Panas yang dimaksudkan adalah ‘perang’ antara pembangkang di peringkat negeri dan Pusat sesama mereka berkaitan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah walaupun tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih menjadi teka-teki.

Namun pergeseran pembangkang berhubung perkara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana isu sama membelenggu Pakatan Rakyat ketika PRU-13 walaupun setelah tarikh mengundi sudah diumumkan.

Menyingkap kembali ketika PRU-13, pembahagian ke­rusi DUN untuk pakatan pembangkang ialah Pas seba­nyak 24 kerusi, PKR (10) dan DAP (2).

Pas barangkali sudah boleh menarik nafas lega kerana sudah tidak perlu berada dalam pertelingkahan ini lagi. Ini apabila bukan lagi menjadi sekutu Pakatan Harapan dikepalai DAP.

Begitupun, ketiadaan Pas dalam pakatan itu dilihat sebagai peluang untuk PKR melebarkan angan-angannya menanam hasrat menerajui Kedah, apatah lagi ketika ini parti itu menyandang empat kerusi berbanding rakan sekutu lain.

DAP cuma menyandang dua kerusi iaitu N11 Derga serta N13 Kota Darulaman sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN pula masing-masing satu kerusi. Itu pun boleh diandaikan kerusi ihsan kerana dimenangi wakil rakyatnya yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (N4 Ayer Hitam) dan Pas (N17 Pengkalan Kundor).

Melihat kepada kedudukan tersebut, barangkali bukan sesuatu yang luar biasa jika PKR beranggapan mereka la­yak bertanding lebih banyak kerusi kerana kononnya jika menang, wakil rakyat merekalah yang layak bergelar Menteri Besar.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam satu ceramah di Sungai Petani baru-baru ini dilaporkan berkata, PKR mahu menakluk Kedah dan menerajui kerajaan negeri.

Enam belas kerusi DUN diintai PKR Kedah berbanding 10 kerusi sahaja pada PRU sebelum ini.

Selang beberapa hari selepas itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang juga Penasihat DAP mengeluarkan kenyataan bahawa DAP menuntut dua kerusi tambahan iaitu di N22 Gurun dan N35 Kulim (masing-masing disandang BN).

Boleh diandaikan pasti terangkat juga Johari dari kerusinya dengan kenyataan Kit Siang itu kerana kedua-dua kerusi tersebut ditandingi PKR pada PRU-13. Malah, Johari juga mengatakan bahawa beliau akan bertanding di DUN Kulim demi menjayakan angannya untuk menjadi Menteri Besar.

Khabarnya, dua ke­rusi DAP terutama di N11 Derga yang mempu­nyai majoriti kritikal dalam kedudukan sa­ngat rapuh dan DAP juga akan terhukum dengan faktor ‘perceraian’ dengan Pas kerana parti itu dikatakan banyak membantu kemenangan DAP dalam PRU sebelum ini. Lantas DAP berusaha mencari galang ganti.

Berbalik kepada pem­bahagian kerusi, ji­ka diandaikan baik PKR ma­hupun DAP berjaya dalam tuntutan itu, maka dengan hanya 16 kerusi berbaki tentunya terpaksa dikongsi antara PAN dan PPBM.

Persoalannya mahukah PPBM yang kononnya mempunyai pengaruh besar di Kedah beralah dengan PAN?

Pertengahan September ini akan berlangsung Konvensyen PAN di Alor Setar. Antara tumpuannya tentulah PRU-14 dan kerusi-kerusi yang bakal dituntut mereka. Bahkan, dengan misi untuk kembali menawan Kedah, ia pasti bukan laluan yang mudah untuk PPBM.

Bagaikan gila talak, itu yang boleh disimpulkan daripada pergeseran pemimpin-pemimpin pembangkang itu apabila menginginkan untuk kembali menawan hati orang Kedah yang telah disakiti dan dirosakkan mereka dahulu semasa sepenggal diberi peluang ‘berkasih’.

Masalah perebutan kerusi dalam kalangan pemimpin parti pembangkang berpunca daripada sikap mereka yang mengalami sindrom terdesak terlalu mahu berkuasa.

Justeru, keghairahan pemimpin mereka berebut kerusi untuk bertanding dalam PRU-14 adalah suatu yang tidak menghairankan.

Hal yang sama terjadi ketika pembangkang menerajui Kedah sebelum ini dan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa kerana usaha ke arah pembangunan negeri ba­nyak terbantut gara-gara berebut kerusi dan kemudian jawatan Menteri Besar.

Selayaknya pengundi Kedah bijak menilai.