Memanglah dalam perjanjian kenduri bermula antara pukul 12 tengahari hingga 4 petang. Tetapi syarikat katering buat-buat tidak mengerti bahawa sehingga pukul 5 petang pun akan ada orang datang. Paling tidak sekali pun, tinggalkanlah semeja dua dan makanan di satu sudut bawah khemah.

Apa yang berlaku sebaliknya. Dalam 30 minit syarikat katering telah mengemas licin semua barangannya.

Tuan rumah tidaklah mahu memprotes terang-terangan. Wajahnya sedikit sebal sebab masih ada beberapa kenalannya yang baharu sampai untuk meraikan kenduri, terpaksa dipersilakan makan di dalam rumah.

“Saya bayar premium. Lebih RM20,000 untuk pakej katering dan meja, kerusi. Sebenarnya, perkhidmatan yang diberi semua bagus. Makanan orang puji, petugas pantas buat kerja.

“Tetapi terlalu pantas. Pukul 4 petang dia kemas semua,” kata pengantin baharu sedikit terkilan.

Tinjauan rambang terhadap sahabat-sahabat yang baru mengadakan majlis, mendapati semuanya gembira dengan mutu perkhidmatan syarikat katering. Contoh yang dipaparkan di atas, wajar diberi perhatian oleh para pengusaha.

Bila pengusaha mengenakan caj premium, semestinya pelanggan berharapkan perkhidmatan premium. Serba-serbi kena TIP TOP, dari detik pertama dewan kenduri dibuka kepada tetamu sehinggalah majlis tamat. Pelanggan yang berhak menamatkan majlisnya, bukan jurukater yang kemas barang tepat jam 4 petang.

Menurut seorang pengatur majlis, caj premium yang dimaksudkan berharga RM20,000 ke atas, manakala bawah RM20,000 adalah standard. Terkedu juga dibuatnya. Inilah running cost untuk kenduri perkahwinan sekarang, terutama di Lembah Klang. Sekilas teringat video tular seorang wanita mengomel hal belanja hantaran. Patutlah dia sebut ‘RM20k’.

Maaflah kalau saya bunyi naif. Zaman saya nikah dua dekad lalu, jauh lebih rendah. Apatah lagi, kenduri rumah mentua diadakan secara gotong-royong. Adik ipar bersama jiran tetangga berganding bahu memasang khemah dari surau. Jam 6 petang salin baju, saya panjat tangga membuka ikatan khemah dan tolak troli khemah/kerusi balik ke Surau Al-Ridzuaniah. Tiada masalah.

Zaman sekarang, semuanya sudah melambung. Dalam menguruskan kebimbangan sebegini, para pengusaha tampil dengan kreativiti menggabungkan semua elemen di dalam penganjuran sesuatu majlis atau kenduri.

Lazimnya, pemilik dewan atau premis akan menjadi ketua pengurus untuk melantik pengusaha katering, pembuat pelamin, jurugambar, penyedia khemah dan meja kerusi serta kipas industri atau penyaman udara boleh ubah. Dan daripada kesemua elemen tersebut, ramai bersetuju elemen katering adalah yang paling dirisaukan.

Berikut adalah tujuh perkara yang disenaraikan oleh Merrepak, yang boleh anda pertimbangkan sebelum memilih jurukater premium anda:

1 .Mesra dan pantas penuhi permintaan anda

Bermula dengan panggilan telefon, nilaikan cara petugas melayan anda. Jika kasar, sila letak ganggang telefon. Jika tidak, itulah cara mereka melayan anda sehingga majlis berlangsung. Nilai juga apakah syarikat itu berusaha untuk memahami keperluan anda, dan tetamu anda kelak? Bolehkah juadah dimasak mengikut selera keluarga bakal menantu anda? Apakah juadah boleh disesuaikan dengan bajet anda? Anda kena cerewet. Majlis gagal bukan orang lain kecewa tetapi anda!

2 .Nilai untuk wang

Bayar kacang, anda dapat babun, kata bidalan Barat. Memilih syarikat katering yang 'murah’ mungkin sesuai dengan bajet tetapi tidak semestinya menjamin anda mendapat apa yang anda harapkan. Jadi bila bayar premium, pastikan anda dapat layanan premium.

Jurukater yang bagus sewajarnya menyenaraikan setiap satu perkara iaitu kakitangan, peralatan, fi penghantaran atau pengambilan serta ais dan peralatan sajian, selain daripada menu. Ini memastikan tiada caj tambahan kelak.

3 .Keenakan makanan

Memang orang selalu bercerita ‘sedap tak lauk?’ Sesuatu majlis bukan sahaja diingati kerana kesegakan pengantin tetapi juga keenakan juadah. Sila minta diadakan acara 'mencuba juadah’ (food tasting) dan bawa kawan-kawan yang arif mengenai masakan dan pengkritik makanan untuk membantu anda memilih juadah.

4 .Tanya jurukater berapa pelanggan pada hari 
 majlis anda

Bukan hendak meragui keupayaan jurukater, tetapi kita bimbang jika mereka mempunyai terlalu banyak pelanggan pada hari sama dengan majlis kenduri anda. Tentulah mereka berkeupayaan. Jika tidak, mereka tidak akan menerima. Tetapi tidak salah minta pengurus lafazkan ikrar bahawa pelanggan banyak tidak akan jejaskan komitmen mereka kepada anda.

5 .Siapa memasak?

Pun tidak salah bertanya. Dan patut tanya siapakah tukang masak. Apakah pengalamannya, kemahiran dan kepakarannya. Bukan apa, kita hendak elak juadah dimasak oleh bukan orang yang sepatutnya. Lagi bagus, minta tunjukkan di mana dapur tempat mereka memasak.

6 .Khidmat tambahan

Jurukater yang bagus, biasanya tahu bagaimana memaksimumkan kepuasan anda. Mereka tidak akan berhenti setakat pada penyediaan makanan utama. Ada yang tawarkan meja manisan, rojak, air batu campur, teh tarik dan sebagainya, secara percuma.

7 .Testimoni pelanggan lain

Seandainya anda memilih jurukater berdasarkan pemerhatian anda semasa majlis kenduri orang lain, maka tanyalah orang tersebut. Apakah pengalaman mereka, senang atau susah berurusan, mahalkah, sedapkah makanan? Dari sini anda ada keyakinan untuk membuat keputusan.