PERBADANAN Kemajuan Filem Na­sio­nal Malaysia (Finas) merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diberi tanggungjawab memajukan industri perfileman tempatan sejak lebih 30 tahun lalu.
Setiap Ketua Pengarah yang menerajui Finas sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam industri itu yang sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan semasa. Datuk Kamil Othman yang menduduki kerusi itu sejak Oktober 2014 turut tidak ketinggalan bekerja keras dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan strategi demi memastikan para penggiat industri itu terus relevan dan berdaya saing. Wartawan Mingguan Malaysia, ABD. AZIZ  ITAR  menemu bual beliau di ibu pejabat Finas di Hulu Klang, Selangor baru-baru ini, bagi berkongsi perancangan dan harapan Finas dalam mencapai matlamat tersebut.

MINGGUAN: Sejauh manakah Finas telah melalui proses transformasi dalam industri perfileman tanah air?

KAMIL OTHMAN: Industri ini sudah lama berjalan dan filem dilihat sebagai satu bahan eksklusif untuk hiburan semata-mata, sedangkan ia juga salah satu elemen yang boleh dipelbagaikan fungsinya. Contohnya, negara boleh menggunakan filem sebagai alat perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum. Dalam konteks ini, Finas kena melakukan transformasi bukan sahaja bagi membentuk hala tuju dan peranan filem tetapi juga persaingan dengan media-media baharu seperti Internet, iPad, YouTube, online dan digital. Semua medium itu juga boleh dijadikan sebagai bahan-bahan tambah nilai bagi menjayakan matlamat penerbitan sesebuah filem itu. Hollywood sebagai pembikin filem popular dunia sejak dari dulu misalnya, amat bijak dalam mengeksplotasi filem bagi mengangkat martabat negara mereka daripada segi kuasa ekonomi dan ketenteraan dunia secara tidak langsung di mata para penonton. Kita juga perlu menggunakan peranan seperti ini yang secara tidak langsung dalam filem-filem kita.

Bagaimanapun, daripada segi idea kita masih lagi mentah dan belum matang sepenuhnya, namun para penonton kita semakin lama semakin matang serta kritis dalam menilai sesebuah filem. Sebab itu, kita perlu lebih matang dalam menggarap sesuatu karya agar ia seiring dengan kemajuan teknologi-teknologi yang ada pada hari ini. Jadi Finas akan bersama-sama dalam industri ini dalam melakukan transformasi agar agensi ini dapat memacu ke arah yang seperti diharapkan oleh kerajaan dan para penggiatnya.

Apakah langkah-langkah Finas ke arah itu?

KAMIL OTHMAN: Finas telah menyediakan pelan sehingga tahun 2020. Sebagai permulaan pelan dari tahun 2016 hingga 2017 sudah pun ada. Pelan ini disediakan untuk tempoh setiap dua tahun sekali. Apabila ada perancangan maka barulah mudah Finas membuat permohonan kepada kementerian untuk peruntukan bajet dalam aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan kelak. Sebagai contohnya, untuk keperluan dalam bidang produksi, Finas sudah pun memohon peruntukan RM500 juta dan ia termasuk untuk projek-projek pembangunan yang akan dijalankan kelak. Daripada jumlah itu, RM50 juta setahun akan digunakan bagi pembangunan modal insan. Banyak aktiviti yang boleh dijalankan dengan adanya peruntukan itu seperti yang biasa diadakan di Pitching Centre, KL Sentral. Antaranya dengan mengadakan perbincangan, forum, seminar, bengkel termasuk menjemput para pembikin filem berpengalaman dari luar negara bagi berkongsi pengalaman mereka dengan pembikin filem kita.

Dalam konteks ini, kita akan menggunakan segala kemudahan yang ada dalam usaha membentuk satu wadah sebagai bangsa Malaysia yang boleh disatukan melalui filem. Pada masa sama ia juga boleh menjana ekonomi negara. Misalnya, siri televisyen Upin & Ipin telah menjadi popular sebagai sebuah filem dan ia kemudiannya direka menjadi barangan seperti pakaian, alat-alat tulis, beg sekolah dan sebagainya. Ini adalah bukti bahawa filem bukan setakat satu entiti sahaja tetapi ia haruslah dikembangkan menjadi produk-produk lain kerana ia boleh menjana ekonomi dalam skop yang lebih luas. Ia termasuk mampu menjana peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Sejauh mana matlamat seperti itu boleh dicapai?

KAMIL OTHMAN: Biasanya masyarakat melihat impak filem hanya daripada segi hiburan semata-mata, sedangkan kesan yang paling utama di belakang hiburan itu adalah, adakah ia juga boleh menyumbang kepada ekonomi negara? Pada masa sama, kita juga tidak mahu elemen yang membabitkan isu-isu seperti moral, tema dan mesej yang hendak disampaikan dalam filem bertentangan dengan aspirasi negara.

Dalam konteks ini, Finas akan sentiasa berusaha menggalakkan pembikin filem dari luar negara datang menjalani penggambaran produksi mereka di sini. Mereka tentunya akan menggunakan para pekerja tempatan dalam filem-filem mereka. Contohnya, sebuah produksi dari England yang menjalani penggambaran drama bersiri Indian Summer di Pulau Pinang baru-baru ini telah datang lagi sekali ke sini selepas mendapati kita juga menyediakan tenaga kerja seperti kru dan pekerja produksi yang profesional.

Hasilnya lebih 40 peratus rakyat tempatan telah diberi kerja dalam pembikinan karya itu. Kalau sebuah filem memerlukan sekurang-kurangnya 40 tenaga kerja seperti jurukamera, kru dan pekerja di belakang tabir, bayangkan kalau 10 filem asing serentak menjalani penggambaran di sini maka 400 pekerja akan mendapat manfaatnya. Itu tidak termasuk usaha dan galakan yang Finas lakukan untuk pembikin filem kita dalam usaha sama dengan pembikin filem dari luar negara. Cara ini bagi membolehkan pasaran filem itu bukan sahaja untuk tayangan di sini sahaja tetapi juga di negara rakan kongsi mereka.

Selain itu, Finas juga menggalakkan pertukaran maklumat di antara universiti-universiti awam kita dengan universiti di luar negara supaya teknologi serta kepakaran dalam bidang ini dapat membantu meningkatkan lagi mutu filem-filem kita pada masa depan. Industri filem, drama dan muzik di Korea misalnya, telah membuktikan ia bukan sekadar bahan hiburan semata-mata, tetapi drama, fesyen dan muzik K-Pop mereka kini telah menjelajah dan popular di peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, saya lihat produk kita juga boleh jadi seperti mereka. Contohnya, filem Munafik terbitan Skop Production ada potensi untuk dijadikan Munafik 2 ataupun ia boleh diolah semula penerbitannya dalam bentuk komik. Semua itu boleh menjana pendapatan bukan sahaja kepada penerbit tetapi juga orang di sekeliling yang bekerja dengan mereka.