Negara ini sudah mencapai kemerdekaan melebihi 59 tahun yang mana masyarakatnya memahami antara satu sama lain walaupun berkaitan budaya dan tradisi agama.

Laungan azan sudah berkumandang sejak Islam bertapak di Tanah Melayu pada akhir abad ke-15. Masyarakat bukan Islam sejak zaman silam itu sudah memaklumi bahawa azan adalah ­penting dalam agama Islam dan laungan azan berkumandang sebanyak lima kali sehari.

Seluruh dunia Islam mengamalkan perkara sama yang mana umat Islam diperingati supaya menunaikan sembahyang pada waktu yang ditentukan melalui seruan azan. Setiap individu yang lahir di negara ini sejak bayi lagi sudah mendengar seruan azan walaupun mereka bukan Islam. Persoalannya, kenapa seruan azan dianggap sebagai satu perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman sebilangan kecil masyarakat bukan Islam dalam negara ini masa kini?

Setiap agama mempunyai tradisi yang dianggap sebagai pelik oleh penganut agama lain. Ini disebabkan perbezaan akidah atau kepercayaan mengenai konsep ketuhanan dan tradisi agama dan budaya. Perbezaan ini sepatutnya diperakui dan sikap hormat menghormati di antara satu sama lain perlu disemai dalam sanubari setiap rakyat dalam negara ini.

Perkara ini dibangkitkan oleh golongan tertentu mungkin di­sebabkan oleh suasana politik umat Islam kini berada dalam kemelut yang mana boleh melemahkan kekuatan dan kewibawaan agama Islam. Keadaan begini memberi peluang kepada golongan tersebut meluahkan perasaan tidak senang mereka kepada amalan umat Islam yang sudah lama terpendam dalam hati mereka.

Sebagai rakyat dalam sebuah negara yang majoriti masyarakatnya Islam, perkara seperti ini tidak sepatutnya dibangkitkan oleh masyarakat bukan Islam. Laungan azan bukan memakan masa yang lama dan waktunya bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Azan waktu subuh misalnya, bersesuaian dengan waktu manusia bangun dari tidur dan hendak memulakan tugas kehidupan seharian.

Umat Islam dalam negara ini sepatutnya melihat sesuatu perkara berdasarkan kepada perspektif yang lebih luas berkaitan isu-isu agama. Apabila melihat sesuatu aktiviti yang mencurigai berkaitan agama maka penyelidikan secara berhemah amat diperlukan sebelum disebarkan secara terbuka di media massa dan seumpamanya. Sikap keterbukaan dan faham memahami amat diperlukan di antara umat Islam dan bukan Islam bagi menjamin keharmonian kaum.

Rumah ibadah orang bukan Islam yang menyerupai masjid dan sebagainya sepatutnya tidak dijadikan sebagai satu isu besar yang boleh membangkitkan ­perasaan prejudis dan kebencian dalam kalangan umat Islam terhadap bukan Islam.

Manusia sering tertarik dengan keindahan dan keunikan bangunan sama ada berkaitan rumah ibadah dan sebagainya. Banyak gereja mempunyai kubah seperti masjid di Cyprus dan juga sebuah gereja di Venice, Itali. Masyarakat Kristian di negara tersebut terpengaruh dengan seni bina Ottoman yang mempunyai keunikan yang mempesonakan. Apabila keunikan seni bina Islam dapat mempengaruhi jiwa masyarakat bukan Islam maka ini adalah salah satu keindahan Islam yang menjadi model kepada masyarakat bukan Islam.

Masyarakat Islam di Malaysia mempunyai perspektif berbeza dengan masyarakat Islam di negara lain berkaitan rumah ibadah. Di negara-negara Barat seperti Britain, gereja yang dijual kepada umat Islam dijadikan masjid dan pusat kegiatan keagamaan. Umat Islam di Malaysia amat sensitif jika rumah ibadah orang bukan Islam menyerupai bangunan masjid. Mungkin perkara ini dipandang serius oleh masyarakat Islam disebabkan mereka ingin memelihara kesucian agama Islam terutama berkaitan akidah Islam.

Masyarakat bukan Islam sepatutnya memahami bahawa membina kubah untuk rumah berhala seperti masjid dan sebagainya tidak akan memberi mudarat kepada agama Islam tetapi perbuatan demikian menimbulkan kecurigaan terhadap masyarakat Islam. Umat Islam amat sensitif dengan perkara berkaitan konsep tauhid dan tradisi Islam.

Bagi masyarakat Islam di Malaysia bangunan masjid yang dibina berlandaskan kepada konsep seni Islam yang memperlihatkan rumah ibadah orang Islam tidak sepatutnya dijadikan sebagai rumah berhala atau seumpamanya kerana ia tidak bertepatan dengan konsep ketauhidan dalam Islam.

Adalah lebih baik jika setiap masyarakat menonjolkan keunikan seni bina rumah ibadah mereka berlandaskan kepada konsep akidah dan tradisi agama mereka. Kesatuan masyarakat pelbagai bangsa dan agama tidak semestinya perlu sama dalam setiap perkara terutama berkaitan isu agama.

Oleh itu, tonjolkan keindahan dan keunikan agama masing-masing dengan seni bina yang indah supaya negara ini dihiasi dengan bangunan yang unik dalam pelbagai bentuk seni bina manusia.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.