Jika dulu Pas amat ‘didambakan’ DAP yang mengetuai pakatan pembangkang, kali ini pembangkang mempergunakan pula Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti Melayu, UMNO.

Hayati dan renung-renungkan kisah benar berikut:

 

1. Memang kau kurang ajar Kor Ming!

‘Berderau’ tengok klip vi­deo ceramah disampaikan Nga Kor Ming.

Nasib baiklah ada sari kata terjemahan bahasa Melayu yang mudah untuk Tumpang lalu fahamkan.

Astaghfirullahaladzim! Kalau ini­lah gayanya watak ‘rakan karib’ yang disokong parti-parti Me­layu dalam gabungan pembangkang PKR termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tumpang lalu hanya terdaya berdoa semoga dijauhkan anak cucu Tumpang lalu dari si polan ini.

Apa yang Pengerusi DAP Perak ini perbudakkan Dr. Mahathir dalam ceramahnya itu? Rasanya tak perlu Tumpang lalu nukilkan isi keseluruhan ceramah Kor Ming.

Yang hanya melekat di kepala Tumpang lalu dengan Kor Ming memomokkan Dr. Mahathir sebagai ‘anak muda’, antaranya se­perti ayat-ayat begini:

“Lee Kuan Yew tanya Dr. Mahathir kau ni bila nak naik atas ni (meninggal dunia). Anak muda (Dr. Mahathir) ni kata ‘mana boleh m*mp*us lagi”. Ada satu benda tak selesai lagi. Apa benda tu...jatuhkan BN dulu la.”

Sambung Kor Ming yang di­sambut tepukan daripada hadirin di satu lokasi dan tarikh yang tidak dapat dipastikan:

“Sekarang ini Dr. Mahathir to­long Kit Siang jatuhkan BN...berjalan seiring. Kita percaya kali ini adalah untuk ‘anak muda’ kita ini...konsert perpisahan dia la...betullah tu (tepukan hadiri).

“Lee Kuan Yew kata aku tak boleh tunggu lama sangat. Lee Kuan Yew umur 91 tahun pun dah nak syurga main mahjung. Tapi selalu kurang satu ‘pemain’. Dia nak bawa ‘kawan lama’ (Dr. Mahathir) naik atas tapi orang tu tak sanggup nak naik sebab ada satu benda lagi tak siap, nak potong Naj*b dulu.”

Kurang ajar engkau Kor Ming!

 

2. Melayu akan ajar si biadab Kuan Yau

Kalau nak dikira, ‘Superman’ DAP, Hew Kuan Yau dan Kor Ming ini ‘sama naik’ mulut busuk apabila berceramah. Bab sinis berjaya mempergunakan Dr. Mahathir, ke­dua-duanya nombor satu.

Tapi Kuan Yau ni cuma bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan berbanding Kor Ming ketua DAP Perak. Tapi Kuan Yau ini bagi Tumpang lalu sentiasa nak jadi champion dan ayam sabung DAP sehingga terkenal dengan ungkapan ‘guna Melayu untuk skru Melayu’.

Yang tak tahan, perit dan ber­desing di telinga Tumpang lalu mendengarnya ini bila Kuan Yau kata dalam satu ceramahnya dipercayai di Balakong, Cheras, yang berbunyi begini:

“Selepas Dr. Mahathir mati, tiada lagi pemimpin besar dari UMNO yang akan datang kepada DAP dan sertai pembangkang. Ini membuktikan yang DAP tahu pentadbiran di dalam UMNO sudah berubah kepada lebih adil dan baik, jadi orang-orang yang ‘tamak’ dan korup bakal musnah sekiranya berada dalam UMNO, kerana itu tiada lagi orang korup dari UMNO yang akan sertai DAP.”

Kuan Yau turut mengaku Kit Siang hanya diterima masyarakat Cina sahaja. Jika berceramah di tempat Melayu akan dihalau, jadi DAP menggunakan Dr. Mahathir dalam pakatan pembangkang untuk tarik undi Melayu.

Si ‘Superman’ DAP ini juga mengaku yang Dr. Mahathir sendiri cakap masanya sudah tidak lama. Jadi, ini adalah pe­luang terbaik DAP untuk mempergunakan Mahathir habis-ha­bisan sebelum dia ‘pergi’. Jadi, kata­nya, ahli DAP kena bersabar dan terima Dr. Mahathir sementara perjuangan mereka belum selesai (untuk menumbangkan BN).

Kuan Yau! Kau tak kenal lagi siapa orang Melayu. Mereka akan ajar kau.

