Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Finas, usah tunduk lagi!

SETIAP kali Festival Filem Malaysia (FFM) menghampiri hari ‘besarnya’, akan gegak-gempitalah dengan pelbagai kontroversi. Ada-ada sahaja cerita yang muncul, baik isu yang sudah lama tertangguh tanpa diselesaikan, mahupun hal baharu yang sengaja di­ciptakan. Tidaklah keterlaluan jika diandaikan, ‘FFM dan kontroversi berpisah tiada.’

Jangan pelik pula, jika tiba-tiba sahaja muncul seorang ‘wira’ dalam kalangan pencetus kontroversi hangat itu. Kononnya untuk dilihat sebagai pejuang yang memperjuangkan golongan itu, golongan ini, macam-macam watak akan tiba-tiba muncul dengan penuh karakter. Kita lihat sahaja.

Terbaharu, isu pengasingan kategori bagi filem yang tidak menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan di dalam karya mereka. Tahun lepas isu ini sebenarnya sudah pun bertingkah. Pun, gendangnya tidaklah dengan paluan yang serancak mana, biasa-biasa sahaja bunyi­nya.

Tahun ini semakin gamat apabila pihak penganjur membuka ruang baharu. Dua kategori baharu diper­kenalkan untuk dimenangi oleh filem yang dihasilkan bukan menggunakan 70 peratus bahasa kebangsaan, itu pilihan penganjur untuk bersikap lebih adil.

Daripada satu kategori yang diperkenalkan pada 2011, tahun ini menjadi tiga kategori. Ini seharusnya disambut dengan baik, disokong dan dihargai, bukan? Tetapi sebaliknya yang berlaku. Pe­nganjur iaitu Perbadanan Filem Nasional (Finas) dan pihak yang diberi tanggungjawab dalam hal eh­wal penjurian, Persatuan Penerbit-Penerbit Filem Malaysia (PFM) ditujah pula dengan pelbagai kritikan pedas.

Tuduhan paling besar dan berbahaya ialah, rasis. Pelik sungguh. Ini sekali gus menimbulkan pertanyaan, apakah kerana mempertahankan keutuhan filem Malaysia dalam bahasa kebangsaan, maka hukuman sebagai rasis pula yang perlu diterima?

Serius, kita akan tertanya-tanya, apakah me­ngangkat dan mempertahankan perlembagaan negara yang sudah termaktub akan kepatuh­an kepada bahasa kebangsaan itu adalah sesuatu yang rasis?

Bahawa bahasa Malaysia atau bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia, maka kita hormatilah. Bahawa filem Malaysia itu perlu melengkapkan kuota sebanyak 70 peratus dalam bahasa kebangsaan itu juga, maka taat saja dengan minda terbuka.

Semalam, di Finas Pitching Centre, di Brickfields, te­lah berlangsung satu acara yang seperti diramalkan agak panas. Acara itu menjadi ‘medan bahas’, meluahkan rasa tidak puas tanpa sebarang kias, satu bab ke satu bab yang lain. Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman menjadi sasaran utama dihujani persoalan. Selain itu, selaku orang kuat PFM yang juga Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Yusof Haslam antara yang tegas menjawab banyak pertanyaan yang diajukan.

Isu ini dibangkitkan sekali lagi. Kenapa perlu ada kategori lain untuk filem bukan bahasa Malaysia, tanya mereka? Kenapa itu, kenapa ini? Mendengar mereka yang bertanya, melontarkan soalan, benarlah jika kita mengandaikan, masih banyak karyawan seni kita bekerja dengan rasa kendiri, seolah-olah seni dan budaya itu, milik mereka seorang diri.

Juga, barangkali mereka lupa seni dan budaya itu, perlu didukung dengan fungsi-fungsi yang tersendiri. Duduk di Malaysia, buat karya yang mahu digelar sebagai filem Malaysia, maka perlulah mendukung nilai-nilai Malaysia itu sendiri.

Tolonglah faham! Sebuah filem yang bagus, perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan. Maka, patuhilah jika mahu berdiri sebagai filem Malaysia dan berada di dalamnya. Menjadi persoalan juga, apakah terlalu susah untuk sebahagian karyawan filem kita untuk sama-sama menyokong dasar bahasa kebangsaan dalam karya seni mereka?

Benar Malaysia ini masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan budaya. Tetapi, dalam kepelbagaian itu, tentunya perlu ada kelestarian yang mendukung kepada keluhuran Perlembagaan. Dalam apa juga bidang, patuhlah kepada kehendak Perlembagaan sesebuah negara.

Di Academy Award atau Anugerah Oscar sendiri, telah lama diwujudkan kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Dari 1947 dalam Academy Award ke-20 sehingga Aca­demy Award ke-88 pada 2015, sebanyak 306 buah filem Bahasa Asing Terbaik telah dipertandingkan. Daripada pencalonan itu, sebanyak 203 filem telah menggunakan bahasa ibunda sendiri, sementara 103 filem pula menggunakan bahasa campuran, selain sebuah filem bisu. Jika kita praktikkan hal yang sama di sini, menjadi masalah besarkah?

Saya petik kata-kata pelakon Ellie Suriaty yang steady dengan lontaran ideanya dalam majlis berkenaan. Kata Ellie; “Jika negara lain mengagungkan bahasa kebangsaan mereka dan boleh menerima peraturan-peraturan sebegini, kenapa karyawan kita susah sangat untuk me­lakukannya? Kenapa hendak dijadikan isu pula?”

Selain itu juga, saya melihat, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Salleh Said Keruak bijaksana dan tenang-tenang saja dalam menangani isu ini. Barangkali beliau mahu memberi sepenuh kepercayaan kepada Finas sebagai agensi yang mengambil tahu akan hal ehwal filem menyelesaikan isu ini dengan sendirinya. Salleh memberi sepenuh tanggungjawab kepada Finas sebagai agensi yang lebih memahami kemelut dan persoalan industri. Terbaik Datuk Seri!

Kepada pihak penganjur, iaitu Finas jangan mengalah lagi kali ini. Ini adalah langkah yang wajar kita ambil. Kita tidak boleh tunduk kepada sebarang anasir untuk merendah-rendahkan bahasa kebangsaan walau dalam apa juga acuannya. FFM-28 akan berlangsung dari 1 hingga 3 September depan. Ini bermakna, gong sudah dipalu, perahu sudah di air. Ayuh, kayuh saja!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain