Itu penegasan pepatah Minang mengenai adat merantau si anak Minang yang sejak sekian lama membina jati diri dalam kehidupan mereka sehingga kini.

Malah diceritakan, di dalam sebuah rumah gadang seperti yang ditonjolkan di Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau (PDIKM) di Padang Panjang, Bukit Tinggi, suatu ketika dahulu anak-anak lelaki tidak dibenarkan bermalam di rumah gadang.

Hal demikian kerana sebaik sahaja mereka mencecah usia 10 tahun, anak-anak lelaki perlu ‘menginap’ di surau.

Ini bagi membiasakan mereka untuk berdikari selain persiapan menjadi dewasa dengan merantau. Malah kalau ada yang masih mendiami rumah gadang, mereka digelar ‘lalok di bawah katiak mandeh’ atau ‘tidur di bawah ketiak ibu’.

Di surau, selain mempelajari ilmu keagamaan, mereka perlu mendalami adat istiadat Minang termasuk bersilat.

Demikian dekatnya institusi keagamaan dan kebudayaan di hati anak-anak muda ini yang menjadi bekal berguna buat mereka ketika berkelana di bumi asing.

Sindiran ‘lalok di bawah katiak mandeh’ memang cukup ‘pedas’ malah menampakkan sisi ‘manja’ si anak lelaki. Anak lelaki bagi adat Minang perlu kuat berdepan masa depan dan tidak boleh ‘lalok’ atau hidup mengharapkan ibu bapa apabila menjalani dunia dewasa.

Sebab itu, di rumah gadang juga, pada tiang-tiang utama diletakkan ukiran ‘kuciang lalok’ (kucing tidur). Salah satu sifat kucing yang tidak baik adalah apabila kenyang, haiwan itu akan tidur dan tidak mahu berusaha mencari makan.

Peringatan-peringatan sang rumah gadang itu adalah agar warganya tidak malas dan berusaha untuk memenuhi keperluan hidup.

Diceritakan juga bahawa setiap daripada ukiran-ukiran di rumah gadang memiliki motif dan pengkisahan di sebaliknya dalam memimpin anak Minang menjalani kehidupan harian.

Contohnya motif ‘itiak pulang patang’ (itik pulang di petang hari). Motif berkenaan merupakan satu bentuk perlambangan ketertiban masyarakat Minang. Boleh juga diertikan sebagai kesepakatan dan persatuan yang kukuh.

Menurut petugas penerangan PDIKM, Suaita, ‘kuciang lalok’ di dalam rumah dijadikan ‘pegangan’ agar jangan sampai ditiru.

“Malah ukuran bilik yang kecil di dalam rumah gadang juga adalah satu isyarat dan kiasan. Ini memberi isyarat supaya si lelaki rajin mencari wang, buatkan rumah untuk anak isterinya.

“Anak-anak lelaki harus merantau, cari kehidupan lebih baik di rantau. Kalau harap harta orang tua nanti jadi pemalas. Tetapi kalau tidak berjaya, saudara perempuannya yang akan membantu. Itu semangat kekeluargaan Minang,” katanya.

Seperkara lain yang menarik adalah aturan duduk tetamu di rumah gadang.

“Misalnya jika ada acara adat pernikahan. Kalau yang datangnya tetamu, mereka akan duduk menghadap luar rumah manakala tuan rumah menghadap ke dalam.

“Itu ada ertinya juga. Kalau tetamu disusun duduk menghadap ke dalam rumah, nanti mereka akan dapat melihat kekurangan-kekurangan yang ada di dalam rumah. Untuk mengelakkan berlakunya fitnah, tetamu menghadap ke luar, yang dia lihat hanyalah indah-indah di luar rumah,” jelasnya.

Suaita yang petah berbicara tentang adat istiadat Minang turut menjelaskan rumah gadang memiliki sistem ekonomi yang baik melalui pembinaan rangkiang di bahagian halaman depan rumah.

Rangkiang atau tempat penyimpanan padi mempunyai empat jenis yang antara lain bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi melibatkan ‘keadilan sosial’ masyarakat setempat.

Mereka tidak mementingkan diri sendiri tetapi rangkiang disediakan bagi menyalurkan beras kepada yang memerlukan.

Bak pepatah ‘Hati tungau samo dicacah, hati gajah samo dilapah, indak samo dicari, ado samo dimakan’.

Begitulah kuatnya masyarakat Minang dengan falsafah hidup serta ‘sindiran’ atau kiasan yang segar dalam diri masing-masing.