Tetapi ada juga yang tidak kisah ada bos atau tidak di dalam Facebook. Kelompok ini berpegang kepada polisi kebebasan bersuara. Hentam tetap hentam. Hentam bos. Hentam bos kepada bos. Hentam pemilik syarikat. Kalau tidak hentam, mana hendak raih LIKE?

Mempunyai bos-bos dalam kalangan friend Facebook ini, memang diakui agak sendu. Tambah-tambah lagi bila hendak paparkan hal-hal peribadi seperti lokasi percutian. Bos pun siar lokasi percutian. Bos bercuti di Kuching, kita bercuti di Bali. Nasiblah. Bos tidak ada pasport, mungkin.

Satu lagi senario ialah Facebook telah menjadi diari sebilangan daripada kita. Apa kita buat, apa kita fikir dan apa kita baca dalam Facebook, kemudian kita ulas ikut cita rasa kita. Kalau meluat terhadap layanan pelayan restoran, kita siar kebengangan kita siap dengan video.

Dalam kebanyakan situasi, rasanya ramai bos tidak akan campur tangan dalam keluh-kesah yang anda siarkan di Facebook. Paling tinggi pun, klik LIKE. Paling tidak pun, hanya taip 'Hahaha’.

Ini kerana kebanyakan bos faham dan mengerti betapa sulitnya keadaan jika mereka campur masuk atau tumpang beri pendapat, dalam soal-soal peribadi atau kemarahan anda. Serba-salah. Jadi untuk mengelak keadaan ini, elok buat-buat tidak nampak.

Namun, berdiam diri sedemikian bukanlah bermakna anda lepas bebas. Tidak sama sekali. Apa anda siar, tulis dan paparkan dalam Facebook akan kekal selama-lamanya, jika dipadam sekali pun kemudiannya, tidak lenyap dalam minda ingatan pembaca. Ia membentuk persepsi, perwatakan dan keperibadian anda sebagai anak buah, rakan sekerja dan apakah anda boleh diharapkan.

Kolumnis Azleen Abdul Rahim menghuraikan aspek ini menerusi artikel menarik bertajuk Media sosial: 4 sebab anda gagal dapat kerja, dalam kolum Perspektif di Utusanbiz setiap Selasa.

Secara ringkas, Azleen menceritakan alkisah seorang lelaki yang mencari kerja tetapi berterusan gagal walaupun memiliki kelulusan tinggi, pengalaman luas dan sebagainya.

Setelah diselidik punca kegagalan, lelaki itu menyedari media sosial menjadi punca majikan enggan mengambilnya bekerja. Ini kerana di Facebooklah menjadi medan dia meluahkan apa sahaja di hati.

Dia merungut, setiap kali selesai temuduga terakhir dengan ketua eksekutif dan ketua sumber manusia, pasti dia akan mendapat berita tentang kegagalan walaupun dia memang yakin dengan diri sendiri dan jawapan yang diberi ketika sesi temuduga.

Menurut Azleen, sekiranya anda seorang yang aktif dalam mencari pekerjaan masa zaman ini, anda perlu tahu para majikan pasti akan membelek secara diam-diam aktiviti media sosial anda.

"Mereka perlu tahu siapa anda sebenarnya di luar waktu pejabat, sama ada anda adalah seorang yang baik atau tidak, boleh dipercayai atau tidak, dihormati ataupun tidak, cepat marah dan melatah ataupun tidak, dan pelbagai lagi.

Beliau membentangkan empat punca utama kenapa media sosial menjadi penghalang utama anda untuk mendapatkan pekerjaan idaman. Berikut diperturunkan semula oleh Merrepak:


Selalu mengadu, marah- marah dan menghentam orang lain

Sekiranya bakal majikan melihat Facebook anda, pertama sekali mereka akan memantau sama ada anda seorang yang kuat mengadu ataupun tidak. Dengan berpandukan status dan komen yang anda muat naik di media sosial, mereka akan sedar yang anda belum lagi matang walaupun sudah berumur 45 tahun.

Matang dalam erti kata sebenar ialah tahap kawalan diri ketika marah atau tidak puas hati terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Reaksi anda di media sosial akan dapat dilihat secara terang-terang oleh sesiapa sahaja.

Walaupun anda berkelayakan untuk menjawat sesuatu pangkat di sesebuah syarikat, mereka tetap tidak akan memilih anda jika selalu mengadu dan asyik menghentam orang lain sahaja kerana anda berpotensi untuk berbuat demikian kepada syarikat mereka sekiranya anda tidak berpuas hati tentang sesuatu.


Selalu bersedih dan kecewa

Golongan ini selalu menceritakan tentang nasib mereka, bersedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Jika anda termasuk dalam golongan ini, maka dengan sendirinya anda juga bakal menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Anda seorang yang terlalu mudah berputus-asa, jadi bagaimana sekiranya terdapat masalah-masalah pejabat yang perlu anda selesaikan nanti.

Mereka tidak perlukan anda yang sebegini negatif, tetapi seorang yang gigih dan mempunyai semangat tinggi untuk mengatasi apa jua masalah yang datang.


Perkauman

Ini satu lagi kelemahan yang terang-terang terdapat di media sosial, yang biasanya akan dapat dilihat oleh para majikan. Apa yang mereka buat ialah dengan menaip nama anda di dalam Google, itu sahaja. Pasti akan keluar semua rahsia anda melalui status-status dan komen-komen perkauman yang anda pernah tulis.


Aktiviti yang salah di sisi moral atau undang-undang

Memuat naik gambar-gambar atau video yang berbentuk peribadi seperti pesta muda-mudi, kelab-kelab malam, bergambar ketika memegang gelas air syaitan dan berpeluk-pelukan bukan muhrim juga memainkan peranan penting dalam pencarian pekerjaan anda suatu hari nanti.

Ini semua akan dapat dilihat oleh sesiapa sahaja termasuk bakal majikan anda.Menurut Azleen, apa pun yang anda lakukan di media sosial, janganlah terlalu ingin menjadi ‘anda’ sangat.

Setiap apa yang anda tulis di Internet, ia akan berada di sana buat selama-lamanya.