Ini adalah usaha murni sektor penyiaran negara bagi memupuk semangat kasih sa­yang dan cintakan negara dan tidak hanya mengharap rating yang tinggi melalui slot drama dan filem-filem blockbuster. Malahan filem-filem lama yang tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan juga elok dipertontonkan dari semasa ke semasa untuk menyedarkan masyarakat akan susah payah kehidupan semasa era penjajahan dan darurat.

Antaranya filem yang patut ditayangkan dan ditonton ialah filem Sarjan Hassan yang diterbitkan pada 1958 oleh pengarah filem Filipina, Lamberto Avellana. Namun kemudian terpaksa disambung pengarahannya oleh Tan Sri P. Ramlee yang pada ketika itu bertindak sebagai penolong pengarah kerana pengarah asal pulang ke Filipina. Antara lain filem ini mengisahkan Sarjan Hassan lakon layar oleh P. Ramlee telah menyertai Rejimen Askar Melayu di Port Dickson sebelum Perang Dunia kedua berlaku.

Apabila tentera Jepun mula mendarat di Kota Bharu, Kelantan, Hassan yang dinaikkan pangkat Sarjan menge­tuai platunnya untuk mengekang kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu. Namun, dalam satu serangan ke atas pihak Jepun seluruh anggota platunnya ditawan dan diseksa oleh musuh di kem tentera di Melaka yang berpunca daripada kesilapan taktikal serangan. Akibat tidak tahan dengan penyeksaan Sarjan Hassan melarikan diri bagi mendapatkan pertolongan. Semasa cuba melepaskan diri beliau terkena tembakan dan tercedera. Beliau bernasib baik kerana di­selamatkan oleh askar British dari Singapura yang membantu menyerang tentera Jepun walaupun usahanya agak terlewat kerana ramai rakan sepasukan sudah terkorban.

Filem ini turut mengisahkan Buang lakon layar oleh Salleh Kamil yang menjadi tali barut Jepun dan turut menyeksa orang Kampung. Kemuncak daripada penyeksaan itu Salmah lakon layar oleh Saadiah telah dipenjara dan ayahnya hendak dijatuhkan hukuman bunuh oleh Kempetai Jepun atas kesalahan memiliki radio. Hassan yang telah bergabung dengan platun tentera British merancang untuk menggagalkan rancangan tersebut dan berjaya. Beliau bersama anggota platun yang baharu kemudian menyerang kem Jepun sehingga berjaya mengalahkan mereka dan Perang Dunia kedua juga berakhir.

Sungguhpun ada yang mengatakan bahawa filem ini bukanlah berasaskan kisah sebenar, namun semangat juang yang digambarkan dalam filem tersebut wajar diteladani. Malah yang patut dijadikan pedoman dan iktibar adalah gambaran penyeksaan tentera Jepun ke atas orang kampung dan perjuangan mati-matian askar Melayu untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman musuh. Dalam pada itu, terdapat pula penduduk kampung yang meng­khianati negara dan bangsa dengan menjadi mata-mata dan seolah-olah lebih sudu daripada kuah dengan turut menyeksa orang kampung dan hidup senang di atas kezaliman yang dilakukan.

Terdapat juga filem yang mengisahkan kezaliman tentera Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah akibat serangan bom atom oleh tentera Bersekutu di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun. Filem sedih dan sungguh menyayat hati iaitu Bukit Kepong telah diarahkan oleh Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin dan mula ditayangkan di pawagam pada 1982. Filem ini diarahkan berdasarkan fakta sejarah sebenar hasil perbincangan bersama antara pengarah filem, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berdasarkan temu bual dengan pengganas komunis yang menyerah diri. Ia turut mendapat kerjasama daripada penduduk kampung Bukit Kepong selain anggota keluarga polis yang terlibat.

Masyarakat diajak untuk mengambil iktibar dan menyedari betapa kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil jerih payah dan titisan darah anggota keselamatan negara dan keluarga mereka. Sungguhpun terdapat kontroversi yang menganggap ia bukanlah perjuangan tulen kepada kemerdekaan kerana negara masih lagi di bawah pengaruh British usaha murni pengarah filem terdahulu patut dicontohi oleh penggiat filem masa kini.

Lebih daripada itu perjuangan pasukan keselamatan dalam mempertahankan negara tidak patut dipertikaikan. Tanpa pengorbanan mereka, keamanan dan kestabilan negara sukar dipertahankan. Direkodkan sepanjang tempoh darurat antara 1948 hingga 1960 sejumlah 10,698 pengganas komunis berjaya dibunuh, ditangkap ataupun me­nyerah diri. Di pihak anggota polis pula dianggarkan sejumlah 1,346 anggota terkorban manakala 1,601 orang lagi mengalami pelbagai kecederaan.

Sehubungan itu juga bersempena sambutan bulan kemerdekaan kali ini dicadangkan pihak sekolah, institusi pendidikan tinggi sama ada milik awam dan swasta me­ngadakan tayangan perdana filem-filem berunsur sejarah bagi mendidik generasi muda supaya sayangkan negara. Rentetan itu juga institusi pendidikan boleh mengadakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di luar bilik melalui pertandingan drama, bersajak dan bercerita mengenai pejuang kemerdekaan negara.

Ini bagi melahirkan generasi muda yang celik sejarah dan sedar akan susah payah orang terdahulu bagi membebaskan negara daripada anasir luar. Untuk itu juga gene­rasi muda daripada pelbagai lapisan kaum dan masyarakat diseru supaya mempertahankan nikmat kemerdekaan ini dengan menyumbang usaha, tenaga dan idea untuk memajukan Malaysia tercinta ini.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.