WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

Ketua Lajnah Kajian Strategik, Majlis Ittihad Ummah, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata, kedaulatan raja-raja Melayu termaktub dalam perkara 181 (1) iaitu kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.

“Apabila disebut perkataan ‘sebagaimana yang telah ada hingga kini’, ini bermakna kedaulatan raja ditafsirkan menerusi kaedah sejarah perundangan. Konsep kedaulatan raja-raja Melayu dalam Perlembagaan sangat penting sebagai pernyataan yang sahih dalam menjelaskan prinsip perundangan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Wacana bertajuk Kuasa Raja-Raja Melayu: Antara Perlembagaan dan Warisan dalam Rangka TN50.

Katanya, kedaulatan raja-raja mula dibahaskan secara kritikal setelah berlakunya Malayan Union.

“Apabila terbentuknya Malayan Union, ia ditentang raja-raja dan rakyat Melayu. Ini kerana mereka dapat melihat apa yang lahir daripada Malayan Union itu berbeza dengan aku janji yang diberikan kepada raja Melayu sebelum ini.

“Setelah berlakunya penentangan besar-besaran yang diketuai parti UMNO terhadap gagasan Malayan Union, maka pada Julai 1946 diadakan satu rundingan jawatankuasa kerja di antara raja-raja, pemimpin UMNO dan British.

“Dalam jawatankuasa itu, telah ditegaskan kedaulatan raja-raja hendaklah menurut adat Melayu dan bukannya kerangka Barat,” katanya.

Tambahnya, hasil rundingan yang diadakan telah mencetuskan Perjanjian Negeri 1948.

“Dalam klausa yang ditulis mentakrifkan bahawa kedaulatan raja-raja itu adalah prerogative, kuasa dan bidang kuasa yang dimiliki oleh baginda pada 1 Disember 1941. Pada masa yang sama, raja-raja Melayu turut menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

“Ingin ditegaskan bahawa penetapan kedaulatan raja-raja Melayu seperti pada 1 Disember 1941 iaitu sebelum perjanjian dengan Harold MacMicheal dan sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu,” katanya.

Hakikatnya, kedaulatan raja-raja Melayu sebenarnya bersumberkan Islam yang terbina ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Justeru, kedaulatan ialah konsep keagungan bersumberkan syariat Islam yang mempercayai kuasa mutlak hanya pada Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran dan Sunah.

“Berdasarkan kerangka ini, maka kepimpinan raja Melayu mempunyai kedudukan sebagai khalifah. Berbeza dengan konsep kedaulatan dari teori barat yang merujuk kepada kekuasaan mutlak atau agung yang tidak terkawal dalam sebuah wilayah berhubung politik dan undang-undang, kuasa itulah yang mencorakkan politik, mengabsahkan penggubalan undang-undang, mempunyai kehendak bebas dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya, meskipun sistem Raja Berperlembagaan di England atau yang dikenali sebagai ‘Westminster Model’ diterapkan, namun prinsip Raja Berperlembagaan di Malaysia ini berbeza daripada yang dilaksanakan di England.

“Sudut pandang yang kita perlu tahu ialah Perlembagaan Malaysia ialah undang-undang dan bukannya kontrak sosial (persetujuan rakyat). Piagam Magna Charta di England mengasaskan konsep keistimewaan Parlimen. Ia berbeza dengan konteks Tanah Melayu.

“Kontrak sosial wujud atau lahir dari Magna Charta (piagam agung) bermula pada 1215 di England. Apabila berlaku Glorious Revolution pada 1688, diikuti dengan Bill of Rights pada 1689, konsep kedaulatan di England bukan lagi terletak pada raja, tetapi Parlimen,” katanya.

Tegasnya, Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan menerusi kedaulatan raja-raja Melayu yang terpelihara sehingga kini dan bukan disebabkan kontrak sosial.

“Doktrin Kontrak sosial adalah satu prinsip meletakkan kedaulatan kepada manusia, lantas mengubah kedaulatan yang dijunjung oleh raja-raja Melayu yang mempercayai hanya Allah mempunyai kuasa mutlak dan raja-raja Melayu berperanan sebagai pemegang amanah yang berperanan selaku ketua agama dan menguatkuasakan hukum-hakam Islam.

“Oleh kerana golongan liberal tidak faham tentang jati diri negara kita, maka wujud konotasi yang mengatakan warisan watan Tanah Melayu telah terhapus. Mereka mendakwa disebabkan wujudnya kontrak sosial, maka rakyat yang terdiri daripada orang Melayu dan kaum penghijrah bersetuju untuk mengembalikan kuasa raja, agama Islam dan meletakkan keistimewaan orang Melayu.

“Tanpa persetujuan rakyat, British tidak akan setuju memberikan semula kuasa raja, kedudukan Islam dan kemerdekaan. Ini adalah fahaman kontrak sosial yang dibawa pada hari ini.

“Kita kena faham bahawa penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 menjadi sah kerana ditandatangani raja-raja Melayu.

“Saya ingin tegaskan bahawa Perjanjian Negeri 1948 merupakan batu asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957,” katanya.