.
 

Mana-mana kerajaan sekalipun tidak boleh mengambil pendekatan terlalu populis dengan pelbagai pengumuman yang tidak masuk akal, di luar daripada kemampuan kewangan negara tersebut. Mana ada rakyat tidak mahu pelbagai manfaat diumumkan buat mereka. Namun hakikatnya kita juga perlu mengetahui tiada negara di dunia ini memiliki kemampuan kewangan yang tidak berbatas. Kemampuan kewangan ada hadnya. Membelanjakan wang secara tidak terkawal boleh membawa padah kepada sesebuah negara. Tidak mustahil sehingga menjadi muflis.

Sejak kebelakangan ini, banyak dakwaan dan tuduhan liar bahawa ekonomi Malaysia terlalu teruk sehingga seolah-olah menuju kebankrapan. Angka-angka dalam Bajet 2018 jelas menyangkal dakwaan tersebut, malah kedudukan ekonomi Malaysia diiktiraf berada pada kedudukan yang baik. Mana mungkin organisasi-organisasi antarabangsa yang berwibawa mengeluarkan kenyataan yang baik mengenai kedudukan ekonomi Malaysia jika tiada fakta yang membuktikannya.

Bank Dunia telah meningkatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun ini daripada hanya 4.9 peratus kepada 5.2 peratus. Adakah Bank Dunia membuat unjuran ini tanpa disokong oleh fakta? Tidak mungkin. Begitu juga, adakah agensi-agensi penarafan antarabangsa sanggup mengekalkan kredit Malaysia pada penarafan A- dengan prospek yang stabil tanpa adanya bukti yang kukuh tentang kedudukan kewangan Malaysia? Tidak mungkin sama sekali.

Sebab itulah dalam hal ini sebarang dakwaan perlu disokong dengan fakta yang sahih. Dakwaan tanpa fakta yang betul hanya menjadi tuduhan liar yang akhirnya boleh membentuk persepsi yang salah dalam masyarakat. Masyarakat pula usahlah mudah terpedaya. Selidik fakta yang sebenar kerana dibimbangi segala dakwaan tersebut akhirnya bertukar menjadi fitnah. Inilah yang paling dibimbangi kerana akhirnya akan mewujudkan suasana yang tidak baik dalam masyarakat.

Sememangnya Malaysia tidak bankrap sama sekali. Malah, dengan kemampuan kewangan negara, hasil kerajaan dapat disalurkan kepada pelbagai program yang memanfaatkan rakyat. Dalam konteks ini, pengurusan kewangan negara perlu ditadbir urus dengan cekap dan berkesan selain daripada sentiasa mengawal kedudukan kewangan negara agar segala perbelanjaan dilakukan secara berhemah. Tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut sehingga rakyat tidak dapat menikmati hasil kerajaan.

Inilah yang perlu kita faham dalam konteks tadbir urus kewangan negara. Sebab itulah, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan defisit fiskal negara bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Pepatah Melayu ada menyatakan, ukur baju di badan sendiri.

Cuma apa yang penting di sini, kita perlu lihat sejauh manakah wang tersebut diagihkan secara saksama menerusi program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan. Wang yang diagihkan secara saksama akan meningkatkan kualiti kehidupan rakyatnya. Dalam hal ini, Bajet 2018 menyerlahkan tentang beberapa petunjuk bahawa kualiti kehidupan rakyat Malaysia semakin baik. Misalnya melalui pekali Gini yang semakin rendah daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.399 pada tahun lalu menggambarkan bahawa jurang pendapatan rakyat Malaysia semakin dirapatkan. Ini bermakna, segala program yang dibuat oleh kerajaan sejak tahun 2009 sehingga tahun lalu telah memberi kesan positif terhadap pengagihan pendapatan yang lebih adil dan saksama.

Bahkan, pencapaian pendapatan bulanan isi rumah bagi golongan berpendapatan rendah (B40) juga semakin meningkat daripada hanya RM2,629 sebulan pada tahun 2014 kepada RM3,000 sebulan pada tahun lalu. Pendapatan per kapita rakyat daripada RM27,819 pada tahun 2010 telah meningkat kepada RM40,713 dan disasarkan meningkat kepada RM42,777 pada tahun hadapan.

Ini menggambarkan betapa pendapatan rakyat semakin bertambah. Agihan pendapatan dalam Bajet 2018 juga telah meneruskan tradisi mengagihkan hasil kerajaan sebaik mungkin kepada keseluruhan sektor ekonomi negara. Terutamanya dalam membantu rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Sayugia diingatkan tiada negara di dunia ini tidak memiliki sebarang masalah ekonomi. Masing-masing ada masalah tersendiri. Cuma dalam hal negara kita, tidaklah sehingga menyebabkan negara menjadi muflis. Rizab antarabangsa negara juga tinggi dengan jumlah sebanyak RM428.7 bilion yang mampu menampung import tertangguh selama 7.5 bulan. Hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2017 juga berada di bawah paras had 55 peratus daripada KDNK iaitu 50.9 peratus. Sekali lagi, fakta ini membuktikan bahawa Malaysia tidak bankrap.

Bukti lain ialah dalam Bajet 2018 kerajaan telah mengisytiharkan bayaran khas sebanyak RM1,500 buat 1.6 juta penjawat awam dan RM750 buat pesara kerajaan. Meskipun angka tersebut tidak sebagaimana yang diminta oleh penjawat awam iaitu bonus sebanyak sebulan setengah gaji, namun hakikatnya pengumuman bayaran khas ini dibuat dalam lingkungan kemampuan kerajaan. Kerajaan tidak boleh menjadi terlalu populis meskipun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).