Era 40 tahun pertama ketika abad ke-20 adalah tempoh masa yang boleh menjadi kayu ukur bagi melihat perkembangan itu sehingga ia mempengaruhi ruang lingkup ekonomi negara pada hari ini.

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merupakan antara individu yang telah menyelongkar perkembangan ekonomi negara dalam bentuk analisis yang berkait rapat dengan nilai-nilai sejarah.

Baginda menukilkan pemahaman tentang perkembangan sejarah ekonomi negara itu melalui buku bertajuk Charting The Economy, Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian Contrasts.

Buku terbitan Oxford University Press dengan 234 halaman itu hasil kajian baginda ketika melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran Falsafah (Ph.D) di Universiti Harvard tidak lama dulu.

Kandungan buku ini secara kasarnya boleh dipecahkan kepada lima fokus utama yang diolah secara teratur mengikut kronologi tahun perkembangan ekonomi yang berlaku ketika era tersebut.

Ia antaranya tentang era permulaan ekonomi Malaya dan kaitan dengan penduduknya, sejarah jumlah pendapatan negara dan juga peralihan era kolonial kepada pengurusan ketika ini.

Penerbitan buku seumpama ini merupakan suatu sumbangan penting kepada pemahaman terhadap ekonomi dunia yang berlaku ketika itu dan turut mempengaruhi perkembangan ekonomi negara.

Bidang ekonomi yang berteraskan perjalanan sejarah negara itu juga menggambarkan kesan-kesan pentadbiran kolonial yang patut diambil pengajarannya dalam konteks ekonomi kini.

Negara ini yang ketika itu dikenali sebagai Malaya banyak berasaskan kepada kekuatan ekonomi daripada sumber komoditi domestik iaitu getah dan bijih timah sebagai bahan eksport utamanya.

Justeru, Profesor Dwight H. Perkins dari Universiti Harvard menyifatkan buku ini sebagai bahan rujukan sejarah yang penting bagi menerangkan tahap pencapaian negara ini dalam bidang ekonomi.

“Malaysia antara negara yang berkembang dengan pesat dalam bidang ekonomi pada hari ini bagi mencapai status berpendapatan tinggi. Proses ke arah itu telah bermula lebih seabad yang lalu.

“Buku ini menjadi peneraju bagi menerangkan secara mendalam daripada aspek ekonomi yang asalnya berasaskan eksport getah dan bijih timah yang kini kepada produk pembuatan,” katanya.

Banyak fakta sejarah yang ada kaitannya dengan perkembangan politik terutama dasar-dasar kolonial yang telah dilaksanakan British dalam usaha merancakkan perkembangan ekonomi.

Ia berkait rapat dengan sosio-politik dan budaya masyarakat teras yang mendiami Malaya ketika itu iaitu kaum Melayu, Cina dan India yang masing-masing mempunyai latar belakang berbeza.

Baginda sedikit sebanyak turut menyentuh tentang perkembangan itu, misalnya dengan mengaitkan ekonomi luar bandar terutama peranan orang Melayu sebagai kaum utama bumiputera di negara ini.

Selain rentetan sejarah, baginda turut menguatkan isi kandungan buku ini melalui fakta-fakta yang ditonjolkan melalui info grafik berbentuk carta bagi memudahkan pemahaman para pembaca.

Contohnya, baginda banyak menggunakan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaya dan komponen-komponennya dari era tahun-tahun 1900 hingga 1939 dalam kajian tersebut.

Meskipun ia suatu naskhah yang agak berat dengan menggabungkan elemen-elemen sejarah dan ekonomi tetapi gaya bahasa yang mudah difahami menjadikannya lebih santai untuk dibaca.

Dengan menggunakan tempoh empat dekad itu, baginda menganalisis trend ketika itu serta ekonomi semasa bagi mendalami lagi pemahaman tentang perkembangan ekonomi yang telah dilalui negara.

Menurut Profesor Anthony Milner dari Australian National University, buku ini ditulis dengan kajian yang mendalam, penuh inovatif dengan mengambil kira pendekatan pentadbiran kolonial ketika itu.

“Kajian yang dilakukan baginda penuh berhati-hati dengan menggunakan metodologi yang berinovatif di samping mengambil kira taksiran pengurusan ekonomi yang dilakukan pihak kolonial.

“Tidak dinafikan sewaktu di bawah era pentadbiran British, ekonomi Malaya memang berkembang dengan pesat tetapi taraf hidup rakyat negara ini ketika itu tidak banyak yang berubah,” ujarnya.

Pada masa sama, buku ini turut menyentuh isu integrasi antara kaum yang berdepan cabaran semasa ketika itu ekoran lebarnya jurang ekonomi antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera.

Tragedi rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 menjadi sejarah yang menjadi bukti pertentangan antara kaum Cina dan Melayu berlaku disebabkan wujud perbezaan taraf hidup.

Dasar Ekonomi Baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1971 antara lain bagi mengatasi masalah seumpama itu turut disentuh dalam buku ini dalam paparan yang agak ringkas tetapi padat.

Keseluruhannya buku tulisan Sultan Nazrin ini amat penting kerana selain mengimbau sejarah negara ia juga padat dengan fakta dan angka yang boleh dijadikan rujukan pada masa kini dan akan datang.