Melihat situasi ini, mungkin kita terfikir mengapa aktiviti jenayah alam sekitar masih berleluasa, sedangkan pelbagai usaha telah dilakukan di pihak kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan bagi mem­banterasnya.

Lebih aneh lagi, apabila sesuatu isu berkaitan jenayah alam sekitar dibangkitkan, namun tiba-tiba lenyap begitu sahaja tanpa adanya tindakan susulan daripada pihak-pihak berwajib. Seolah-seolah pihak yang menjadi dalang di sebalik isu tersebut dilindungi oleh pihak-pihak ter­tentu atau dalam erti kata lain ‘kebal’ undang-undang.

Di sini timbul persoalan, adakah wujudnya rasuah atau salah guna kuasa dalam kalangan segelintir pihak sehinggakan kes-kes jenayah alam sekitar yang berlaku di depan mata seakan-akan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sekiranya benar wujud rasuah dan salah guna kuasa di sebalik semua ini, ia sewajarnya dibanteras sehingga ke peringkat akar umbi agar khazanah alam yang kita miliki dapat dipertahankan.

Dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan jenayah alam sekitar, pelbagai usaha dan tindakan drastik diambil oleh pihak berwajib. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) umpamanya telah mengambil inisiatif dan langkah proaktif dalam menangani isu ini.

Antaranya dengan menubuhkan Kaukus Perlindungan Alam Sekitar dan Pencegahan Rasuah (EPACC) bagi menjalinkan rangkaian kerjasama strategik dengan badan-badan bukan kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan pakar-pakar alam sekitar dalam usaha perkongsian maklumat bagi memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam isu-isu yang melibatkan alam sekitar di Malaysia.

Pendekatan kerjasama secara bersepadu ini dipercayai dapat membanteras jenayah alam sekitar dengan lebih berkesan bagi mengelakkan bencana alam yang tidak diingini seperti banjir, hakisan tanah dan tanah runtuh daripada berulang. Usaha yang dilakukan oleh SPRM ini dilihat telah membuahkan hasil positif dan pastinya menggembirakan masyarakat khu­susnya pencinta alam sekitar.

Antaranya, baru-baru ini SPRM menahan 10 pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan juga pegawai Kastam negeri itu berhubung kegiatan perlombongan bauksit secara haram di Bukit Goh, Kuantan.

Susulan operasi yang dilakukan ini, SPRM turut menyita 10 juta tan bauksit kerana kerja-kerja perlombongan masih berjalan walaupun kerajaan melaksanakan moratorium perlombongan bauksit di kawasan berkenaan.

Selain itu, SPRM juga telah membuat penahanan ke atas pengarah dan pengurus kilang susulan siasatan terhadap operasi dan aktiviti kilang haram yang mencemarkan alam sekitar di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Kedua-dua kes ini membuktikan keseriusan SPRM dalam membendung rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan jenayah alam sekitar daripada terus menular dan menjadi barah kepada masyarakat dan negara sehingga meruntuhkan nilai jati diri dan tamadun bangsa.

Dengan pendedahan kes-kes besar seumpama ini, ia diharap dapat menjadi pemangkin bukan sahaja kepada SPRM, sebaliknya juga badan-badan penguatkuasaan lain untuk terus membongkar dan membanteras lebih banyak lagi penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan jenayah alam sekitar.

Usaha membendung jenayah alam sekitar tidak akan membuahkan hasil tanpa sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat.

Tanggungjawab ini tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya semua pihak baik badan kerajaan, badan bukan kerajaan, mahupun orang perseorangan perlu menjayakan misi kelestarian alam sekitar ini.

Dalam konteks ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu seiring dalam memainkan perana terutamanya dalam memikirkan dan merangka strategi yang lebih berkesan dalam menangani isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan alam sekitar.

Di peringkat badan-badan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam bidang kuasa berkaitan alam sekitar, kawalan dalaman di jabatan masing-masing perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Pemantauan perlu dilakukan secara berkala agar kuasa dalam kalangan pegawai penguat kuasa tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya.

Selain itu, integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa perlu diperkukuhkan bagi memperkasakan lagi kawalan dalaman di jabatan-jabatan terlibat. Pengukuhan integriti ini boleh dicapai dengan mewajibkan pegawai penguat kuasa menjalani latihan integriti yang diperakukan oleh jabatan masing-masing.

Penubuhan Unit Integriti di jabatan masing-masing juga boleh dipertimbangkan bagi memastikan tahap integriti dalam kalangan pegawai berada pada tahap terbaik.

Sementara itu, di peringkat individu pula, semua pihak boleh memainkan peranan untuk menjadi mata dan telinga kepada badan-badan penguat ­kuasaan khususnya SPRM dengan mengambil tanggungjawab menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang meragukan melibatkan alam sekitar.

Sesungguhnya tanggungjawab melestarikan alam sekitar merupakan kewajipan yang dituntut oleh agama ke atas setiap khalifah di atas muka bumi sebagaimana firman-Nya dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya”.

PENULIS ialah Koordinator EPACC