Kepada para tetamu Allah di Tanah Suci kita doakan mereka diberi kesihatan yang berkekalan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna seterusnya beroleh haji yang mabrur. Bagi kita di Malaysia, marilah kita mengambil kesempatan meningkatkan amalan sunat dalam 10 hari awal Zulhijah.

Orang mukmin sentiasa mencari dan menunggu masa-masa yang dijanjikan Allah mendapat pahala berganda untuk me-lakukan pelbagai ibadat. Sementelahan, kita menyedari bahawa hidup di dunia ini amatlah singkat berbanding kehidupan aba-di di akhirat.

Daripada Abu Hurairah, katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Usia umatku antara 60 hingga 70 tahun. Sedikit antara mereka yang melebihi usia tersebut". (riwayat at-Tirmidzi)

Sebab itu, kita sewajarnya menyusun strategi supaya dapat memanfaatkan ganjaran pahala berlipat kali ganda. Kalau di dalam Ramadan, kita dijanjikan dengan ganjaran pahala lebih baik daripada 1,000 sebulan iaitu pada malam al-Qadr maka bulan haji ini juga menjanjikan beberapa ganjaran menarik dan lumayan yang tidak harus dilepaskan berlalu begitu sahaja.

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis yang membicarakan ke-lebihan beramal dalam bulan Zulhijah yang juga disebut bulan haji. Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Demi fajar dan malam yang sepuluh. (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir, yang dimaksudkan di sini adalah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lain-lain. (riwayat Imam Bukhari).

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini." Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: "Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)". (riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi).

Sheikhul Islam, Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam membicarakan sebab istimewanya 10 hari Zulhijah adalah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Amalan-amalan yang utama

* Puasa - Disunatkan umat Islam memperbanyak puasa mulai 1 hingga 9 Zulhijah sebagaimana dicontohkan oleh Nabi SAW. Daripada Hunaidah bin Khalid, dari iste-rinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Rasulul-lah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan". (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa'ei)

* Solat. Disunatkan keluar cepat me-nuju ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan. Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.

* Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (La-ilaha-illallah), bertakbir (Allahu Akbar) dan bertahmid (Alhamdulillah). (riwayat Imam Ahmad).

Perlu diketahui bahawa takbir hari raya itu ada dua macam iaitu takbir mursal dan takbir muqaiyad.

Takbir mursal tidak dikaitkan dengan waktu dan tempat tertentu. Jadi boleh dilakukan di pasar, masjid waima semasa berjalan. Takbir tersebut dilakukan dengan mengeraskan suara khusus bagi lelaki.

Sedangkan ada juga takbir yang sifatnya muqaiyad, iaitu dikaitkan dengan waktu tertentu dan dilakukan selepas solat fardu.

Takbir muqaiyad dilakukan mulai solat Subuh pada hari Arafah (9 Zulhijah) hingga waktu Asar pada hari ketiga tasyrik (13 Zulhijah). Cara bertakbir adalah dengan ucapan: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

* Puasa hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW. Baginda bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (riwayat Muslim).

Bagaimanapun, puasa ini hanya disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu baginda wukuf di Arafah.

* Berkorban. Hukum menyembelih binatang untuk korban adalah sunat muakkad dan juga sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAw.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang membesarkan syi-ar Allah (berkorban) maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati. (al-Hajj: 32)

Sementara itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)..." (riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

* Hari Raya Korban (hari Nahr), 10 Zulhijah.

Kebanyakan umat Islam sudah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini adalah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga me-lebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar". (Hari Qar ialah hari yang para jemaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari ke-11 Zulhijah).

Bagi mereka yang ingin melakukan ibadat korban, ingatlah pesanan Rasulullah SAW. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya. (riwayat Muslim).

Menurut Imam Nawawi: Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini. Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafie mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (ia-itu makruh yang tidak sampai kepada haram). (Syarah Sahih Muslim).

Yang terbaik, mereka yang berkenaan membuat persediaan awal iaitu memotong kuku, bulu dan sebagainya sebelum masuk 1 Zulhijah.