Ia bukan simbol kepada kehebatan diri sehingga bertindak di luar batasan dan etika dalam arena politik. Kemenangan yang dicapai adalah mandat daripada rakyat kepada parti politik tersebut supaya melaksanakan tugas sebaik mungkin untuk kepentingan masyarakat, agama dan negara.

Tindak balas terhadap pe­mimpin parti lawan yang tewas dalam pilihan raya secara radikal tidak sepatutnya berlaku dalam negara ini kerana sikap begini adalah jati diri masyarakat yang tidak bertamadun.

Ini satu fenomena yang berlaku dalam negara yang dikuasai oleh sistem pemerintahan kuku besi yang berorientasikan ideologi komunis dan sosialis.

Masyarakat Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan bertamadun tidak akan bertindak kejam ke atas ahli politik yang tewas dalam pilihan raya. Kesalahan dan kelemahan pemimpin parti tersebut hanya dapat dibuktikan melalui sistem perundangan negara.

Kemenangan yang dicapai me­nunjukkan bahawa rakyat menyakini bahawa parti tersebut mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan dalam mengendalikan urusan kemasyarakatan dan ke­negaraan.

Harapan rakyat yang terlalu tinggi kepada parti politik itu perlu direalisasikan dalam tempoh lima tahun ketika mengendalikan amanah rakyat.

Sebagai parti politik yang berwibawa dan mengamalkan konsep kemanusiaan dan keamanan kesilapan dan kelemahan parti lawan dan kegagalan mereka mengekalkan kuasa tidak sepatutnya dijadikan isu yang dibicarakan begitu lama sehingga bertahun lamanya kerana boleh memutuskan hubungan silaturahim sesama umat Islam dan menghapuskan konsep berpolitik dalam Islam.

Di dalam Islam pemimpin politik yang cuai dan gagal melaksa­nakan tugas masyarakat dan negara perlu disingkirkan oleh rakyat dan diganti dengan parti politik yang mampu untuk me­mimpin negara. Jika mereka sudah tidak berkuasa maka tindakan terhadap mereka perlu diadili melalui mahkamah dan tohmahan serta kutukan perlu dihentikan supaya maruah dan harga diri mereka tidak dicemari.

Umat Islam sepatutnya memahami bahawa kemenangan bukan satu kebanggaan tetapi dugaan daripada Allah SWT.

Gemilang atau jatuhnya sesuatu kerajaan itu adalah bergantung kepada bagaimana kerajaan tersebut mengendalikan urusan negara dan masyarakat. Apabila kuasa berada di tangan rakyat maka setiap pemimpin dan pemerintah serta parti politik perlu akur bahawa tempoh pemerintahan mereka tidak akan berkekalan begitu lama jika sistem peme­rintahan dan pentadbiran negara membelakangi keperluan asas kehidupan rakyat.

Bermuhasabah dan memperbaiki diri adalah senjata utama untuk meyakinkan rakyat terhadap keupayaan diri dalam me­nerajui negara dan masyarakat. Konsep dan prinsip perjuangan politik perlu berasaskan ke­pada per­khidmatan kepada masyarakat dan negara.

Pemilihan ahli Kabinet untuk menerajui sesuatu jabatan perlu berdasarkan kepada kepakaran, kebijaksanaan dan ketelusan kerana mereka ialah orang yang meluluskan sebarang perancangan yang dikemukakan oleh pembuat dasar atau perancangan kerajaan untuk masyarakat dan negara.

Kurang kepakaran pemimpin, pembuat dasar negara dan penasihat kerajaan adalah punca utama kerajaan gagal menguruskan urusan negara dan masyarakat.

Tambahan pula corak pentadbiran dan pemerintahan adalah berdasarkan kepada kronisme dan favoratisme yang mana hanya sebilangan kecil sahaja daripada masyarakat dapat menikmatinya.

Kurangnya pemantauan terhadap sikap dan tingkah laku pemimpin politik dan pegawai yang diamanahkan oleh kerajaan mengendalikan urusan rakyat di kawasan mereka adalah punca utama yang boleh menyebabkan salah guna kuasa berleluasa dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

Kesemuanya ini membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang memerintah negara.

Sikap terlalu ghairah dengan kuasa dan mengetepikan nasihat daripada bekas pemimpin negara yang berpengalaman dan berjasa bukan sahaja boleh menyebabkan kesilapan dalam sistem peme­rintahan semakin bertambah dan menjadi lemah malah ia juga boleh membangkitkan kebencian rakyat terhadap kepimpinan negara kerana Malaysia adalah sebuah negara yang dihuni oleh ramai masyarakat yang berpendidikan, berakhlak, dan menganuti agama dan tradisi menghormati orang tua yang berjasa.

Perlu diingatkan, mencengkam rakyat dengan pelbagai perundangan yang tidak memberi kuasa untuk bersuara adalah amalan yang paling popular bagi negara Islam yang diperintah oleh rejim terutamanya di negara-negara Arab dan miskin.

Sistem pemerintahan yang berunsurkan konsep pemerintahan rejim tidak sesuai diamalkan oleh Malaysia.

Konteks dan struktur rakyat dalam negara ini tidak sama de­ngan masyarakat negara Islam lain kerana sistem pembentukan negara Malaysia selepas kemerdekaan mengutamakan pendidikan kepada kesemua penduduk Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Corak pemikiran masyarakat Malaysia lebih mengutamakan konsep kehidupan aman, hormat menghormati antara satu sama lain dan bekerjasama untuk membangunkan negara dan masyarakat.

Berdasarkan kepada penjelasan berikut maka parti-parti politik dalam negara ini perlu bermuhasabah dan memperbaiki diri supaya kesilapan dan kelemahan mereka dijadikan pengajaran.

Bagi parti politik yang memperoleh kejayaan dalam pilihan raya buktikanlah kepada rakyat bahawa mereka adalah parti yang berwibawa dan terbaik melaksa­nakan amanah rakyat untuk mentadbir dan memimpin negara.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).