atau tiga tahun di tempat lain untuk timba pengalaman. Mereka yang baru tamat pengajian dan kemudiannya terus menceburi bidang perniagaan, peluang untuk gagal sangat tinggi. Selain itu, perlu juga belajar asas kewangan dan akaun supaya tidak mudah ditipu. Untuk pelaburan pula, kita akan kaji terlebih dahulu pelaburan yang bakal dibuat.

Adakah Mara mempunyai sasaran untuk pelajar Malaysia memasuki universiti terbaik dunia?

DR. HASNITA: Sasaran kita untuk tahun ini mahu seramai mungkin pelajar masuk universiti terbaik di dunia tetapi saya hairan mengapa pada masa lalu jumlahnya tidak banyak? Dalam fikiran saya bukan tiada pelajar yang layak tetapi kita perlu ada keyakinan untuk memohon dan Mara juga perlu ambil pendekatan proaktif mencari pelajar cemerlang. Dalam simpanan kita, sekurang-kurangnya 23 orang yang layak melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dan Cambridge. Mara ingin menaja kesemua 23 pelajar ini jika boleh dan mahu lebih lagi, sebab bukan senang hendak masuk ke universiti-universiti tersebut.

Setiap tahun kita taja sebanyak 7,000 pelajar ke luar negara dan sepatutnya majoriti daripadanya perlu masuk universiti paling cemerlang di dunia. Ini kerana kebanyakan mereka datang daripada MRSM dan lain-lain. Reputasi kita pada 1970 dan 1980-an di AS, United Kingdom UK) dan Kanada sangat tinggi. Jadi perlu dikembalikan reputasi ini semula.

Era digital bakal menyebabkan beberapa jenis pekerjaan hilang. Bagaimana menyediakan pelajar dan usahawan menghadapi situasi ini?

DR. HASNITA: Ini perkara yang membimbangkan dan saya pun tidak rasa ada negara yang membuat persediaan ke arah itu. Sebagai contoh kalau hendak mendapatkan khidmat nasihat guaman kita sudah boleh melayari laman web. Jadi jika anda seorang peguam dan gagal mencapai standard ditetapkan mungkin anda kehilangan pekerjaan ini nanti. Sekarang orang ramai boleh mendapat jawapan dalam laman web. Malahan, sekarang di Eropah kalau hendak melabur hanya perlu bercakap dengan mesin dan ia mempunyai banyak data untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik daripada manusia. Jadi pekerjaan ini mungkin akan hilang. Disebabkan itu kita kena berfikir, bagaimana untuk melahirkan pelajar yang boleh menggunakan akal fikiran dan kreativiti menyelesaikan dan berhadapan dalam semua keadaan.