Beliau diundang ke Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC dan tentunya terhidu apa yang sedang berlaku dalam UMNO, sempat berucap di program Syarahan Pertubuhan Kebudayaan Palestin (PCOM) dan kemudiannya menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau pastinya tahu mengenai hubungan Pas dan UMNO dan silaturahim yang dihulurkan oleh Presiden UMNO kepada Pas dan jawap­an yang diberikan oleh Hadi terhadap sikap terbuka Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Hamas dan PLO menginsafi apa yang berlaku di Palestin amat pedih dan mula bekerjasama. Titik perbezaan tidak dijadikan asas untuk berpecah tetapi musuh utama Israel perlu dihadapi dengan kesatuan pemikiran dan strategi kerana Israel melakukan kezaliman terhadap bumi Palestin dengan bantuan pihak luar.

Hal yang sama boleh berlaku di Malaysia sekiranya masalah dalaman UMNO tidak mampu diselesaikan dengan jiwa besar dan bijaksana kerana akan mengakibatkan perpecahan dan UMNO boleh hilang kuasa pemerintahan. Takdirnya ini terjadi politik Melayu-Islam yang menjadi tunjang kepada pemerintahan yang ada akan bertukar tangan kepada kelompok demokratik sosialis dan liberal pragmatik yang bercanggah dengan perjuangan Melayu-Islam.

Penulis percaya pertemuan Khaled dengan Hadi juga membincangkan masalah kesatuan ummah dan skop politik yang le­bih luas. Apa yang sedang berlaku di Syria, Tunisia, Libya, Iraq, Kuwait, Mesir dan banyak lagi negara Islam yang lain bukanlah suatu kedudukan yang menggembirakan malah mempunyai kesan langsung terhadap perjuangan Palestin itu sendiri.

Malah dukungan Malaysia terhadap Palestin sekian lama kerana prihatin kerajaan dan masyarakat Malaysia yang tidak berbelah bagi terhadap perjuangan rakyat Palestin. Sekiranya UMNO lemah dan hubungan UMNO dengan Pas masih lagi sifatnya konfrontal mempunyai kesan langsung terhadap kedudukan Palestin. Sebab itu saranan Khaled Mashaal itu tepat pada waktunya supaya jiwa besar ke arah peleraian masalah terjadi baik sesama kepimpinan utama UMNO apalagi kepimpinan Pas juga.

Resolusi Mesyuarat Agung UMNO amat jelas dengan harap­an perwakilan, kemelut dileraikan dengan bijaksana supaya defisit pengaruh dalam UMNO tidak terjadi dan menyebabkan kesukaran untuk memenangi PRU-14 nanti.

Hal yang sama terhadap Pas yang sering memberikan pelbagai alasan untuk tidak bekerjasama secara politik dengan UMNO kerana dendam lama dan kebencian yang mendalam masih lagi ada. Sekali lagi perlukan jiwa besar memikirkan maslahah utama menjaga kesatuan umat kerana tanpa kuasa politik yang mantap payah sekali nasib Islam dan umatnya dapat dibela.

Menyebut kisah-kisah lama di tengah-tengah landskap politik yang pantas berubah semacam tidak menerima hakikat bahawa perbalahan adalah perkara biasa dalam perjuang­an tetapi merencana hari depan dalam kewaspadaan yang tinggi adalah suatu tuntutan.

Saranan Khaled Meshaal itu harus dijadikan titik-tolak dalam membuat pertimbangan ke arah wahdah (kesatuan) kerana beliau menginsafi punca ketewasan umat dalam menghadapi cabaran pihak luar disebabkan umat Islam tidak dapat membezakan faktor awlawiyyat (utama) dengan faktor sampingan menyebabkan strategi menghadapi musuh Islam menjadi lemah.

Justeru pilihan yang ada bagi mengatasi kemelut umat Melayu di Malaysia sifatnya terhad walaupun terbuka luas sekiranya ada ketelusan dan ketulusan di pihak yang terlibat.

Apa yang sedang dihadapi kini bakal menjadi teladan kepada generasi muda dalam kepimpinan negara masa depan. Sekiranya kepimpinan UMNO dapat meleraikan kemelut yang berlaku dengan bijaksana jejak itu akan jadi teladan dan sumber ikutan. Sekiranya perbalahan yang berterusan terjadi juga boleh menjadi ikutan generasi terkemudian dan kita gagal meninggalkan kaedah peleraian yang mampu jadi ikutan generasi terkemudian. Hal yang sama juga bakal terjadi sekiranya senario politik Malaysia tidak difahami benar oleh Pas dan UMNO, perpecahan akan terus berlaku dan inilah yang menjadi kebimbangan tokoh Hamas itu kerana nasib orang Palestin adalah sesuatu yang benar bukannya retorik.