Mohd. Faiz menerima pengiktirafan terbaik dalam kariernya selepas membuat jaringan paling cantik sepanjang 2016, hasil sepakan percuma yang unik ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lalu.

Walaupun kejayaan pemain skuad Harimau Kumbang kelahiran Jerlun, Kedah itu lebih kepada pencapaian individu, namun tempiasnya turut terkena kepada sukan bola sepak tempatan terutama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang lebih banyak dikaitkan dengan cerita-cerita kegagal­an daripada kejayaan.

Kejayaan Mohd. Faiz itu telah menyuntik keceriaan kepada para peminat bola sepak Malaysia yang sepanjang tahun lalu kusut disogokkan dengan pelbagai isu yang menyesakkan minda.

Sekurang-kurangnya buat seketika, mereka mempunyai cerita kejayaan untuk dikongsi dan diperkatakan, selepas sebelum ini terbelenggu dengan pelbagai isu yang membabitkan pemain, pengurusan dan skuad bola sepak tempatan.

Apa tidaknya, pencapaian skuad kebangsaan sepanjang 2016 langsung tidak membanggakan. Berada pada kedudukan 161 dalam ranking dunia, Malaysia antara kelompok pasukan belasahan yang langsung tidak digeruni di peringkat antarabangsa.

Di peringkat ASEAN pun Malaysia ibarat harimau tidak bertaring apabila gagal memberikan saingan pada kejohanan AFF Suzuki tahun lalu. Pada kejohanan itu, pasukan negara bukan sahaja gagal melepasi peringkat kumpulan, malah tumpas mudah kepada pasukan yang satu ketika dahulu cukup kerdil iaitu Myanmar dan Vietnam.

Malah tahun lalu juga pasukan bola sepak negara mencatat sejarah tersendiri apabila berada pada kedudukan terendah dalam ranking dunia dalam tempoh 30 tahun iaitu di tangga 174 pada Mei 2016.

Dalam tempoh 1993 hingga 2016, kedudukan paling baik yang dica­tatkan oleh pasukan bola sepak negara dalam ranking dunia ialah tempat ke-79 pada 1993. Selepas itu kedudukan kita terus merosot ke-128 (2002) dan merudum ke ranking 174 tahun lalu.

Inilah realiti sukan bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di negara ini.

Liga profesional yang diper­kenalkan sekitar 1990an juga tidak membantu meningkatkan mutu bola sepak negara. Malah, sejak liga profesional tempatan diperke­nalkan, kedudukan negara dalam ranking dunia makin merudum.

Daripada Liga Perdana kepada Liga Malaysia, Liga Super, Liga Premier dan sebagainya, makin hari hanya makin mendedahkan ketidakprofesionalisme pengurusan bola sepak negara.

Sebab itu, timbul bermacam-macam masalah membabitkan liga bola sepak tempatan terma­suk isu pasukan Kelantan yang mengumumkan terpaksa menarik diri daripada persaingan liga ekoran masalah kewangan, hujung tahun lalu.

Itu belum diambil kira isu peng­urus dipecat tanpa mengikut prosedur, tidak dibayar gaji, pemain yang terpaksa ikat perut kerana gaji tidak dibayar dan seribu satu macam masalah lagi yang membabitkan sukan bola sepak negara.

Isu dan masalah yang timbul seperti tidak ada penghujungnya ini turut merencatkan perkembangan bola sepak negara dan kenyataannya jelas terpampang pada ranking dunia FIFA.

Walaupun bola sepak sukan nombor satu di negara ini, namun tidak ada apa-apa pencapaian yang boleh dibanggakan oleh peminat, jauh sekali untuk mengharapkan ia mengharumkan nama negara.

Kedudukan negara dalam ranking FIFA sejak 1993 terus merosot dan kini pasukan kebangsaan hanya pasukan belasahan dan sukar untuk mencari lawan bagi diadakan perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa kerana kualiti bola sepak kita terlalu rendah.

Jadi, apabila tiba-tiba muncul individu seperti Mohd Faiz, ia memberikan sedikit keceriaan dan bahan untuk dibualkan me­ngenai bola sepak. Pada masa ini, pergilah ke mana sahaja, orang akan bercakap tentang Mohd. Faiz. Mohd. Faiz dijulang sebagai wira yang mengangkat martabat bola sepak negara.

Cerita-cerita Mohd. Faiz berswafoto dengan Cristiano Ronaldo, duduk sebaris dengan bintang dunia pada anugerah berprestij itu di Zurich menenggelamkan buat seketika kisah-kisah jelik dalam sukan bola sepak negara.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama menerima pengiktirafan itu, satu kejayaan yang rasanya sukar untuk diulangi selepas ini. Hendak mengharapkan skuad kebangsaan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa boleh diibaratkan seperti menanti buah yang tidak gugur. Entah bila akan menjadi kenyataan pun kita tidak tahu.

Tetapi, kalau dilihat pada kedudukan pasukan negara dalam ranking dunia sekarang, rasanya masih terlalu jauh untuk kita mencapai apa juga kejayaan. Jadi, sementara kejayaan yang dicapai oleh Mohd. Faiz ini masih baharu dan masih segar, maka ia diraikan bukan sahaja oleh penyokong Pulau Pinang, tetapi oleh seluruh peminat bola sepak di negara ini.

Ini terbukti apabila sebaik sahaja jaringan Mohd. Faiz itu tersenarai sebagai calon untuk Anugerah Puskas, para peminat di negara ini terus memberikan sokongan dengan mengundi dan seterunya membantu melayakkan Mohd. Faiz tersenarai antara tiga yang terbaik.

Sekurang-kurangnya Mohd. Faiz telah memberikan sedikit kesempatan kepada peminat bola sepak di negara ini merasaikan dan meraikan nikmat kejayaan di peringkat antarabangsa.