Berkempen sama ada menerusi ceramah, surat sebaran, pujukan dan menggunakan rangkaian sistem maklumat perlu berasaskan penjelasan baik, hujah bernas supaya pengundi disajikan dengan fakta benar supaya keputusan yang dibuat untuk mengundi atas pertimba­ngan adil.

Inilah yang dikatakan politik matang kerana demokrasi tidak harus membenarkan kita melakukan sesuatu di luar etika, kesantunan dan adab sopan kerana nilai-nilai agama mendidik kita menjadi sedemikian.

Kalau nilai-nilai agama tidak dijadikan pedoman manusia akan menampilkan watak haiwani dan nafsu-nafsi lantaran taksub yang melulu, emosi yang tidak terkawal dan kebencian serta dendam yang terlalu mendalam.

Memberi undi kepada seseorang dan sesebuah parti adalah dengan maksud memberi amanah kepada individu atau parti yang berkenaan berasaskan manifesto atau aku janji yang diberi. Setiap individu yang menjadi calon dan parti yang didukungnya mahukan kemenangan. Tetapi janganlah kemenangan diraih hasil tipu muslihat, memfitnah, menghina dan menjadi populis untuk mendapat pengaruh.

Pelbagai isu bakal diperkatakan dalam siri kempen yang berjalan, bermacam persepsi dilontarkan, kehodohan watak lawan dibongkar, lawak yang berlebihan sifatnya mempersenda dijadikan kelaziman dan kempen menjadi tidak sihat dan jika ia memberi kesan pengaruh kepada pengundi keputusan yang salah bakal terjadi.

Ada beberapa pedoman yang perlu dijadikan asas ketika berkempen supaya membantu pengundi membuat keputusan yang betul. Mengundi ialah memilih calon yang berintegriti dan kerajaan yang berwibawa.

Integriti calon memiliki asas akademik dan keilmuan yang baik, mesra rakyat dan tidak meninggi diri dan sentiasa berlapang dada untuk menerima nasihat dan teguran. Integriti menyentuh keupayaan calon untuk memahami denyut nadi masalah rakyat dan mencuba sedaya upaya melakukan khidmat terbaik.

Kerajaan yang berwibawa dilihat dari atau jejak khidmat yang berlaku supaya pengundi tidak terjebak dengan pendekatan populis pro rakyat tetapi pada hakikatnya ia tidak berlaku sedemikian.

Kempen pilihan raya jangan dilihat sebagai kesempatan untuk menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat sedangkan kemampuan untuk melakukannya masih terbatas. Berjanjilah sesuatu yang mampu dibuat kerana upaya retorik dan upaya melaksana sering kecundang bila kemenangan diperoleh dan kuasa berada di tangan.

Kerajaan yang ada mempunyai banyak modal untuk dikempenkan kerana jejak rekod pembangunan dan pengisian aku janji berlaku hampir sepenuhnya. Walaupun kelemahan tetap ada, ia boleh diperbaiki pada masa depan. Jejak rekod lalu menjadi bahan kempen yang baik untuk mempengaruhi pengundi. Harus ada kebijaksa­naan mengolah apa yang terjadi supaya ia ditingkatkan lagi pencapaiannya supaya khidmat untuk rakyat terus mengambil tempat.

Khidmat masyarakat yang berterusan adalah testimoni atau bukti terbaik dikemukakan kepada pengundi supaya kesinambungan terjadi. Tidak perlu kita berdendam dan memiliki rasa kebencian yang melampau dan melakukan fitnah, menaburkan berita palsu dan menghina pihak lain kerana perbuatan seperti itu berlawanan dengan etika Islam.

Sering terjadi utopia atau impian untuk menang melalui retorik ikut sedap mulut dengan cerita-cerita sensasi bukan berasaskan fakta dan data yang betul atau kajian yang berwibawa supaya rakyat suka mendengar dan terpengaruh. Kecenderungan menghina dan melakukan fitnah bukanlah cara kempen yang sepatutnya dilakukan kerana ia boleh menjebak ke arah dosa.

Memang ada kecenderungan sesetengah orang kita memiliki sifat mengumpat dan mengata, memfitnah dan buruk sangka akibat taksub, kebencian dan dendam kesumat. Apa lagi waktu kempen, budaya ini menjadi subur dan ianya ditegah oleh agama.

Bayangkan sekiranya kemenangan diperoleh hasil perbuatan di luar etika dan kesantunan di mana barakahnya. Kempen yang terjadi secara kasar dan menghina dengan lawak jenaka yang seronok didengar tetapi pedih bagi yang terkena bukanlah budaya dan cara siasah dalam Islam.

Etika siasah yang Islami membenarkan kita berbeza pendapat tetapi mestilah beradab. Berdakwah dalam Islam pun mesti dengan hikmah atau bijaksana dan kalau wujud perbezaan pendapat hujah yang terbaik menjadi ukuran. Kempen yang gelojoh dan tanpa pertimbangan adab menyebabkan ukhuwah menjadi cair dan rasa permusuhan mengambil tempat.

Berbeza pandangan dan pendirian berbezalah. Tetapi jangan sampai terheret sama dengan perbuatan di luar etika kerana ini bakal menghancurkan perpaduan dalam kalangan warga umat dan ia bukan ajaran Islam. Siasah Islam adalah siasah dakwah dan tarbiah. Daripadanya di­sampaikan maklumat yang benar dan perkhabaran yang telus supaya hasil kerja yang dilakukan menjadi sumber ibadah.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).