Mereka khuatir Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketujuh, mungkin me­nyimpang daripada teras perjuangan berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Ini menyebabkan mereka lupa bahawa pentadbiran Dr. Mahathir (1981-2003) telah menguruskan Malaysia berpandukan falsafah keselamatan yang menggabungkan kemantapan politik dan kesejahteraan ekonomi sebagai terasnya.

Dr. Mahathir menghuraikan hakikat ini di Persidangan Keselamatan Nasional 1, anjuran Institut Kajian Strategi dan Keselamatan di Kuala Lumpur pada 15 Julai 1986 seperti berikut: “Keselamatan nasional tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan politik, kejayaan ekonomi dan keharmonian sosial, (sementara) pengurusan ekonomi yang berwibawa dan pemikiran yang jelas, menjadi asas utama kepada strategi ke­selamatan nasional.”

Paksinya demikian kerana “asas pembinaan satu bangsa dan negara Malaysia yang makmur dan bersatu padu ialah perkiraan faktor sejarah, politik, ekonomi, sosial dan budaya dalam pembentukan dasar negara.”

Falsafah ini juga menggandingkan faktor ekonomi dan politik “untuk memelihara nilai-nilai teras utama negara, termasuk perpaduan, keadilan, keharmonian dan kemakmuran.”

Kini memang belum wujud kajian menyeluruh mengenai falsafah keselamatan Dr. Mahathir. Namun ada beberapa kajian awal yang boleh dijadikan asasnya. Misalnya, Rusdi dan Pandian (2017) yang mengkaji falsafah pemikiran politik Dr. Mahathir di era BN menegaskan seperti berikut:

“Menurut Dr. Mahathir, cara terbaik bagi sebuah negara seperti Malaysia ialah pentadbiran yang stabil selari dengan kekuatan ekonomi dan mampu bersaing dengan negara maju yang lain untuk mengelakkan penjajahan berterusan melalui kuasa ekonomi negara dunia pertama.”

Kajian Muhammad Nur Azimi (2017) mengenai sumba­ngannya dalam pembangunan pendidikan tinggi menyatakan bahawa Dr. Mahathir “mempunyai pemikiran yang berpandangan jauh ke hadapan serta telah melahirkan cetusan idea yang melangkaui zaman.”

Saya sendiri memperoleh pengesahan Dr. Mahathir mengenai penemuan di atas menerusi wawancara bertulis pada 14 November 2017 seperti berikut:

“Saya memang titik beratkan gabungan faktor politik dan ekonomi untuk tangani keselamatan Malaysia. Dua faktor ini mempunyai kesan yang luas kepada Malaysia dan rakyat jelatanya. Kalau politik Malaysia tidak stabil, pembangunan ekonominya terjejas. Jika ekonomi Malaysia mundur, politik dan keselamatannya turut terancam.”

“Oleh sebab itu saya berpendapat strategi terbaik untuk tangani isu keselamatan nasional Malaysia di zaman saya (1981-2003) adalah menerusi penggabungan faktor politik dan ekonomi, sebagai asas kepada falsafahnya.”

Dr. Mahathir juga berkata: “Malaysia adalah negara maj­muk. Isu yang mengancam sektor politik Malaysia, jika tidak ditangani secara serius, boleh merebak menjadi isu agama atau isu etnik.”

“Kalau isu agama dan etnik tidak ditangani secara serius, isu ini boleh dieksploitasikan oleh mana-mana pihak supaya menjadi isu ekonomi yang berasaskan perkauman. Ini kerana tahap pencapaian ekonomi antara rakyat bumiputera dan bukan bumiputera di Malaysia adalah berbeza-beza.”

“Memang ini akibat dasar ekonomi penjajah yang menindas bumiputera. Tetapi kalau isu seperti ketidakadilan agihan kekayaan negara di zaman merdeka tercetus, tentu isu ekonomi seperti ini boleh jadi punca persengketaan etnik di Malaysia.”

“Ini sebabnya Malaysia di zaman saya (1981-2003) sentiasa titik beratkan isu yang mengancam sektor politik, agama, ekonomi dan masyarakat sebagai isu yang boleh mengancam keselamatan nasional Malaysia.”

Mengenai tindakan dan pendekatan keselamatannya terhadap isu politik, agama dan masyarakat yang menjejaskan ideologi dan jati diri nasional, Dr. Mahathir menyatakan se­perti berikut:

“Yang penting, semua dasar keselamatan Malaysia di zaman saya (1981-2003) menitikberatkan kestabilan politik, ke­sejahteraan ekonomi dan perpaduan rakyat sebagai asasnya. Sama pentingnya, dasar keselamatan Malaysia di zaman saya juga tidak menindas rakyat atau mudaratkan ekonomi negara.”

“Dasar keselamatan Malaysia bawah pimpinan saya (1981-2003) bertujuan menjadikan Malaysia aman dan damai, maju dan makmur dan rakyatnya sihat sejahtera.”

Falsafah di atas diterjemahkan menjadi matriks keselamatan nasional, serantau dan antarabangsa sebagai garis panduan dan sumber rujukan dalam pengurusan keselamatan di Malaysia.

Matriks keselamatan nasional Malaysia di era Dr. Mahathir (1981-2003) adalah berasaskan kenyataan “keselamatan nasional tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan politik, kejayaan ekonomi dan keharmonian sosial.”

Matriks keselamatan serantaunya berpaksikan kenyataan: “ASEAN mempunyai peranan penting dalam menstabilkan Asia Tenggara (dan) Malaysia memberikan keutamaan ter­tinggi kepada perhubungan dengan negara-negara ASEAN.”

Matriks keselamatan antarabangsanya berteraskan ke­nya­taan: “Malaysia tidak terlibat dengan permusuhan antara kuasa besar, akan terus berkecuali, akan meneruskan keanggotaan dan peranannya dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dan akan menentang usaha memasukkan pergerakan ini ke dalam kem kuasa besar.”

Falsafah dan matriks di atas menunjukkan pentadbiran Dr. Mahathir (1981-2003) menguruskan keselamatan nasio­nal Malaysia untuk mewujudkan kestabilan politik, kejayaan ekonomi dan keharmonian sosial; mengendalikan keselamatan serantau demi keamanan Asia Tenggara dan menangani keselamatan antarabangsa mengikut prinsip keberkecualian dasar luar Malaysia.

Falsafah dan matriks keselamatan di atas juga menggambarkan keprihatinan dan komitmen Dr. Mahathir (1981-2003) untuk mempertahan dan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ini agak mustahil untuk Dr. Mahathir melakukan perubahan drastik terhadap matlamat dan hala tuju pengurusan keselamatan Malaysia di atas dalam pentadbirannya pada hari ini.

Pelbagai kenyataan Dr. Mahathir terutamanya mengenai Perlembagaan Persekutuan dan kesejahteraan bumiputera kebelakangan ini adalah antara petanda bahawa falsafah keselamatan di atas akan diteruskan di era Kerajaan Harapan.

Bagaimanapun, adalah baik jika pihak yang khuatir Dr. Mahathir mungkin mengubah falsafah keselamatan di atas untuk bertindak secara berhemah dan bijaksana. Bukan menerusi kenyataan kesat dan retorik populis yang negatif kesannya.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor 1990-2004.