Nabi Adam a.s. iaitu manusia pertama yang diciptakan oleh Allah mempunyai keistimewaan melebihi malaikat apabila baginda dianugerahkan oleh Allah dengan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya berkaitan dengan hal ehwal ilmu duniawi. Allah mengajar Nabi Adam pelbagai ilmu pengetahuan bagi memudahkan baginda mengendalikan hal ehwal keduniaan.Seperti mana firman Allah dalam Surah 2 (al-Baqarah):31 yang bermaksud; "Dan Dia (Allah) mengajarkan Adam nama-nama (benda) seluruhnya".

Berdasarkan penjelasan berikut maka umat Islam sepatutnya memahami bahawa ilmu pengetahuan ialah sinar cahaya yang menembusi hati nurani dan pemikiran manusia secara pembelajaran yang tersusun. Sistem pendidikan yang berorientasikan kecintaan ilmu pengetahuan tanpa batasan sepatutnya dijadikan asas pendidikan negara Islam. Institusi pendidikan ini akan menghasilkan para pelajar yang memiliki ilmu pengetahuan pelbagai bidang berdasarkan kepada sikap dan kebijaksanaan para guru mendidik dan mengasuh para pelajar mereka.

Guru memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian para pelajar, menyebarkan ilmu pengetahuan dan melatih mereka supaya memperolehi ketajaman akal dengan pelbagai kaedah seperti peperiksaan dan sebagainya. Sikap dan corak pemikiran yang berorientasikan kecintaan ilmu dan gemar melatih para pelajar menjadi orang yang berjaya dalam ilmu pengetahuan dan berakhlak mulia merupakan ciri-ciri para pendidik dan cendekiawan Islam. Jika para guru dan pendidik Islam memiliki ciri-ciri begini maka tidak wujud peristiwa soalan peperiksaan bocor atau seumpamanya.

Peperiksaan merupakan salah satu cara untuk menentukan kebolehan dan kecapaian para pelajar dalam bidang ilmu pengetahuan. Melalui peperiksaan para pelajar gigih mengulang kaji pelajaran dan berlumba-lumba untuk mendapat keputusan yang baik bagi membolehkan mereka mencapai tahap ilmu pengetahuan yang tinggi. Ilmu pengetahuan yang disebarkan kepada para pelajar sepatutnya disematkan dengan semangat cintakan ilmu bukan sikap yang berkobar-kobar untuk mendapat pangkat cemerlang secara mudah dan tidak bermoral.

Para pendidik dan pelajar yang berorientasikan jiwa ilmu tidak akan melakukan sesuatu yang terkeluar daripada etika ilmu pengetahuan ketika diuji kebolehan dan kebijaksanaan mereka dalam ilmu pengetahuan. Para pelajar dan pendidik yang berorientasikan etika menuntut ilmu sering menguji kebolehan mereka secara telus. Jika mereka berjaya dalam ujian maka perasaan bersyukur menjadi amalan mereka. Jika gagal mereka menjadi lebih bersemangat untuk memperbaiki diri dan mendalami ilmu. Jiwa begini sepatutnya disemat dalam jiwa para pendidik dan pelajar khususnya yang beragama Islam.

Dalam aspek pendidikan tidak ada sikap pilih kasih atau terlalu mengagungkan sekolah-sekolah yang dapat menghasilkan para pelajar yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang tanpa mengira latar belakang para guru dan persediaan kelengkapan pendidikan bagi sekolah-sekolah di seluruh negara. Keadilan dalam aspek pendidikan perlu dijadikan asas pendidikan negara. Jika perkara ini diabaikan maka sukar untuk menentukan sejauhmanakah kebijaksanaan para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang yang berada di sekolah-sekolah di bandar dengan para pelajar di luar bandar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan.

