Bagaimana hendak memahamkan khalayak masyarakat tentang suasana yang genting ini? Kalau kita tidak faham, fikirkan sahaja pendidikan abad ke-21 (PAK-21) adalah tentang tulisan cacing pengkodan atau tulisan pengaturcaraan yang boleh membuat robot yang mendengar arahan kita.

Inilah antara apa yang anak kita sedang belajar sekarang.Fikirkan juga telefon pintar berteknologi tinggi yang banyak menemani kehidupan seharian anak-anak kita, atau soalan-soalan peperiksaan yang tidak lagi sekadar mengingat tarikh Melaka jatuh ke tangan Portugis, Hiroshima hancur dek atom.

Perniagaan dan jual beli bukan lagi berkenaan ruang, tempat, bingit dan hingar-bingar, tetapi tentang perniagaan Ali Baba, iaitu salah satu ger­gasi perniagaan atas talian terbesar di dunia oleh Jack Ma, pengasas dan pe­ngerusi ekseku­tifnya.

Yang kita faham waktu kita dahulu ialah sebuah bilik darjah empat dinding tertutup perlu ada buku teks, susunan kerusi dan meja kayu menghadap papan hitam sambil guru bercakap di depan, murid menulis.

Fikir cara lain, iaitu sekawanan murid menyelesaikan masalah berkisar isu semasa dan membentangkannya. Guru pula mendengar dan menjawab persoalan muridnya.

Pengajaran dan pemudahcaraan ber­laku di bilik darjah, rumah, maya dan dunia fizikal. Guru profesional akan meneliti perwatakan dan kebolehan murid-mu­ridnya dalam aktiviti formal sekolah, aktiviti luar dan kokurikulum.

Saksama

Kaedah, aktiviti dan teknik yang beru­bah, teori, prinsip dan model kekal. Kali ini, guru yang bersiap siaga menjawab pertanyaan murid, bukan guru yang ber­tanya.

Malah, guru perlu menyediakan profil dan rekod psikologi dan kemampuan fizikal serta tanggapan kesihatan anak-anak kita secara yang lebih serius. Pendidikan kita pada hari ini juga bukan lagi kepada berapa banyak A+ atau ulat buku. Sukan, seni dan potensi murid adalah penentu masa depan mereka.

Kelas belakang dan kelas depan tidak dikastakan. Tiada yang tercicir, ekuiti pen­­didikan berlaku secara saksama. Pen­didikan bukan di dalam kelas, malah se­panjang masa, di perhimpunan pagi pun berlaku PAK-21, bukan lagi guru atau pentadbir bercakap atau berleter berjam-jam.

Bah besar, tsunami, kemalangan akibat kesilapan reka bina, struktur gergasi bi­naan, kesihatan, ekonomi dan semua kon­teks yang berlaku semasa digarap dalam subjek sains dalam kemahiran pro­ses, ma­tematik dalam operasi pengkamilan atau ber­campur, dan lain-lain subjek secara ber­modular.

Kurikulum standard disediakan tetapi guru boleh sahaja merungkai kurikulum mengikut kesesuaian semasa mengikut jam kredit atau persetujuan bersama ketika proses Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).

Hal ini bermakna anak-anak kita tidak lagi menyusun buku ikut jadual seminggu kerana semua buku teks adalah dalam bentuk digital. Guru boleh berhubung terus dengan doktor perubatan dalam sesi PLC atas talian untuk bertanya tentang virus terbaharu seperti selesema burung untuk kegunaan mengajar esok pagi.

Sudah tentu guru di sesebuah lingkungan setempat boleh mengenali masalah secara berbincang dan menanganinya melalui PLC, sekali gus menambah tahap profesionalisme mereka.

Guru boleh merancang pengajaran harian secara sistematik dan profesional dengan merujuk, mengimbas dan merancang (RIR) di hujung jari dari satu platform atau medium sahaja.

Sudah tentulah, Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru ini boleh dipantau langsung oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), malah Menteri Pendidikan dan timbalan-timbalannya.

Mereka boleh mengulas secara langsung di atas RPH guru berkenaan. Inilah titik–titik yang perlu dirangkaikan, dan Kumpulan Utusan dengan kerjasama dan nasihat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menggunakan gerbang Utusan Pelajar bagi tujuan itu.

Utusan Pelajar telah menggerakkan inisiatif PAK-21 sejak tahun lepas dan menambah baik pada tahun ini, selaras dengan keperluan di sekolah. Secara strategiknya, inisiatif penjenamaan PAK-21 oleh Utusan Pelajar memanfaatkan empat institusi dominan ekosistem persekolahan iaitu perhimpunan pagi mingguan, bahan PdPc-RIR bilik darjah, Pusat sumber, PLC dan KPPM sebagai ikon.

Serentak dengan inisiatif itu, Kumpulan Utusan dan KPM akan menganjurkan Seminar Merangkai Titik-Titik (Connecting The Dots) esok (Isnin) yang akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin.

Beliau juga akan membentangkan kertas kerja utama berkisar topik yang sama bermula pukul 9 pagi di Dewan Utusan Melayu, Kuala Lumpur. Antara lain, objektif utama simposium ini untuk memperjelas konsep merangkai titik-titik dalam transformasi pendidikan abad ke-21 serta merangka strategi baharu dalam PdPc yang lebih bermakna dan berimpak tinggi. Pihak Utusan Pelajar pula akan mengambil kesempatan untuk menatar dan mengaplikasi Modul 10 Minit Perhimpunan Pagi (M10MP ) dan Sistem Kolaboratif Reka Bentuk Pengajaran (CIDS) yang menjadi komponen penting akhbar pendidikan itu.

Kepada Utusan Pelajar, simposium berkenaan merupakan pengiktirafan kepada peranan Kumpulan Utusan dalam dunia pendidikan yang berterusan sejak sebelum kemerdekaan.

Dalam konteks Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sudah tentu seminar ini memperakui peranan sarana (Kumpulan Utusan) dalam agenda yang genting itu.

Sudah tentulah, ia memerlihatkan Utusan Malaysia sebagai produk berwibawa dan dipercayai sebagai rakan kongsi untuk menjalin kerjasama pintar dengan KPM, sekali gus menepati prinsip Strategi Gelombang Biru Kebangsaan (NBOS) serta inisiatif Utusan Malaysia mempercepat program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Semua dijemput hadir untuk lebih memahami apakah konsep Merangkai Titik-Titik, iaitu agenda penting pendidikan menjelang Malaysia sebuah negara maju.