Atiq, Ampang.

UKE: Beriman kepada Rasul adalah wajib dan ia merupakan Rukun Iman yang wajib diimani. Kesempurnaan Iman ini bukan setakat menyakini Allah adalah Tuhan Yang Esa malah wajib menerima dan mempercayai apa yang disampaikan melalui risalah kenabian yang dibawa oleh Nabi SAW.

Apabila beriman kepada Rasul maka hendaklah memuliakan baginda Rasul dengan cara yang benar kerana mencintai dan mengikuti Rasul adalah perintah Allah SWT. Sebab itulah kita dilarang menghina Rasul dan disuruh mempertahankan Rasulullah jika ada yang menghina Nabi SAW.

Malah memanggil Nabi SAW dengan panggilan seperti dipanggil kepada orang biasa pun dilarang apatah lagi meremehkan Nabi SAW maka bertambah-tambahlah kutukannya daripada Allah SWT.

Oleh itu nasihatilah kawan anda itu agar jangan memperlekehkan Nabi SAW kerana nabi itu maksum malah segala tingkah laku, diam nabi dan kata-kata nabi bukan sia-sia, sebaliknya semuanya di bawah bimbingan Allah.

Apa yang nabi buat bukan memandai-mandai tetapi ia adalah wahyu daripada Allah. Maka kalau cinta kepada Allah maka ikutlah Nabi SAW.

Hukum guna air bukit?

Apakah hukum menggunakan air bukit untuk tujuan berubat?

Farid, Bangi.

UKE: Tidaklah menjadi kesalahan menggunakan air bukit untuk tujuan perubatan jika terbukti ada kebaikan daripadanya. Selagi mana air tersebut bersih dan tidak mengandungi sesuatu yang berbahaya maka hukumnya harus.

Cuma yang menyembuhkan ialah Allah, kita hanya berusaha. Maka tidak salah berusaha selagi kaedahnya betul mengikut syarak.

Malas atau rezeki?

Apakah benar menyapu pada waktu malam menyempitkan rezeki?

Sarah, Ampang.

UKE: Itu cakap orang-orang tua sahaja. Banyak orang sapu waktu malam, kat lapangan terbang, hentian rewat dan rehat lebuh raya. Saya tengok elok sahaja rezeki mereka. Kalau tak nak kerja dan malas, itulah sempit rezeki namanya.

Zakat barang kemas

Apakah seorang suami wajib mengeluarkan zakat harta atas barangan perhiasan isteri?

Halim, Kuala Pilah.

UKE: Bukankah barangan perhiasan itu milik isteri maka isterilah yang membayarnya. Kalau suami nak tolong bayarkan tiadalah menjadi kesalahan, cuma kena maklumkan kepada isteri.

Nikah di masjid atau rumah?

Di Malaysia, rata-rata pasangan Islam bernikah di dalam masjid. Apakah ini memang disunatkan?

Shahfie, Putrajaya.

UKE: Tak tahu pula saya rata-rata kahwin di masjid. Saya pun kahwin di rumah sahaja. Baguslah kahwin di masjid dapat solat dan dapat pahala masuk masjid. Cuma kenalah jaga adab di masjid.

Pakaian wajib tutup aurat, mesti tutup yang sempurna, jangan bersorak di dalamnya. Siap bercium bagai dan siap berposing bergambar yang kurang manis hendaklah dielakkan.

Perempuan yang uzur janganlah masuk masjid. Hukum tetap hukum. Cuma kita mengharapkan keberkatan dan mengharapkan ia sebagai satu hebahan kepada masyarakat bahawa pasangan itu berkahwin.

Jumhur ulama memperakui keharusan melakukan akad nikah di masjid malah ulama dalam kalangan Mazhab Syafie berpendapat sunat dan digalakkan berakad nikah di masjid.