Guru-guru berkelayakan dan kelengkapan peralatan sekolah memainkan peranan penting bagi menentukan kejayaan para pelajar. Kebocoran kertas peperiksaan dan seumpamanya perlu dikaji secara menyeluruh supaya individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut dapat dikenal pasti. Persoalannya ialah siapakah guru-guru yang terlibat dalam penyediaan kertas peperiksaan? Jika terdapat guru-guru yang dipilih untuk menyediakan kertas peperiksaan bagi sekolah-sekolah tertentu maka kemungkinan para pelajar di sekolah tersebut akan mendapat gambaran tajuk atau bentuk soalan yang akan terpapar dalam kertas soalan. Jika perkara ini berlaku maka tidak ada bezanya kertas soalan peperiksaan bocor atau tidak.

Sikap gemar menyediakan keistimewaan kepada sekolah-sekolah yang menghasilkan ramai pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan seperti memberi wang kepada guru besar dan seumpamanya merupakan satu inisiatif yang baik tetapi kadang-kadang ganjaran sebegini boleh mendorong para guru kurang prihatin terhadap etika ilmu pengetahuan. Jika keistimewaan dijadikan sebagai matlamat untuk menghasilkan ramai para pelajar mendapat A dalam peperiksaan maka objektif pendidikan berdasarkan konsep pendidikan Islam akan gagal.

Matlamat pendidikan boleh berubah kepada konsep menghasilkan ramai pelajar mendapat pangkat A daripada menghasilkan para pelajar yang tulen kebijaksanaan dan kepintaran kerana setiap mata pelajaran yang diajar ditumpukan kepada tajuk-tajuk yang akan dipaparkan dalam kertas soalan bukan keseluruhan ilmu berkaitan dengan mata pelajaran tersebut.

Konsep ciptaan manusia sepatutnya dijadikan garis panduan sistem pendidikan negara Islam bagi menghasilkan masyarakat yang memiliki ketulenan dalam pelbagai bidang ilmu dan kepakaran. Allah menciptakan setiap individu dengan kepandaian dan kepakaran yang berbeza. Kebolehan setiap individu itu sepatutnya dipupuk dan diasuh bagi membantu mereka menerokai bidang yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka.

Oleh itu peperiksaan di peringkat awal persekolahan sepatutnya lebih tertumpu kepada bakat semula jadi kanak-kanak bukan dalam bentuk ilmu akademik yang sukar dicapai oleh kanak-kanak terutamanya mereka yang tidak dianugerahkan Allah kecapaian akal dalam ilmu akademik.

Setiap perkara berkaitan dengan ilmu pengetahuan atau kepakaran walaupun bukan dalam bentuk akademik sepatutnya dijadikan mata pelajaran di sekolah-sekolah supaya kanak-kanak dan para pelajar berminat untuk mendalami ilmu mengikut bakat yang dianugerahkan Allah kepada mereka. Ibu bapa sepatutnya memahami bakat atau minat anak-anak sejak kecil kerana sikap dan minat mereka yang dipertontonkan kepada ibu bapa itu merupakan fitrah ciptaan mereka.

Jika anak kurang berminat dalam bidang ilmu akademik maka ibu bapa usah memaksa anak-anak mendalami ilmu tersebut.

Kebijaksanaan setiap individu bukan bergantung kepada kecapaian ilmu akademik semata-mata tetapi ia berlandaskan kepada bagaimana seseorang individu tersebut berjaya mengendalikan urusan kehidupan sehariannya walaupun tidak pernah mendapat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik. Konsep dan prinsip kehidupan manusia yang mempunyai pelbagai peranan dan tugas sepatutnya dijadikan asas pendidikan negara.

Ilmu yang dituntut bukan semata-mata untuk menonjolkan diri sebagai orang yang hebat memiliki ilmu pengetahuan dan lambang kebanggaan. Penekanan utama dalam aspek pendidikan ialah bagaimanakah ilmu yang dimiliki itu dapat dijadikan amalan atau asas untuk membina kehidupan yang sempurna di dunia ini.

Jika ibu bapa, para guru dan pelajar memahami konsep dan prinsip menuntut ilmu pengetahuan dalam Islam maka isu kertas soalan bocor tidak akan wujud dalam institusi pendidikan negara Islam.

PENULIS ialah profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)