MOHD. ZAMRI SHAH MASTOR
MOHD. ZAMRI SHAH MASTOR

Fenomena yang disebut dalam bahasa Melayu sebagai gerhana bulan penuh akan bermula pada pukul 7.48 malam sehingga pukul 11.11 malam. Fasa gerhana penuh akan bermula dari pukul 8.51 malam sehingga kemuncaknya pada 9.29 malam dan tamat pada 10.07 malam.

Ketua Penolong Pengarah (Pen­­­didikan) Planetarium Nega­ra, Mohd. Zamri Shah Mastor ber­kata, orang ramai tidak harus me­­lepaskan kesempatan me­nyaksikan kejadian alam ini ke­rana fenomena seterusnya akan ha­nya berlaku sekali lagi kira-kira 10 tahun akan datang.

Ia terjadi apabila bulan terlin­dung oleh bayangan bumi, katanya, sambil menjelaskan, istilah Super Blue Blood-Moon adalah ungkapan masyarakat Barat yang mempunyai pelbagai gelaran terhadap bulan.

Bagi masyarakat Melayu, fe­nomena ini hanya diistilahkan sebagai gerhana bulan atau gerhana bulan penuh. Berban­ding masyarakat Barat, gerhana bulan dikenali sebagai Bloodmoon kerana warna gerhana yang kemerahan.

Pada malam itu juga, bulan turut dikenali sebagai Bluemoon kerana ia merupakan bulan penuh kali kedua pada Januari 2018. Bulan penuh kali pertama bulan ini ialah pada 2 Januari lalu. Bulan penuh yang kedua di dalam bulan yang sama dikenali sebagai Bluemoon menurut istilah bahasa Inggeris.

“Ungkapan bahasa Inggeris Once in a Bluemoon boleh dirujuk kepada situasi ini di mana bulan penuh berlaku dua kali dalam sebulan. Bluemoon akan datang dijangka berlaku antara dua hingga tiga tahun lagi,” kata Mohd. Zamri ketika dihubungi.

Selain itu, katanya, Supermoon pula ialah istilah bahasa Inggeris yang me­rujuk kepada kedudukan bulan penuh ketika ia berada pada titik paling hampir dengan bumi.

Pada malam sama, bulan akan berada pada jarak 360,000 kilometer daripada bumi atau pada kedudukan paling dekat dengan titik perigee, jelas beliau.

Menurut Mohd. Zamri, gabu­ngan ketiga-tiga fenomena dikenali sebagai Super Blue Blood-Moon.

Beliau juga menjelaskan, bulan tidak akan kelihatan berwarna kebiru-biruan pada malam itu kecuali jika pemandangan ke udara atau atmosfera tercemar dengan debu gunung berapi atau asap.

Sepanjang fenomena ini berlaku, katanya, tiada kesan la­­ngsung terhadap bumi. Sehu­bungan itu, orang ramai yang berminat menyaksikan feno­me­na alam ini boleh datang ke Plane­tarium Negara bermula pada pukul 6 petang, melawat galeri pameran yang ada sebelum sama-sama menyaksikan gerhana ini.

Planetarium akan menyediakan beberapa teleskop untuk ke­gunaan orang ramai yang mahu mencerap pergerakan bulan se­panjang fenomena itu berlaku.

Bagi yang berada di kawasan tanah tinggi atau tinggal di kawasan kondominium juga jika berada di tepi pantai, mereka harus melihat ke arah timur di mana gerhana bulan akan bermula pada pukul 7.48 malam pada kedudukan 6 darjah daripada ufuk.

Bagaimanapun, faktor cuaca yang tidak baik boleh mengganggu penglihatan, khususnya bagi yang menanti-nantikan feno­me­na ini.