Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ETS ‘mencabar’ lebuh raya, laluan udara

SELAK

Sebuah tren ETS baharu di Stesen Keretapi Batu Gajah di sini hari
SEBUAH tren ETS baharu

BALIK kampung dari KL Sentral ke Butterworth pada hari Khamis menjelang Hari Raya Aidilfitri mengambil masa empat jam.

Pada hari raya ketiga (Ahad), perjalanan dari Pulau Pinang ke KL Sentral mengambil masa hampir lapan jam! Situasi yang sama juga berlaku pada hari raya keempat (Isnin) yang mengambil masa lapan jam. Begitulah perbezaan perjalanan yang melibatkan dua pengangkutan awam iaitu perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan bas ekspres. Catatan perjalanan seorang rakan memberitahu, beliau mengambil ETS pukul 9.30 pagi di KL Sentral dan sampai di Butterworth kira-kira pukul 1.30 petang. Boleh berbuka puasa bersama keluarga pada hari terakhir Ramadan. Secara berseloroh, beliau memberitahu, sepanjang perjalanan tidak kelihatan kesesakan orang balik kampung. Katanya, perjalanan lancar, malahan sempat lagi dia tidur! Catatan dukanya apabila tidak mendapat tiket ETS untuk pulang dan mengambil bas eksekutif dari Sungai Nibong Pulau Pinang. Harga tiketnya lebih mahal daripada ETS. Harapannya supaya bas yang lengkap dengan video itu memberi keselesaan jika terperangkap dalam kesesakan di atas lebuh raya. 

Dia tahu, lebuh raya pasti sesak. Dia lega apabila bas berkenaan menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, jambatan kedua Pulau Pinang. Ini bermakna bas itu dapat mengelakkan plaza tol Juru yang lazimnya sesak pada musim perayaan. Perasaan lega itu bertukar resah sebaik sahaja bas memasuki Lebuhraya Utara Selatan, kenderaan mula `melekat’. Puncanya kemalangan di laluan sebelah kanan. Inilah masalah orang kita yang sukar diubah. Memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku di sebelah. Mungkin mahu menjadi `wartawan atau jurugambar’ pertama melaporkan kejadian melalui WhatsApp dan Facebook. Perjalanan selepas itu sekejap lancar dan sekejap perlahan. Setiap lokasi yang melibatkan susur masuk dan keluar di lebuh raya akan mengalami kesesakan. Begitu juga kenderaan bergerak perlahan di- setiap kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah. Kawasan berkenaan memang padat sehingga di sesetengah tempat, kenderaan terpaksa diletakkan di bahu lebuh raya. Bagi yang tidak ada pilihan, akan berehat di plaza tol untuk ke tandas. Nyata perjalanan dengan bas eksekutif itu `berbaloi’ apabila dua filem Hindi dan dua filem Inggeris menjadi `makanannya’ sepanjang perjalanan itu. Kesesakan balik kampung bukanlah perkara baharu. Adakah saban tahun, pengguna lebuh raya akan mengalami masalah yang sama? Lebuh raya kita mampu menampung jumlah kenderaan yang meningkat tetapi dalam keadaan tertentu seperti musim Hari Raya Aidilfitri, keadaan amat luar biasa. Seorang rakan lain memberitahu, pada Ahad, beliau bertolak dari Alor Setar pukul 10 pagi dan sampai di Telok Intan pada pukul 11 malam. Perjalanan selama 16 jam!

Sesuatu harus dilakukan supaya pengguna lebuh raya tidak terus berdepan dengan masalah kesesakan setiap kali hari raya. Pihak berkenaan perlu mencari jalan bagaimana punca kesesakan di kawasan tertentu dapat diatasi bagi membolehkan kenderaan bergerak lancar. Bagi mengelakkan pengguna menanggung kesengsaraan di atas lebuh raya pada musim perayaan, perkhidmatan tren elektrik (ETS) merupakan pilihan yang terbaik setakat ini. Mudah dan selesa. Syukurlah ETS sudah memasuki era baharu dalam pengangkutan awam. Selak pada 20 September 2010 pernah menulis mengenai keperluan perkhidmatan ETS diperluaskan sehingga ke Alor Setar. Di bawah tajuk ETS...Alangkah baik kalau khidmatnya hingga ke Alor Setar, penulis menyarankan supaya khidmat ETS Kuala Lumpur - Ipoh dilanjutkan sehingga ke Alor Setar bagi memudahkan perjalanan pengguna tren antara bandar. Kini impian itu sudah terlaksana, bukan setakat Alor Setar tetapi ke Padang Besar. Masalahnya, setakat ini hanya ada satu perjalanan pergi dan balik. Dari Kuala Lumpur, tren berlepas pada pukul 9.30 pagi dan tiba di Padang Besar pukul 3 petang sebelum tren yang sama bertolak dari Padang Besar pukul 4 petang dan tiba di KL Sentral, 9.15 malam. Tidak dinafikan, ETS lebih mudah dan selesa berbanding memandu sendiri atau menggunakan bas ekspres. Masalahnya, bagi warga Kuala Lumpur yang menggunakan ETS akan `patah kaki’ sebaik sahaja tiba di kampung.

