Kegagalan empat kali di pentas kejuaraan dunia, sama sekali tidak pernah melunturkan semangat jaguh negara itu sebaliknya sentiasa bersemangat untuk membuktikan pada usia 35 tahun dia masih mampu menampilkan aksi cemerlang bagi meneruskan misi negara bagi memiliki seorang juara dunia.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga melihat kejayaan bintang tenis Switzerland, Roger Federer yang seusia dengannya di Terbuka Australia sebagai inspirasi bagi dirinya dalam meraih lebih banyak kejuaraan selain mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Dalam pada itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut berhasrat untuk mewujudkan liga badminton rakyat bagi melahirkan lebih ramai pemain muda untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan selain mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya badminton pada masa akan datang.

Apatah lagi kejayaan meraih tiga pingat perak di Sukan Olimpik Rio tahun lalu menyaksikan BAM kini sedang dalam fasa mencari lebih banyak pendekatan khusus bagi mengekalkan momentum kejayaan diraih selain mahu melahirkan lebih ramai pemain muda bagi membawa cabaran negara pada masa akan datang.

Bagi memahami tradisi kejayaan pemain terbaik dunia itu, wartawan Mingguan Malaysia, NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR telah mengadakan pertemuan bersama DATUK LEE CHONG WEI dan Timbalan Presiden BAM, DATUK SERI MOHAMAD NORZA ZAKARIA bagi mendapatkan perincian mengenai pendekatan-pendekatan yang ingin diperkenalkan bagi menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar dalam sukan itu.


MINGGUAN MALAYSIA: Kejayaan di All England kali ini merupakan kejuaraan yang keempat, apakah signifikan kejuaraan kali ini kepada Datuk?
LEE CHONG WEI
: Saya mahu buktikan saya masih mampu menjadi juara terutamanya kepada diri sendiri sebab ramai orang bercakap, umur sudah banyak jadi susah sedikit untuk jadi juara tetapi saya berjaya buktikan bahawa usia bukan penghalang kepada saya untuk meraih kejuaraan keempat di All England.


Kebiasaannya selepas kembali daripada sebarang kejohanan, setiap atlet akan diberi cuti untuk berehat sebelum kembali menjalani latihan tetapi kenapa Datuk tidak bercuti sebaliknya terus menjalani latihan seperti biasa selepas kembali dari All England?
LEE CHONG WEI:
Selepas kembali daripada All England saya perlu menjalani latihan pemulihan kerana saya perlu kembali cergas sepenuhnya untuk berdepan kejohanan Terbuka India dan Malaysia, dua kejohanan berturut-turut. 

Sebaikbaik pulang dari All England saya tekad untuk melakukan persiapan rapi kerana matlamat saya selepas ini adalah untuk merangkul kejuaraan ke-12 di Terbuka Malaysia. Kejohanan di laman sendiri sangat penting kerana saya akan beraksi di hadapan para penyokong sendiri, jadi saya perlu menampilkan aksi cemerlang.


Apakah perancangan Datuk sebelum menyertai Kejohanan Dunia di Glasgow?
LEE CHONG WEI:
Pada tahun ini akan berlangsung banyak kejohanan utama, pertama sekali ialah All England selepas itu akan ada Terbuka India, Terbuka Malaysia dan matlamat utama saya ialah Kejohanan Dunia. Sekarang ini saya perlu kekalkan tahap kecergasan selain mempersiapkan diri sebaik-baik mungkin untuk ke Glasgow. Tekanan untuk ke Kejohanan Dunia sangat tinggi tidak sama macam All England kerana saya sudah menang tiga kali sebelum ini berbanding Kejohanan Dunia, saya tidak pernah menang. Empat kali saya ke final dan semua saya kalah.

Bagaimana persiapan Datuk untuk menyertai Terbuka India? 
LEE CHONG WEI:
Bagi Terbuka India, saya perlu berbincang dengan jurulatih dahulu kerana saya mahu beri tumpuan kepada proses pemulihan kecederaan lutut dahulu. Buat masa sekarang, saya belum pulih sepenuhnya, jadi proses pemulihan ini
sangat penting untuk saya.

Memang saya akui, nama saya sudah disenaraikan ke sana tetapi tempoh persediaan saya untuk ke India terlalu singkat dan kecederaan saya masih belum pulih 100 peratus. 

Saya akan dapatkan pandangan jurulatih dan doktor dahulu sebelum membuat keputusan sama ada akan ke India atau tidak, pada minggu hadapan.

Sekiranya muncul juara di Glasgow, Datuk akan menjadi juara dunia tertua mengatasi Rudy Hartono dari Indonesia. Apakah pandangan Datuk mengenai perkara ini?
LEE CHONG WEI:
Yang paling penting ketika ini ialah semangat untuk menjadi juara serta keazamaan untuk melakukan yang terbaik, tidak kisah berapa umur saya. 

Kita tengok kejohanan tenis Terbuka Australia, Roger Federer yang baru pulih dari kecederaan boleh jadi juara selepas beraksi lebih dua jam. Kalau Federer boleh beraksi dua jam, saya juga boleh lakukannya.

Bagi saya, semangat dalam diri sendiri itu sangat penting selain menjaga disiplin diri setiap hari dan latihan secara konsisten. Sebagai atlet saya perlu jaga kecergasan saya kerana ia merupakan aspek terpenting dan selepas itu apa juga yang dimahukan boleh dicapai.

