Dan kini UMNO berada pada kedudukan tersebut apabila kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parti itu sudah tidak lagi berkuasa. Aset-aset milik parti dibekukan manakala seorang demi seorang yang tidak tahan atau tidak mampu menerima hakikat kekalahan membuat keputusan meninggalkan bahtera perjuangan parti induk orang Melayu tersebut.

Justeru lagu Teman Sejati nyanyian Brothers yang diputarkan ketika berakhir Perhimpunan Agung UMNO 2018 kelmarin amat bersesuaian bagi menggambarkan bagaimana UMNO kini memerlukan ‘teman sejati’ bagi membolehkan parti itu meneruskan perjuangan suci demi bangsa agama dan negara, dalam bahasa mudahnya, UMNO mencari kawan.

Ketika berada dalam keadaan susah dan mahu bangkit semula inilah UMNO memerlukan kawan atau teman sejati. Kelompok ini bukan sahaja menjadi ahli malah pejuang tulen bagi meneruskan survival politik parti itu.

UMNO tidak memerlukan kawan tidak setia termasuk dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN). Kawan setia sentiasa berada susah atau senang. Berkuasa atau tidak, persahabatan dan perjuangan tetap diteruskan.

Tetapi malangnya bukan sahaja dalam kalangan komponen BN, malah di dalam UMNO sendiri sudah ada individu yang menampakkan wajah sebenar mereka. Golongan ini hanya bersama dengan UMNO ketika senang, menikmati segala keistimewaan ketika UMNO berkuasa dan meraih pelbagai kedudukan ketika UMNO memerintah namun apabila UMNO tumbang dalam PRU, mereka hanya mementingkan ‘tembolok’ masing-masing sahaja.

UMNO tidak memerlukan kawan sedemikian. Kalau kelompok tersebut merasakan ‘halal’ bagi mereka untuk menikmati segala kemudahan sebagai wakil rakyat yang diperoleh atas tiket UMNO tetapi kemudiannya mengkhianati parti, teruskan sahaja.

Golongan seumpama ini tidak akan ke mana, biarpun apa juga alasan yang mereka berikan bagi ‘menghalalkan’ tindakan tidak bermaruah tersebut. Walaupun penulis menganggap adalah menjadi hak UMNO untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu-individu terlibat tetapi dari satu segi lain, penulis berpendapat, biarkan sahaja kelompok tersebut.

Apa yang penting bagi UMNO sekarang ialah mempunyai kawan sejati untuk menyusun kembali strategi dan langkah bagi membolehkan parti itu bangkit semula.

Jika ada mana-mana pemimpin dan ahli yang tidak lagi menaruh harapan kepada parti tersebut, pilihlah haluan sendiri. Kalau bergelar wakil rakyat, jika ada ‘maruah politik’ kosongkanlah kerusi, serahkan kembali mandat kepada rakyat.

Pada masa sama, kepada kelompok yang mahu kekal dalam UMNO, tidak dikira apa peringkat sekali pun, jadilah kawan sejati. Jangan hanya memakai baju UMNO, menjadi ahli UMNO tetapi tindak tanduk boleh menghancurkan parti tersebut.

Kepemimpinan UMNO sudah menyatakan bersedia menerima kritikan dan teguran tetapi melalui saluran yang betul. Ketika UMNO berada dalam keadaan sekarang memanglah sesiapa pun yang mahu mencari populariti boleh menjadikan parti orang Melayu itu sebagai sasaran modal dengan cara mengkritik, membidas dan mencaci UMNO.

Tetapi apa faedahnya kepada parti? Kalau mereka adalah pejuang UMNO, memakai baju UMNO, mempunyai jiwa perjuangan UMNO, mereka tidak harus melakukan tindakan seperti mana kata Presiden parti tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ‘menebuk kapal dari dalam’. 

‘Kecederaan’ UMNO sudah ‘cukup parah’ selepas apa yang berlaku dalam PRU lalu, oleh itu janganlah ditambah lagi ‘luka’ tersebut dengan melakukan tindakan yang boleh menyebabkan kedudukan parti menjadi ‘tenat’ Janganlah salahkan kepemimpinan semata-mata apabila UMNO hilang kuasa.

Kalau mahu buat teguran atau kritikan, biarlah secara berhemah. Berilah ruang kepada kepemimpinan UMNO untuk menyusun semula parti, seandainya pada perhimpunan akan datang dilihat UMNO tidak juga berubah, buatlah apa pun tindakan, tetapi berilah peluang dulu.

Janganlah mendabik dada seolah-olah kita sahaja yang pandai, kita sahaja paling sesuai memimpin parti, tetapi hakikatnya satu ketika antara mereka apabila mempunyai jawatan penting dalam parti, buat kerja tidaklah sehebat mana.

Sebab itulah, erti kawan dalam UMNO amat penting difahami oleh seluruh kepemimpinan, ahli dan penyokong UMNO. Percayalah kalau semangat setiakawan dikekalkan, semangat kesetiaan terus kukuh dan semangat perjuangan terus kental, insya-Allah UMNO pasti akan bangkit semula.