Pada prinsipnya, ia merupakan perjalanan kepada Allah SWT sebagaimana amalan secara umum yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in. Itulah perjalanan hidup yang menyeluruh dalam kalangan ulama salaf.

Rasulullah dan sahabat merupakan mereka yang mendahului atau lebih ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah, oleh itu mereka adalah orang yang terdekat kepada Allah. Dengan ungkapan lain tarekat ialah melaksanakan agama Islam dengan teliti dan juga menjauhi serta meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah.

Kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh Islam dikerjakan dengan sempurna seperti solat lima waktu, puasa bulan Ramadan, zakat, haji dan lain-lain. Selain daripada itu, dikerjakan pula secara bersungguh-sungguh dan penuh minat keutamaan-keutamaan yang dianjurkan oleh Islam seperti mengerjakan solat tahajjud, solat sunat rawatib, puasa hari Isnin dan Khamis, aktif membaca al-Quran, membaca selawat, tasbih, istighfar dan zikir-zikir yang lain.

Manakala perkataan ‘muktabarah’ pula bererti tarekat yang muttasil (bersambung sanadnya) kepada Rasulullah, syari’atnya pula mestilah mengikut aliran Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah iaitu mengikuti satu dari mazhab empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali serta amalan tasawwufnya pula hendaklah mengikut ajaran ulama salaf dan khalaf yang muktabar.

Ilmu tarekat ialah ilmu yang membicarakan tentang hal-ehwal nafsu dan sifat-sifatnya seperti sifat-sifat mazmumah yang perlu dijauhi dan ditinggalkan, diisi pula dengan sifat-sifat mahmudah untuk diamalkan. Ia juga membicarakan tentang ilmu ketuhanan dengan menggunakan dalil-dalil akli bagi para murid dan juga syuhud bagi para wasilin. Lebih tepat, ia membincangkan tentang al-Takhalli, al-Tahalli dan al-Tajalli. Apa yang dimaksudkan dengan al-takhalli ialah pembuangan atau pengosongan jiwa daripada sifat-sifat yang hina iaitu sifat-sifat kesyaitanan dan kehaiwanan. Elemen inilah yang menjadi debu dan pengotor jiwa serta hati.

Sementara itu, al-Tahalli pula ialah pengisian jiwa dan hati dengan sifat-sifat mulia yang diistilahkan dengan al-Takhalluq bi Akhlaq Allah (berakhlak dengan akhlak Allah). Setelah melalui dua proses tersebut, jiwa dan hati akan mencapai peringkat kejernihan (al-safa’) yang seterusnya akan melayakkannya untuk menerima al-tajalli iaitu penyaksian dan makrifah.

Dengan ungkapan lain, ilmu ini membincangkan ‘riadah’ dan ‘mujahadah’. Riadah ialah latihan-latihan untuk penyucian jiwa daripada sifat-sifat negatif atau mazmumah. Mujahadah pula ialah perjuangan untuk menghiasi hati dengan sifat-sifat mahmudah.

Daripada huraian-huraian di atas dapatlah disimpulkan bahawa objektif tarekat dipelajari adalah untuk mendapat kebersihan hati daripada terikat kuat dengan kehidupan dunia dan seterusnya dihayati melalui amalan zikir, muraqabah, muhasabah, mahabbah, ma’rifah dan musyahadah kepada Allah SWT.

KRITERIA PENETAPAN
TAREKAT MUKTABARAH

Silsilah dan syariah Islamiyyah merupakan dua perkara yang paling penting bagi menentukan sesebuah tarekat itu muktabarah atau sebaliknya. Silsilah ialah tarekat yang bersambung sanadnya kepada Nabi Muhammad serta ditapis oleh syariah Islamiyyah. Ini bererti bahawa pengajaran sesebuah tarekat itu tidak boleh bercanggah dengan pengajaran syariah yang telah diketahui dan diterima umum oleh masyarakat Islam.

Dalam kalangan ahli sufi dan tarekat, konsep guru (sheikh) adalah amat penting. Malah kelahiran sesebuah tarekat itu adalah disebabkan adanya sheikh. Konsep ini diakui dan dituntut oleh al-Quran dan al-Sunnah. Daripada sudut pendidikan, kesempurnaannya bukan setakat menyampaikan maklumat tentang suatu perkara yang hendak diajar, malah yang lebih penting memperlihatkan kaedah-kaedah dan cara-cara pelaksanaannya yang betul.

Oleh itu, jelaslah betapa pentingnya guru pada setiap bidang pendidikan. Jika dalam bidang ilmu yang bersifat zahir, guru diperlukan dalam mencapai pendidikan yang sempurna, maka dalam bidang ilmu tarekat ini yang sifatnya jauh lebih rumit dan lebih khusus sudah pasti guru sangat-sangat diperlukan. Syarat-syarat untuk menjadi guru yang murshid antara lain:

- taqwa kepada Allah SWT.

‘allamah dengan ilmu-ilmu syariah.

beramal dengan ilmu-ilmu tersebut.

tamat dari tarbiyah sesebuah tarekat yang muktabarah.

berakhlak dengan sifat-sifat mahmudah, sifat-sifat munjiyat dan sifat-sifat makarim al-akhlaq, serta menjauhi dan meninggal sifat-sifat mazmumah, sifat-sifat muhlikat, fawahisy ma zahara minha wa ma batan.

Dasar-dasar pembentukan akhlak menurut tarekat, antaranya:

berpegang dengan al-Quran.

mengikuti jejak Rasulullah SAW.

makan dan minum yang halal.

menjauhi maksiat.

taubat nasuha daripada segala dosa.

melaksanakan hak-hak Allah dan menyampaikan hak-hak manusia.

​ dilarang menyakiti orang lain sama ada secara zahir atau batin terutama para wali dan ulama.

Dalam pada itu, dakwaan memiliki daya kekuatan ghaib sebenarnya tiada dalam tarekat. Cuma yang ada ialah maunah dan karamah kerana ia merupakan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya yang dikehendaki. Maunah ialah hal yang luar biasa yang terjadi kepada orang mukmin manakala karamah pula ialah perkara luar biasa yang terjadi kepada wali Allah SWT.

Tokoh-tokoh ulama tasawwuf dan tarekat di peringkat awal pada abad ketiga hingga ketujuh hijrah tidak pernah pun membicarakan perkara ini atau tidak menganggap unsur keramat sebegini suatu tanda kesempurnaan ilmu dan amalan mereka.

Apa yang diutarakan di atas hanyalah satu pandangan ringkas untuk pemikiran bersama. Semua idea yang dikemukakan adalah terbuka untuk perbincangan bagi mencari satu penyelesaian yang ideal. Di dalam pengajian tarekat masih banyak lagi konsep-konsep yang tidak disentuh seperti bai’ah rabitah, makrifah dan sebagainya.

Namun begitu kita berpendapat setiap konsep dalam tarekat hendaklah ditundukkan kepada syariah yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah kerana jika konsep-konsep tersebut tidak dijaga dan dikawal oleh syariah, perkembangannya dikhuatiri akan menyalahi syarak. Inilah wasatiyyahnya pembentukan akhlak dalam diari kehidupan seorang sufi.

PENULIS ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.