 

KL - JADI BANDAR BADMINTON

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah kelemahan yang dapat dilihat di dalam BAM ketika ini dan perancangan untuk mengatasinya dalam tempoh terdekat?
MOHAMAD NORZA:
Selain daripada Datuk Lee Chong Wei, BAM mengakui bahawa kami memiliki kelemahan di bahagian perseorangan lelaki selain ketandusan pemain-pemain wanita untuk pergi lebih jauh dalam mana-mana kejohanan namun tidak boleh dinafikan, kami berjaya membentuk pemain-pemain cemerlang dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran. Bagaimanapun, buat masa sekarang ini BAM sedang menunggu Akademi Badminton Malaysia siap sepenuhnya bagi membolehkan kami membuat penstrukturan baharu dari segi latihan dan kejurulatihan kerana akademi ini mampu menempatkan kira-kira 200 pelatih.

Apakah pendekatan khusus yang akan dilakukan bagi mengatasi masalah ketandusan pemain pelapis dalam skuad kebangsaan dan adakah akan berlakunya program transformasi besar-besaran dalam kem badminton negara selepas ini?
MOHAMAD NORZA
: Matlamat utama kami adalah untuk menyediakan program latihan yang mampu menghasilkan pemain-pemain berkelas dunia secara konsisten, bukan bermusim dan bagi mencapai matlamat ini saya cuba mencari pendekatan bagi membentuk program transformasi lebih agresif tetapi ia perlukan masa. 
Saya mahu BAM bergerak ke hadapan dengan mewujudkan suasana berprestasi tinggi bagi melahirkan pemain yang lengkap, bermaksud bukan sahaja berbakat tetapi memiliki kekuatan fizikal dan mental berdasarkan kepada mentaliti atlet berkelas dunia. Kita semua tahu bahawa peranan ISN terhad kepada atlet di bawah Program Podium dan Kita Juara tetapi bagi memberikan akses sains sukan kepada setiap atlet, BAM sedang dalam fasa terakhir melakukan perbincangan dengan Pusat Sukan Universiti Malaya bagi menjalinkan kerjasama untuk manfaat setiap atlet. 
Apabila semua dapat pengetahuan sains sukan, baru budaya prestasi tinggi ini dapat dimulakan dari peringkat akar umbi. Dalam hal ini, kepimpinan itu sangat penting dan bukan bermusim, kita tidak boleh menggunakan konsep lama sebaliknya perlu mendemokrasikan pemainan ini.

Perancangan pembangunan pemain itu sedang giat dijalankan, tetapi sehingga kini masih belum ada pemain pelapis yang mampu menggalas cabaran di kejohanan-kejohanan utama, apakah penyelesaian untuk masalah ini? 
MOHAMAD NORZA:
Bagi memajukan pelapis...situasinya seperti ini...kita sedang menyiapkan 'saluran paip' dan 'tangki' itu perlu dipenuhkan dahulu sebelum ia boleh dibuat pengagihan. Dalam isu ini ahli gabungan dan kelab-kelab profesional perlu mainkan peranan mereka kerana pada ketika ini kita kekurangan sumber pemain dan hanya BAM diharapkan untuk melahirkan pelapis. Dalam keadaan sekarang, kita sudah tidak boleh menunggu kerana negara-negara membangun seperti Thailand, Jepun dan India semakin meningkat naik dengan pantas dan kita masih lagi bergantung kepada Olimpian kita untuk kejohanan-kejohanan besar. 
Saya akan memperkenalkan satu sistem baharu, andai kata ada pemain yang tidak cukup bagus kita akan keluarkan dan akan diserap semula sekiranya berjaya memperbaiki prestasi mereka seperti mana yang dilakukan di China dan Indonesia. Saya juga akan menyiapkan profil setiap pemain di negara ini termasuk di peringkat negeri dan kelab bagi mewujudkan sistem ranking kebangsaan. Menerusi sistem ranking ini, pemain-pemain luar yang lebih cemerlang daripada pemain BAM akan diberi peluang beraksi di dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman dan Piala Thomas.

Selain daripada sistem kejurulatihan dan latihan, mungkin Datuk Seri memiliki perancangan atau visi yang lebih besar untuk kembali menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam sukan badminton?
MOHAMAD NORZA
: Seperti yang saya katakan, untuk mendapatkan hasil yang positif, ahli gabungan di peringkat negeri dan kelab-kelab profesional harus dilibatkan bersama selain mewujudkan lebih banyak pertandingan kerana pada ketika ini ada negeri-negeri yang tidak memberikan sebarang sumbangan kepada pembangunan pemain. Saya mempunyai visi untuk mewujudkan liga badminton rakyat di peringkat negeri dan kalau boleh turun ke peringkat daerah selain mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar badminton.

Kuala Lumpur sebagai bandar badminton? Mungkinkah visi ini terlalu besar untuk dicapai dan apakah rasionalnya pendekatan ini kepada pembangunan badminton negara?
MOHAMAD NORZA:
Bukan sahaja Kuala Lumpur sebagai bandar raya badminton tetapi menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan sukan badminton adalah matlamat saya. Besarkan matlamat saya? Malaysia memiliki BWF (Persekutuan Badminton Dunia) BA (Badminton Asia) dan BAM sendiri, saya sudah nampak cara untuk menaikkan badminton ke peringkat tertinggi dan visi saya ini sememangnya berkait rapat dengan misi pingat emas Sukan Olimpik 2020. 
Seandainya, kita dapat mewujudkan liga badminton antara bandar dengan menyediakan insentif-insentif lumayan, sudah pasti sukan badminton di negara ini dapat ditingkatkan tetapi perkara ini bukan mudah untuk dicapai kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak. Saya juga berdepan kesukaran untuk membuka minda sesetengah pihak bagi merealisasikan impian ini tetapi saya percaya perkara ini dapat direalisasikan suatu hari nanti.