Terdapat pula yang mula berkira-kira ingin mengeluarkan semua simpanan di Tabung Haji kerana tidak lagi menjadi sumber pelaburan kompetetif yang diinginkan. Ada pula yang kecewa dan membandingkan dividen Bank Rakyat yang lebih tinggi berjumlah 16% dan ASB sebanyak 6.50% untuk tahun 2018.

Apa pun masyarakat Islam diajak memahami duduk perkara sebenar berdasarkan fakta dan analisis pakar agar dan tidak terkeliru cakap-cakap netizen dan keyboard warrior yang teruk menghentam Tabung Haji. Bak kata pepatah jangan kerana marahkan nyamuk habis kelambu dibakar.

Perlu diketahui hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk benda seperti pemberian hadiah dan sedekah. Di sisi syarak hibah bermaksud suatu kontrak yang mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain ketika hidup tanpa mengharapkan sebarang balasan ataupun gantian.

Dalam amalan perbankan dan kewangan Islam masa kini hibah biasa diberikan oleh pihak bank kepada pemilik akaun wadiah yang melaksanakan kontrak atau akad simpanan bersama institusi kewangan yang patuh syariah.

Pemberian ini pula bersifat sukarela dan budi bicara pihak bank kepada penyimpan. Yang mana jika difahami konsep wadiah asalnya sekadar akad simpanan yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan.

Sehubungan itu masyarakat Islam diajak tidak salah dalam memahami konsep hibah sehingga menganggap ia seolah-olah suatu kemestian yang menguntungkan pelaburan.

Di sudut pandang yang lain, umat Islam diajak untuk me­labur bagi meraih keuntungan berlipat kali ganda pada hari akhirat. Ini dapat dilaksanakan dengan menginfakkan lebih banyak harta ke jalan Allah SWT seperti berwakaf yang pahalanya tidak putus-putus selama-lamanya.

Malah menjelang ketibaan Bulan Ramadan yang dijanjikan dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda peluang me­raih keuntungan lumayan terhidang di depan mata. Misalnya dengan menyediakan sejumlah peruntukan untuk menjamu orang berbuka puasa yang dijanjikan dengan ganjaran dan pahala yang sama.

Lebih dari itu masyarakat Islam diajak mempertahankan institusi Tabung Haji sebagai satu daripada syiar Islam yang tidak terdapat di mana-mana negara Islam yang lain. Dengan jumlah deposit sebanyak RM75,413 bilion pada 2018 dan 9.3 juta pendeposit ia suatu yang sangat dibanggakan.

Malah sehingga kini ia masih lagi menjadi tabungan utama untuk kira-kira tiga juta umat Islam yang telah mendaftar untuk menunai fardu haji. Umat Islam harus terus menyokong pelan pemulihan Tabung Haji dan segala usaha terbaik untuk memantapkan pengurusan kewangannya sekali gus menjamin keuntungan yang lebih baik pada masa mendatang.

Dalam hal ini, pandangan seorang pakar syariah dan kewangan Islam, Datuk Dr. Daud Bakar agar Tabung Haji menyediakan akaun wadiah untuk pendeposit dan akaun mudha­rabah untuk pelabur disokong agar kepentingan ke­dua-dua pihak dapat dipelihara. Apatah lagi di zaman pasaran saham yang tidak menentu pada masa ini.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.