Dengan sejarah hubungan yang cukup rapat dan panjang itu, lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selama enam hari ke India mulai 30 Mac hingga 4 April lalu sangat signifikan dan amat bermakna dalam konteks hubungan dua hala Malaysia-India.

Ini adalah lawatan rasmi kali ketiga sejak dilantik Perdana Menteri. Beliau berada di Chennai selama dua hari. Sambutannya meriah. Sehari sebelum ketibaannya, kira-kira 40 poster gergasi sudah dinaikkan menghiasi beberapa jalan utama di bandar raya itu seperti di Jalan Little Mount sehingga ke Stesen Kereta Api Guindy sejauh kira-kira dua kilometer.

Poster yang tertera perkataan India Welcomes Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak juga sudah dipasang di sekitar Hotel The Grand Chola, hotel penginapan Perdana Menteri dan rombongan Malaysia.

Suasana di hotel penginapan juga meriah. Ruang lobi hotel lima bintang itu bersimpang-siur dengan ahli-ahli perniagaan India dan Malaysia. Ada beberapa acara besar diatur sempena kunjungan tersebut. Antaranya, Perdana Menteri bertemu dengan ketua-ketua industri dan ahli-ahli perniagaan di negeri Tamil Nadu.

Najib juga bertemu dengan diaspora Malaysia di negeri tersebut yang kebanyakan adalah ahli perniagaan dan penuntut pengajian perubatan, pergigian dan farmasi. Bukan sahaja dari negeri Tamil Nadu, malah sebahagiannya sanggup datang dari Karnataka.

Walaupun hanya dua hari, Chennai yang menjadi 'mukadimah’ lawatan Perdana Menteri ke India menampakkan banyak petanda positif. Sambutan yang diterima ketika sesi dialog dengan ketua-ketua industri sangat memberangsangkan.

Para pemimpian industri daripada pelbagai sektor di negeri tersebut yang hadir teruja dengan peluang dan insentif pelaburan yang ditawarkan oleh Malaysia.

Pada sesi itu Najib mempelawa ahli-ahli perniagaan dari India untuk menjadikan Malaysia sebagai gerbang pelaburan ke negara-negara di rantau ASEAN dan sekitarnya kerana kedudukan negara yang begitu strategik sebagai hab perdagangan.

Dengan kekuatan, kekayaan dan kepelbagaian sektor ekonomi yang dimiliki, ditambah dengan asas sektor pembuatan yang kukuh, rantaian hubungan dan infrastruktur moden, dasar-dasar kerajaan yang proaktif selain sistem perundangan yang baik, Malaysia boleh dijadikan 'tapak pelancar’ bagi ahli perniagaan India meneroka dan menembusi pasaran ASEAN dan jiran berhampiran.

Pada masa ini, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berada pada tahap pesat dan meningkat empat kali ganda sejak tahun 2003 hingga 2015. India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, menyumbang 3.3 peratus atau RM52.65 bilion daripada jumlah dagangan negara.

Dalam kesibukan dan jadual program lawatan yang begitu padat, Najib sempat bertemu dengan pengarah dan pelakon terkenal filem Tamil, Rajinikanth. Pertemuan ini menjadi viral di media sosial. Bagaimanapun itu bukan sekadar pertemuan kosong.

Perjumpaan tersebut dijangka merintis dan membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan industri filem negara. Perdana Menteri sendiri mempelawa seniman itu untuk terus memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran filem-filem beliau pada masa akan datang.

Petanda-petanda positif yang dapat dilihat pada dua hari pertama, berterusan ketika Perdana Menteri menyambung lawatan ke New Delhi. Hasilnya sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara dengan nilai pelaburan dianggarkan RM158.4 bilion dimeterai.

Memorandum persefahaman itu melibatkan projek-­projek seperti pembinaan pelabuhan, lebuh raya, loji janakuasa tenaga solar, pembangunan bandar pintar dan taman teknologi, pembinaan terminal penggasan semula, pembangunan projek pemprosesan kelapa dan kelapa sawit serta pendidikan tinggi.

Keikhlasan

Dua projek tumpuan ialah projek pembangunan bersepadu bandar maritim di Pulau Carey antara MMC Port Holdings Sdn. Bhd., Sime Darby Property Berhad dengan Adani Ports dan Special Economic Zone Limited bernilai RM100.3 bilion untuk tempoh 30 tahun manakala projek Pelabuhan Pulau Carey antara MMC dan Adani pula bernilai RM41.3 bilion.

Persefahaman itu secara jelas membuktikan keyakinan India khususnya para pelabur ke atas persekitaran perdagangan dan ekonomi Malaysia. Ini ditambah lagi dengan kegigihan Narendra Modi yang begitu bersungguh-sungguh berusaha mahu merombak ekonomi negara itu. Beliau memberi dorongan kuat kepada syarikat-syarikat tempatan India agar meneroka pasaran baharu.

Selama ini syarikat-syarikat negara tersebut tidak begitu agresif dan hanya tertumpu kepada pasaran tempatan sahaja. Kesediaan Malaysia memberi peluang syarikat dari India bagi turut serta dalam projek seperti pembangunan infrastruktur kereta api membuktikan keikhlasan mewujud suasana menang-menang.

Seperti kata Najib, kesan besar kepada kejayaan ini bukanlah atas nombor dan angka semata-mata sebaliknya lebih daripada itu. Kejayaan itu bakal memberi makna kepada rakyat Malaysia dan India.

Beribu-ribu peluang pekerjaan akan diwujudkan yang sudah pasti dapat merubah masa depan rakyat. Justeru adalah menjadi tanggungjawab bagi semua syarikat Malaysia yang terlibat berusaha untuk menterjemahkan segala MoU itu dalam bentuk perjanjian bagi membolehkan projek yang dirancang berjalan dengan baik.

Pada masa yang sama juga semua syarikat Malaysia yang diberi peluang perlu memastikan segala projek pembangunan itu berjalan sebagaimana dijanjikan demi menjaga reputasi negara.

Apa yang telah dicapai itu menepati apa yang diungkap oleh Perdana Menteri sebagai kejayaan melangkaui jangkaan. Pertama, lawatan tersebut berjaya mencorakkan semula hubungan diplomatik kedua-dua buah negara.

Hubungan dua hala Malaysia-India mengalami evolusi dan berkembang daripada satu bidang, satu dimensi kepada pelbagai bidang dan dimensi dengan lebih strategik dan komprehensif.

Tidak hairanlah jika pemimpin kedua-dua negara itu menyifatkannya sebagai berada pada 'tahap tertinggi dalam sejarah.’