Penyelewengan dalam transkasi BMF dengan Kumpulan Syarikat Carrian ini telah dikesan awal. Dan Bank Negara telah menghantar sepasukan pemeriksa ke Hong Kong pada 12 Julai 1982 untuk mengetahui kedudukan BMF yang sebenar.

Pada 12 November 1982, BBMB menghantar pasukan juruaudit dalaman bagi membuat siasatan rapi ke atas kedudukan BMF. Sepanjang tempoh skandal berkenaan berlangsung, Carrian juga mendapat dana daripada bank lain, namun suntikan oleh BBMB menerusi BMF adalah sumber kewangan terbesar iaitu RM2.5 bilion.

Pegawai tersebut ialah Jalil Ibrahim, yang ditemukan mati dibunuh pada 19 Julai 1983. Ini menunjukkan keanehan transaksi pinjaman berbilion ringgit BMF kepada Kumpulan Syarikat Carrian telah lama dikesan, sebagaimana dicatat dalam laporan kertas putih kes tersebut yang diterbitkan pada 1986.

Menurut laporan itu, pada 16 November 1982, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah diberi taklimat oleh Gabenor Bank Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Taha mengenai kedudukan BMF. Susulannya, BBMB menubuhkan Jawatankuasa Penyeliaan pada 22 November 1982.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bertujuan untuk mengawal dan mengawasi kegiatan dan urus niaga BMF. “Malangnya Jawatankuasa Penyeliaan itu tidak berjaya menjalankan tugasnya dengan berkesan kerana Lorrain Esme Osman, Datuk Hashim Shamsuddin dan Dr. Rais Saniman juga menjadi anggota dan terlibat secara langsung dengan kelulusan pinjaman untuk Carrian Group serta syarikat yang ada kaitan dengan George Tan dan Kumpulan Syarikat Kevin Hsu,’’ kata laporan tersebut.

Dari 1982 hingga 1983, Carrian berusaha menyelesaikan kerumitan kewangan dengan bank-bank peminjam, termasuk BMF. Namun, BBMB mempunyai perancangan sendiri untuk memperbaiki dan memperkukuhkan kedudukan cagaran dalam BMF.

BBMB menubuhkan Marmel Inc. yang dilulus dan diberikan pinjaman berjumlah AS$85 juta oleh BBMB untuk membeli hartanah milik George Tan di Amerika Syarikat.

Usaha-usaha BBMB untuk menyelamatkan BMF menemui jalan buntu, mendorong kerajaan ketika itu menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat BMF bagi menyiasat sepenuhnya kedudukan BMF pada 1984.

Langkah penyusunan semula kewangan BMF diatur oleh kerajaan, melibatkan hak ke atas pinjaman tidak berbayar berjumlah AS$887.52 juta. Langkah pertama ialah menyerahkan hak ke atas hutang BMF kepada BBMB pada 31 Disember 1983.

Pada 17 September 1984, hutang-hutang yang tidak berbayar berjumlah RM2.25 bilion telah dipindahkan kepada Petronas dengan nilai harga RM1.255 bilion (Perkara 39 Kertas Putih).

Laporan akhir siasatan setebal 300 muka surat itu mendakwa terdapat kes prima facie mengaitkan tiga bekas pengarah serta tiga lagi pegawai BMF terlibat secara langsung dalam skandal berkenaan.

Individu berkenaan adalah bekas Pengerusi BMF, Lorrain Esme Osman, bekas Pengarah - Hashim dan Rais Saniman. Pegawai bank ialah Pengurus Besar BMF Ibrahim Jaafar, bekas Pembantu Pengurus Henry Chin dan bekas penjual pasaran mata wang BMF, Eric Chow.

Laporan berkenaan mendapati kesemua mereka beserta ahli keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung menerima imbuhan daripada George sebagai balasan kepada pinjaman tanpa cagaran bernilai RM1 bilion.

 

 

19 Julai 1983, mayat pegawai Bank Bumiputera, Jalil Ibrahim, 34, ditemui di sebuah kebun pisang di Hong Kong. Siasatan polis berjaya mengesan suspek Mak Foon Than yang ditemui Jalil di sebuah hotel sehari sebelum mayatnya ditemui.

Polis juga menerima laporan daripada rakan sekerja Jalil bahawa dua pegawai Carrian Group datang ke pejabat pada 18 Julai 1983 meminta diluluskan pinjaman dengan kadar segera dan Jalil telah menelefon agar permohonan itu tidak diluluskan.

Mak mendakwa pembunuhan itu dilakukan oleh seorang lelaki Korea Utara bernama 'Mr. Shin’ dan Mak sekadar menurut perintahnya.

Mahkamah Hong Kong menjatuhkan hukuman mati terhadap Mak atas tuduhan membunuh Jalil. Hukuman itu kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup.

Secara perundangan, pembunuhan Jalil tidak dikaitkan dengan penyelewengan dalam BMF tetapi ia mendorong kertas siasatan dibuka kepada aktiviti perbankan yang korup terhadap Carrian Group dan BMF.

 

 

 

Carrian Group adalah sebuah konglomerat yang diasaskan oleh George Tan, seorang jurutera warga Singapura yang asalnya bekerja sebagai pengurus projek di Hong Kong. Syarikat induknya, Carrian Holdings ditubuhkan pada 1977.

Pada 1980, kumpulan itu, menerusi subsidiari yang 75 peratus miliknya, mengambil alih menara Gammon House (kini Menara Bank of America) di pusat komersial Hong Kong pada harga HK$998 juta dan kemudian menjualnya pada harga HK$1.68 bilion. Ia mengejutkan pasaran hartanah dan kewangan Hong Kong ketika itu.

Pada tahun yang sama, Carrian mengambil alih syarikat tersenarai di bursa Hong Kong, menukar namanya menjadi Carrian Investment Ltd. dan menjadikannya alat untuk menjana dana dari pasaran kewangan.

Pembunuhan Jalil membongkar skandal kewangan membabitkan Hong Kong dan Malaysia, sebelum Carrian Group jatuh bankrap pada 1983, hanya tiga tahun setelah muncul dalam dunia korporat.

Goerge Tan dibicarakan dua kali iaitu 1986 dan 1992, dengan dia mengaku bersalah atas kesalahan penipuan kewangan pada 1996 dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

 

 

 

Skandal BMF ini juga menyebabkan kerajaan Malaysia tampil dengan Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen bertajuk Laporan Akhir Jawatankuasa Penyiasat Bumiputra Malaysia Finance Limited (Hong Kong) pada 1986.

Siasatan pihak berkuasa mengenal pasti punca skandal BMF adalah daripada penyelewengan dan salah pengurusan serta perbuatan tidak mengendahkan peraturan perbankan oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah serta pegawai tinggi BBMB dan BMF yang mengutamakan kepentingan diri.

Daripada laporan akhir dan laporan kes prima facie rasuah, Jawatankuasa Penyiasat telah menghuraikan perbuatan menipu dan manipulasi yang dilakukan di antara 19 Disember 1979 hingga 12 Oktober 1982 oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pegawai BMF yang bersubahat dengan Carrian dan mereka yang ada kaitan dengan George Tan.

Ini termasuk penipuan yang dipanggil Concerted Plan melibatkan pinjaman AS$292 juta dan AS$580 juta yang diluluskan kepada Carrian.

Dua pegawai tinggi BBMB iaitu Lorraine Esme Osman dan Datuk Hashim Shamsuddin melarikan diri ke luar negara semasa siasatan dilakukan.  Lorraine ditangkap di London dan dipenjara tujuh tahun sebelum diekstradisi ke Hong Kong untuk menjalani hukuman penjara dua bulan. Hashim juga ditangkap di London dan diekstradisi ke Hong Kong untuk dipenjara selama 10 tahun.