Ia kemudiannya disampaikan kepada utusan-Nya Nabi SAW selama 23 tahun. Al-Quran diturunkan antaranya adalah untuk menegakkan tauhid yang hakiki, mengangkat kemuliaan insan tanpa mengira asal usul, pangkat dan harta, menyeru pembersihan jiwa dan menyampaikan khabar-khabar kebenaran. Tidak ada satu pun ayat-ayat dalam al-Quran yang terselit padanya pendustaan. Firman Allah SWT:

“Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa.” (Al-Baqarah ayat 2)

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.” (Al-Baqarah ayat 119)

Kebenaran kandungan al-Qu­ran adalah mutlak. Segala cerita dan berita yang disampaikan da­lam ayat-ayatnya berkaitan cerita-cerita lampau, yakni sejak sebelum kejadian Adam dan awal ta­madun manusia sehinggalah cerita-cerita masa hadapan yang belum terjadi adalah benar belaka.

Oleh itu, al-Quran adalah muk­jizat terbesar yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW. Ia tidak bercampur-aduk dengan fitnah, dusta dan helah. Nabi SAW yang menjadi utusan dalam menyampaikan kebenaran ini turut dihiasi dengan akhlak yang serupa. Justeru, dianjurkan kepada seluruh Muslim untuk berbicara akan perkara yang be­nar dalam misi memperbaiki sahsiah diri dan dakwah kepada ma­syarakat umum.

Kepesatan perkembangan du­nia maklumat pada hari ini membolehkan semua informasi diakses dan dikongsi secara atas ta­lian melalui aplikasi Facebook, WhatsApp, Twitter dan sebagai­nya. Ia menjadi manfaat yang tidak terhingga bagi masyarakat untuk berkongsi maklumat. Malangnya, tidak seperti al-Quran yang mutlak sifat kebenarannya, maklumat yang disampaikan melalui atas talian ini bercampur aduk antara benar dan dusta dek kerana sikap sesetengah pengguna yang tidak cakna dengan status maklumat yang disampaikan.

Seringkali, maklumat yang di­sampaikan mengandungi fitnah kepada sesuatu pihak. Ini menjadi parah apabila fitnah ini di­sebarkan tanpa diselidik sehingga ia menjadi tular dalam kalangan masyarakat. Allah telah memberi peringatan dalam firman-Nya:

“Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa. Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.” (Asy-Syu’araa’ ayat 221-223)

Menyampaikan dusta dan fitnah adalah sifat yang bersemadi dalam diri syaitan yang dimurkai Allah SWT. Masyarakat perlu me­ngelakkan daripada bersifat sedemikian. Dusta dan fitnah kepada orang lain membawa kesan yang buruk seperti memutuskan silaturahim dan membunuh reputasi baik pihak yang difitnah. Bahkan, sekiranya dusta ditularkan kepada masyarakat sudah tentu akan menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

Misalnya, popular di aplikasi WhatsApp mengenai berita tidak halalnya sesuatu produk yang telah disahkan sebaliknya oleh badan berautoriti atau berita bahaya sesuatu produk yang direka-reka oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Perkara yang tidak ditentusahkan sebegini menimbulkan kecurigaan masyarakat kepada badan-badan berautoriti dan menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga terbabit.

Adalah terbaik bagi masyarakat yang terpasak pada dirinya akan kebenaran tauhid untuk menilai akan benar atau salah sesuatu berita. Ketika datangnya kepada diri kita mengenai sesuatu khabar, hendaklah diselidiki akan kebenaran khabar tersebut sebelum disebarkan.

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenai­nya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujuraat: 6)

Masyarakat seharusnya kembali mengingati kisah Saidatina Aishah RA yang difitnah bersekedudukan dengan Safwan Al-Mu’attil ketika perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq. Setelah Madinah tular dengan khabar fitnah itu, turunlah beberapa ayat dari al-Quran yang membela Saidatina Aishah. Antara firman Allah SWT mengenai khabar fitnah itu ialah:

“Sepatutnya semasa kamu men­dengar tuduhan itu, orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (Surah An-Nur ayat 11)

Kisah fitnah terhadap Aishah sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita pada hari ini untuk menyelidik setiap berita tidak baik yang tersebar dan tidak sama sekali mengulangi sikap tidak berburuk sangka kepada orang lain.

Silaturahim adalah sesuatu yang bernilai dalam kehidupan bermasyarakat, apatah lagi apabila dikaitkan dengan kesatuan ummah. Cerita dusta dan bohong mengenai individu atau pihak ter­tentu dalam kelompok masyarakat boleh menimbulkan kebencian dan meruntuhkan hubungan baik dan perpaduan ummah.

Maka, sekiranya sampai kepada kita mengenai keburukan yang tidak pasti mengenai seseorang, hendaklah kita menge­cualikan diri daripada berbicara mengenai hal tersebut. Ini sesuai dengan pesanan yang diambil daripada Imam Ja’far Muhammad RH: “Apabila sampai kepadamu sesuatu yang buruk mengenai saudaramu, maka carilah alasan keuzuran baginya sehingga 70 keuzuran. Apabila kamu tidak dapat mencari satu pun keuzuran, maka katakanlah, barangkali dia mempunyai keuzuran yang aku tidak ketahui.”

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).