Dalam tempoh berlakunya musim ini beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor akan mula menerima jumlah hujan yang banyak dan berpotensi menyebabkan berlakunya banjir.

Dalam hal ini, masyarakat disaran untuk sentiasa berhati-hati ketika berada di musim banjir kerana bencana alam ini boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Salah satu perkara yang boleh dibuat adalah dengan mengetahui sifat-sifat air di musim banjir. Air bersifat memenuhi ruang. Maksudnya jika terdapat ruang kosong air akan mengalir memasuki ruang tersebut sehingga penuh.

Air akan memenuhi kawasan yang rendah terlebih dahulu dan mampu untuk menenggelamkan kawasan yang tinggi jika jumlah limpahan air adalah banyak. Jika masyarakat ambil maklum mengenai sifat air seperti ini, mereka boleh menjangkakan lebih awal kawasan mana yang akan dinaiki air terlebih dahulu dan merancang untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. Perancangan yang lebih awal boleh membantu mereka untuk berpindah dalam keadaan yang bersedia dan teratur.

Air juga mengalir perlahan jika kedalamannya adalah tinggi dan bertukar laju jika kedalamannya ce­tek. Selalunya masyarakat salah faham mengenai sifat air seperti ini. Mereka menganggap bahawa kawasan air yang cetek adalah lebih selamat berbanding kawasan air yang dalam.

Oleh sebab itu, kita sentiasa melihat masyarakat sentiasa bermain air di kawasan yang cetek seperti di atas jalan dan sebagainya. Padahal jika dibandingkan kelajuan air di atas jalan yang airnya cetek lebih berarus deras berbanding di kawasan berdekatan yang lebih dalam. Arus yang deras mampu untuk menghanyutkan objek yang berat seperti kenderaan termasuk manusia. Telah banyak kes lemas berlaku disebabkan oleh mangsa yang dihanyutkan oleh air.

Bentuk aliran air juga amat penting untuk diketahui. Air boleh mengalir dalam keadaan seragam jika bentuk permukaan tanah adalah rata seperti di padang bola dan tempat letak kereta. Sifat air di kawasan ini tidak terlalu bahaya kerana alirannya agak lemah. Namun, jika air mengalir di kawasan yang tidak rata sifat alirannya akan berubah menjadi tidak seragam. Sifat air seperti ini amat berbahaya kerana alirannya sentiasa berubah-ubah dan tidak dapat diramal.

Aliran air berbentuk putaran juga berpotensi untuk berlaku dalam keadaan air seperti ini. Ini berbahaya walaupun bagi seseorang yang pandai berenang. Apatah lagi jika kita tidak tahu berenang. Kes menyayat hati membabitkan enam anggota bomba yang mati lemas baru-baru ini membuktikan bahawa sifat air yang mengalir dalam bentuk pusaran amat berbahaya.

Oleh itu, amatlah penting untuk masyarakat mengetahui sifat air ini sebagai salah satu persediaan diri dalam menghadapi musim banjir. Jika dilihat kepada statistik jumlah kes mati lemas, hampir setiap tahun kes lemas berlaku dan ia biasanya berlaku di musim banjir.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam di UiTM Pasir Gudang, Johor.