 

3. Dibadai ‘tsunami Cinakah’ Kit Siang?

Pada minggu lepas lebih ku­rang empat hari, sempat Tum­pang lalu pusing-pusing bandar raya Johor Bahru.

Dan singgah sebentar di bilik ge­rakan BN Parlimen Pulai yang diketuai Datuk Nur Jazlan Mohamed Khamis lalu.

Agak mengejutkan apabila Nur Jazlan memberitahu, beliau lega sedikit kerana kali ini Sutera Mall dan Bukit Indah tidak lagi hiruk-pikuk macam dahulu semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Apa ceritaya, apa puncanya, ta­nya Tumpang lalu lagi.

Kata Jur Jazlan, kelibat Kit Siang yang pernah menjadikan Su­tera Mall di Skudai sebagai ‘lautan manusia’ semasa kempen PRU-13 hampir tidak kelihatan kali ini. Begitu juga di kawasan-kawasan perumahan gathered, Kit Siang sukar nak masuk (dite­rima masyarakat di situ).

Patutlah bila Tumpang lalu ber­­tanyakan rakan seperjua­ngan di Biro Utusan Johor, Nurul Huda Hassan tentang jadual je­lajah Kit Siang ke Gelang Patah bermula hari penamaan calon 28 April hingga semalam, kata Nurul Huda, “ada tunjuk muka sekejap-sekejap”.

Nur Jazlan bagaimana tidak ter­kejut kerana di penghujung lima tahun, bukan sahaja Kit Siang, bahkan calon-calon pembangkang baru akan nampak mu­ka untuk meraih undi.

“Saya percaya selepas dua kali pilihan raya umum, PRU 2008 dan PRU 2013 sebahagian besar masyarakat Cina tidak sokong BN, kali ini (PRU-14) mereka terutama businessman akan berfikir, “dahlah tak buat kerja, service masyarakat dan bantu ekonomi negara, takkanlah nak sokong pembangkang lagi.”

Kata Nur Jazlan lagi: “Dulu orang tak biasa dengar ‘Ini Kalilah, Jom Ubah” dan berita-berita palsu atau fake news ini, lantas terpengaruh. Tapi sekarang rak­yat sudah ada kesedaran merasakan banyak (fitnah dan tohmahan) yang tidak betul.

“Ingat tak lagi pada 2016 bila Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Loretta Lynch umumkan saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) negara itu terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Tapi, kenapa sampai hari ini tiada pendakwaan dikenakan terhadap Malaysia?”

 

4. Paku sebatang dibawa 
dari China?

Bersembang dengan beberapa calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) BN Johor, Tum­pang lalu hanya menemukan satu jawapan sahaja: “Tiada isu, itu hanya mainan jahat pembangkang.”

Adakah DAP main juga isu ‘jual Malaysia ke China’? Tidak. Hanya Dr. Mahathir sahaja.

Calon BN DUN Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad membe­ritahu Tumpang lalu Rabu lalu, beliau banyak ditanya mereka dari luar Johor berkenaan isu kedaulatan tergadai dari projek Forest City.

“Antaranya, saya ditanya benarkah semua kontraktor dibawa dari China sehinggakan paku sebatang pun dibawa sana?

“Tidak benar semua itu. Pe­laburan asing termasuklah dari China di Johor ini dipantau ketat dan diletakkan di zon antarabangsa supaya ada perbezaan antara pelaburan baharu dan pelaburan dari China. Seluruh Forest City di bawah kawalan kita. Ada anda nampak polis dari China di sini (Johor)?”

 

5. Rafidah kena prank?

Memang bahaya sungguh bab persepsi dan berita tidak benar ini.

Tempoh hari, heboh pasal sebuah kapal mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho dirampas di Indonesia. Ini sehinggakan beberapa orang lama UMNO seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Dr. Rais Yatim ‘naik radang’ memburukkan kerajaan. Kebenarannya terbukti 17 April lalu apabila mahkamah di Jakarta memutuskan tindakan Indonesia menyita kapal mewah itu tidak sah kerana pemilik Equanimity bernilai AS$250 juta itu tidak pernah disabit dengan apa-apa kesalahan jenayah.

Tersenyum simpul Tum­­pang lalu dengan kenyataan Rafidah pada 4 Mac sebelum itu yang membidas pihak berkuasa Malaysia kerana sebelum ini gagal mencari kapal layar Equanimity itu.

Kata Rafidah, ini kerana beliau sendiri pernah mengesan kapal itu ketika bercuti di Thailand pa­da tahun lalu.

Rafidah oh! Rafidah sudah ke­na prank dengan prasangka diri ke? Asyik ‘taram’ sahaja, gelojoh sungguh. Bila kebenaran terbukti, malu alah sendiri.