Syarikat itu memasuki industri berkenaan dengan melakukan kerja-kerja berkaitan seni bina untuk modul luar pesisir sebelum memperluas perkhidmatannya dengan membekal peralatan dek termasuk pam air serta dek helikopter.

Pada 2006, FMS mendapat pe­ngiktirafan Petronas apabila disenaraikan dalam Program Pembangunan Vendor (VDP). Di bawah bimbingan Petronas, syarikat ber­kenaan berjaya mengikat kontrak dengan syarikat minyak utama di negara ini bagi kerja penyelenggaraan bot-bot penyelamat.

Selaras dengan pemba­ngunan teknologi terkini, FMS telah mendapat pengiktirafan antara lainnya seperti ISO, ABS, SCM dan klasifikasi Llyods. Namun, syarikat itu tidak terke­cuali daripada menerima kesan masalah ekonomi yang melanda sektor minyak dan gas khusus­nya apabila terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat lain pada 2014.

Semua itu tidak melemahkan semangat FMS dan setelah melalui fasa yang agak mencabar, syarikat berkenaan telah bersedia untuk kembali menguasai industri tersebut apabila diberi pengiktirafan berupa kontrak jangka panjang daripada beberapa syarikat minyak utama.

“Bangkit daripada masalah ekonomi yang meruncing, FMS telah mencipta satu lagi penanda aras baharu bersama syarikat pengeluar dari Amerika Syarikat (AS) dan pengilang dari China dengan membawa masuk beberapa produk baharu seperti simulator bot penyelamat, hand gear safety sheaths dan sea jet reel”.

“Selain itu, FMS juga memperluaskan rangkaian menyediakan servis dan jualan peranti pemindahan untuk jenama Reflex Marinebdab Billy Pugh,” kata Presiden FMS, Ungku Mokhsin Ungku Mohamad ketika ditemui Utusan Malaysia di salah sebuah kilang FMS di Indera Mahkota, Kuantan baru-baru ini.

Dengan pengiktirafan diberikan Petronas sebagai vendor, FMS mengorak langkah ke tahap lebih tinggi dalam industri bot penyelamat antarabangsa.

“Tahun lalu, jurutera FMS diberi peluang melakukan kerja-kerja di luar pesisir Filipina. Apabila diberikan kepercayaan membaik pulih dua bot penyelamat terbesar di dunia daripada sebuah syarikat di AS, perkara ini pastinya membuka lembaran baharu yang lebih baik kepada syarikat bagi tahun ini,” katanya.

Kejayaan yang dikecapi itu tidak akan diperoleh tanpa bantuan kakitangan yang terdiri daripada anak-anak tempatan yang telah menjalani latihan di luar negara dan kepakaran mereka diiktiraf kebanyakan syarikat antarabangsa.

Menurut Ungku Mokhsin, semasa mula beroperasi dahulu, pihaknya mengambil kakitangan anak-anak tempatan yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Apabila bekerja di FMS, mereka dilatih menjadi jurutera bot penyelamat dengan dihantar menjalani kursus di AS, China dan Norway dalam tempoh 10 hingga 14 hari.

“Sekarang, kita ambil jurutera yang merupakan pemegang ijazah. Saya berbangga kerana FMS kini merupakan syarikat Melayu tulen di negara ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang bot penyelamat.

“Kini, dalam masa sebulan, kita boleh menjual kira-kira 30 bot penyelamat. Di FMS, kami buat apa yang pesaing kami tidak ada. Sememangnya, pengalaman banyak membantu saya dan pekerja-pekerja di FMS, saya sentiasa memaklumkan kepada mereka tentang erti kesetiaan,” katanya.

Ungku Mokhsin turut berterima kasih kepada Petronas kerana kejayaan FMS adalah hasil bantuan syarikat minyak negara itu.