Setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Exco FAM yang baharu kerana berjaya terpilih dan tidak lupa juga ucapan yang sama kepada barisan Exco lama di atas khidmat mereka sebelum ini. Dalam persatuan apa sekali pun, pemimpin datang dan pergi. Ada yang mampu bertahan agak lama dan ada kalanya berada dalam masa yang singkat atas sebab-sebab tertentu.

Sebagaimana kita sedia maklum, jawatan Presiden FAM te­lah lama dianggap sebagai kerusi ‘panas’ kerana ia secara terus akan dikaitkan dengan prestasi bola sepak negara. Permainan bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan amat digemari oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Sebelum ini pasukan bola sepak negara pernah di zaman 70-an dan awal 80-an berada di kemun­cak kegemilangannya apabila dua kali berjaya layak ke Sukan Olimpik pada 1972 dan 1980 dan pernah merangkul pingat gangsa di Sukan Asia, Teheran pada 1974.

Sejak pertengahan 1980 sehingga kini sukan bola sepak negara telah melalui zaman gelap, suram dan tidak bermaya yang mana dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kita sekadar di tangga ke-166 berbeza sama sekali suatu ketika dahulu kita pernah berada pada ranking bawah 100. Walaupun ada usaha dibuat sebelum ini bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara, namun tidak banyak kemajuan dapat dihasilkan setakat ini. Prestasi bola sepak negara sekadar bagus di peringkat Asia Tenggara dan ia diukur dengan kejayaan pada Piala AFF Suzuki 2010 dan Piala AFC (2015)

Kita percaya di bawah kepe­mimpinan baharu diterajui TMJ, akan berlaku suatu perubahan drastik dan akhirnya mampu meraih kejayaan di peringkat Asia dan mungkin juga dunia sepertimana yang diharapkan oleh rakyat. Kita juga percaya TMJ dan rakan-rakan sepasukannya akan bekerja lebih keras bagi memastikan visi bola sepak negara tercapai.

Awal-awal lagi, TMJ telah menjelaskan visi dan misi yang harus dipikul agak berat, namun baginda percaya dengan kerja keras semua pihak terma­suk barisan Exco FAM tidak mustahil segala impian bagi bola sepak negara boleh tercapai.

Untuk itu, adalah wajar saranan TMJ bahawa barisan exco FAM yang baharu perlu mengikut rentaknya. Sebagai seorang presiden yang masih muda, setakat ini gaya kepim­pinannya telah terbukti dengan kejayaannya ketika bersama dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT). Baginda amat mengharapkan barisan Exco sentiasa menjaga integriti, profesionalisme dan dedikasi dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-ma­sing. Oleh demikian, diharapkan barisan Exco yang baharu agar bersedia memberi komitmen dan bekerja keras.

TMJ menekankan lagi, ba­ginda seorang tidak mampu merealisasikan segala visi dan misi yang telah baginda gariskan. Ia memerlukan kerja berpasukan yang erat dan dinamik dalam kalangan barisan Exco yang baharu dengan baginda dan juga pihak lain yang berkepentingan.

Kita percaya bukan mudah untuk mencapai kejayaan se­pertimana yang digariskan dalam masa terdekat. Kita patut memberi sedikit masa kepada barisan Exco ini untuk mereka melakukan kerja-kerja yang te­lah diamanahkan dan bagi membolehkan mereka mempamerkan kemampuan sebenar.

Sekurang-kurangnya FAM telah ada sasaran sebagai contoh untuk meletakkan pasukan bola sepak negara di peringkat Asia dalam tempoh empat hingga lima tahun dan kemudian layak ke pertandingan Piala Dunia pada 2026 (dalam masa sembilan tahun).

Ini kerana kuota pasukan yang akan bertanding ke Piala Dunia pada masa akan datang telah pun ditambah oleh FIFA daripada 24 kepada 36 pasukan dan ini sedikit sebanyak telah dapat memberi harapan yang lebih untuk pasukan negara melayakkan diri ke pertandingan Piala Dunia pada siri 2026.

Apa yang penting FAM perlu menggariskan strategi baharu yang lebih dinamik dan berkesan bagi mencapai visi dan misi yang telah digariskan. Semua barisan Exco baharu FAM seharusnya bukan sekadar faham apa yang tercatat dalam visi dan misi baharu FAM, tetapi lebih penting mampu untuk menterjemahkannya iaitu berjaya me­raih kejayaan bagi pasukan bola sepak negara di peringkat Asia dan dunia. Ini adalah kayu pe­ngukur sama ada mereka dikatakan berjaya atau gagal dalam menjalankan tugas sepertimana yang diamanahkan.

PENULIS ialah Pengarah Eksekutif MES Consulting Network.