Sungguhpun begitu, tidak pula dinafikan ada juga anak-anak yang sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan ibu bapa mereka tetapi bilangannya mungkin boleh dibilang dengan jari. Benar atau tidak kenyataan ini tidaklah begitu penting tetapi yang pasti masih ada sebahagian ibu bapa sekarang terpaksa berkhidmat untuk anak-anak mereka sehingga tubuh mereka tidak terdaya.

Contoh terbaik, sebaik sahaja bergelar atuk dan nenek, mulalah anak-anak mereka menyuakan cucu masing-masing untuk dijaga. Setidak-tidaknya semasa keluar be­kerja. Ada juga yang menjaga cucu siang malam. Anak-anak hanya datang menjenguk pada setiap hujung minggu. Itu pun kalau ada kelapangan,

Kalam tidak kata semua tetapi ada. Jangan kata tidak ada. Bagi Kalam, sekiranya masing-masing telah berkahwin, sebaik-baiknya anak yang dilahirkan kita peliharalah sendiri. Usah hantar ke rumah ibu bapa kita meskipun rumah mereka dekat.

Kita perlu sedar bukan tanggungjawab mereka untuk menjaga anak-anak kita. Mereka telah puas memelihara kita adik-beradik berpuluh-puluh tahun. Oleh itu janganlah pula kita bebankan mereka jaga cucu pula.

Biarlah mereka berehat. Sekurang-kurang ketika masa lapang, mereka boleh mengisi masa dengan pelbagai aktiviti berfaedah antaranya menghadiri kuliah-kuliah agama, belajar membaca al-Quran atau bersolat jemaah di surau atau masjid berdekatan. Jika mereka berdua hendak melancong, biarkan mereka melancong. Bagi duit poket.

Kalam sendiri pernah menyaksikan betapa sukar­nya atuk dan nenek menjaga cucu di saat-saat ibu bapa mereka bekerja. Bayangkan ketika tubuh dimamah usia, mereka tetap gigih menjaga cucu yang kadangkala lebih daripada seorang.

Yalah, anak bang long ada dua orang. Anak kak ngah ada seorang. Anak kak lang ada dua orang dan anak dik su ada dua orang. Semuanya masih kecil dan paling besar baru tahun empat sekolah kebangsaan. Semuanya dilonggok di rumah atuk dan nenek mereka.

Atuk pula ada tugas tambahan iaitu menghantar dan mengambil cucu dari sekolah. Sudahlah berpuluh-puluh tahun menjaga anak-anak sehingga besar panjang, apabila anak-anak telah berkahwin terpaksa pula menjaga cucu. Tak sudah-sudah mereka berkhidmat untuk anak-anak. Seolah-olah tiada penghujung.

Itu belum lagi dikira keadaan rumah atuk dan nenek sepanjang cucu-cucu berada bawah jagaan mereka. Tunggang langgang. Bak kata orang, tak nampak lantai. Maknanya rumah bersepah-sepah. Kalau hendak kemas pun tunggu cucu-cucu balik rumah ibu bapa mereka. Itu pun kalau larat. Hendak harapkan anak-anak tolong kemaskan, hai, jangan haraplah.

Bak kata seorang rakan Kalam, hidup atuk dan nenek ini langsung tak rileks. Paling sedih ada pula anak-anak yang tidak menghargai pengorbanan ibu bapa mereka. Sampai-sampai sahaja di rumah ibu bapa selepas bekerja, anak-anak ini terus meninggi suara kerana ada cucu yang masih belum mandi.

Eh! Bukan ke itu anak kamu? Patutnya kamu yang uruskan, Patutnya kamu yang mandikan anak-anak kamu. Seletih-letih kamu bekerja seharian, letih lagi atuk dan nenek ini. Selalunya atuk dan nenek malas nak bising-bising.

Akhirnya mereka buat diam sahajalah walaupun hati cukup terkilan. Malah, mereka awal-awal lagi telah memaafkan anak-anak yang meninggi suara ini kerana tidak mahu anak-anak terlibat menjadi anak derhaka. Lihatlah betapa mulianya hati ibu bapa kita.

Ingatlah, ibu dan bapa kita ini bukan hamba. Mereka adalah insan yang wajib dimuliakan dan diraikan. Oleh itu usahlah bebankan mereka lagi dengan tugas sebagai baby sitter sebaliknya pandai-pandailah cari penyelesaian sendiri. Renung-renungkanlah.