Sudah tentu di kampung, sistem pengangkutan awam sokongan seperti teksi, kereta sewa dan bas amat terhad. Di sesetengah kawasan mungkin tidak ada langsung. Akibatnya, pengguna terpaksa menanggung kos lain termasuk menyewa kenderaan atau mengambil kereta sapu untuk sampai ke kampung halaman. Pada hari raya pula, timbul masalah untuk ke sana sini sekiranya tidak ada kenderaan. Akhirnya suka atau tidak, mereka balik kampung dengan kenderaan sendiri dan turut menyumbang kepada kesesakan di lebuh raya. Lain ceritanya jika di kampung sudah tersedia kenderaan untuk mereka.Diharapkan dalam tempoh yang singkat ini, khidmat ETS akan lebih kerap dan cekap lebih-lebih lagi dengan kehadiran 10 tren baharu yang bernilai RM506 juta. Sejak 11 Julai lalu, tren ETS yang selama ini mengadakan perjalanan ulang-alik KL Sentral-Ipoh-KL Sentral digunakan untuk perjalanan KL Sentral-Padang Besar. ETS sektor KL Sentral ke Padang Besar ini berhenti di 15 stesen iaitu KL Sentral, Tanjung Malim, Tapah Road, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar, Bukit Mertajam, Butterworth, Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Star, Arau dan Padang Besar.

Bagi ETS Transit Ipoh-Butterworth-Padang Besar dan sebaliknya, perkhidmatan akan berhenti di kesemua 24 stesen termasuk 10 stesen baharu iaitu Anak Bukit, Bukit Ketri, Bukit Tengah, Kamunting, Kobah, Kodiang, Padang Rengas, Simpang Ampat, Tasek dan Tasek Gelugor. Waktu laluan Ipoh-Butterworth adalah pukul 5 pagi dan tiba pukul 6.50 pagi, Butterworth -Padang Besar (7.30 pagi-9.15 pagi), Padang Besar-Butterworth (2 petang-3.45 petang) dan Butterworth-Ipoh (5 petang-6.50 petang).Ketika ini kereta api baharu masih menunggu kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Diharapkan, tren baharu ETS ini akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan. ETS mampu memberi saingan kepada perkhidmatan bas ekspres yang melibatkan destinasi ke utara. Buktinya, ETS KL-Ipoh-KL mendapat sambutan yang menggalakkan termasuk kakitangan awam dan swasta yang berulang-alik ke tempat kerja.

Sambutan yang sama juga dijangka berlaku melibatkan sektor Butterworth - Padang Besar memandangkan ramai golongan pekerja yang menggunakan bas setiap hari antara Butterworth-Alor Setar. ETS juga mampu mencabar pengangkutan udara yang melibatkan destinasi Pulau Pinang dan Alor Setar. Dengan tempoh masa perlu berada di lapangan terbang, masa menunggu, kos serta jarak ke lapangan terbang dan destinasi yang dituju, khidmat ETS mampu menjadi pilihan terbaik kepada pengguna yang selama ini menggunakan laluan udara. Mungkin KTMB boleh memperkenalkan harga tiket yang lebih murah bagi tempahan awal atau menawarkan sejumlah tempat pada harga rendah seperti amalan syarikat penerbangan. KTMB tentunya lebih arif untuk memperbaiki dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan mereka. Apa yang penting, pengguna puas dengan perkhidmatan yang diberikan. Satu perkara lagi, jangan diabaikan aspek-aspek keselamatan ETS !

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain