Bukan Armin Zaharin sahaja, malah ada lagi bapa atau ibu lain yang turut mengajukan persoalan sama iaitu, salahkah mereka menggunakan sedikit elemen `kekerasan’ untuk mendidik anak yang degil?

Tetapi masyarakat terutama ibu bapa atau penjaga juga perlu sedar, jika tindakan untuk mendidik dan mengajar itu melepasi batasan hingga wujud elemen jenayah maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

Semua plihak perlu maklum bahawa keselamatan kanak-kanak dilindungi melalui Akta Kanak-Kanak 2001. Di bawah akta ini terutama peruntukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, sesiapa yang didapati bersalah kerana mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000,

Undang-undang digubal dan dipinda supaya lebih mantap dengan tujuan melindungi kanak-kanak. Golongan kanak-kanak ini tidak memiliki apa-apa perisai untuk melindungi mereka. Keselamatan mereka semata-mata bergantung kepada kasih sayang dan belaian ibu bapa atau penjaga.

Mereka tidak berdaya untuk mempertahankan diri jika berlaku penderaan atau penganiayaan. Sebab itu Akta Kanak-Kanak digubal dan diperkemaskan. Matlamatnya untuk melindungi kanak-kanak daripada apa saja elemen jenayah termasuk daripada darah daging mereka sendiri yang menggunakan alasan mengajar dan mendidik.

Cuba kita renungi nasib yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang maut awal Februari tahun ini di Port Dickson. Hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak malang dan tidak berdosa itu, Nur Aina Nabihah Mohammad Abdullah, mendapati terdapat kesan lebam pada badannya serta kecederaan pada organ dalaman termasuk putus buah pinggang, Hatinya koyak, lebam pada usus, patah kedua-dua rusuk kiri dan kanannya, serta kesan koyakan dalaman pada bahagian paha yang dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Kenapa ini boleh berlaku? Sebabnya kanak-kanak ini tidak mampu untuk mempertahankan dirinya. Kerana kes penderaan ini telah membawa kepada kematian maka kematian Nur Aina Nabihah disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh. Bapa mangsa yang merupakan seorang anggota tentera, dan ibu tiri mangsa yang tidak bekerja telah ditahan.

Perkembangan terbaru ini menunjukkan kes penderaan anak terus menjadi barah dalam masyarakat kita. Pada bulan Mac tahun 2017 dilaporkan bahawa penderaan fizikal mencatatkan kes paling tinggi iaitu 2,470 kes manakala 2,012 kes adalah penderaan seksual selain penderaan emosi 170 kes.

Daripada itu, kes pengabaian serta kecuaian ibu bapa atau penjaga adalah sebanyak 2,419 sepanjang tempoh lima tahun (2012-2016), iaitu kejadian kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan, ditinggalkan dalam kereta, terjatuh dari eskalator, terjatuh dari bangunan dan membiarkan kanak-kanak keluar ke kedai untuk membeli barang keperluan bersendirian.

Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak perlu sedar bahawa perbuatan seperti ini boleh disiasat mengikut seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Namun begitu, dalam seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, hukuman denda ini dinaikkan kepada RM50,000 dan hukuman 20 tahun penjara bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

Terdapat empat penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 ini dibuat setelah mengambil kira isu-isu semasa termasuk peningkatan kes membabitkan kecuaian ibu bapa dalam hal penjagaan kanak-kanak. Di samping itu, ibu bapa yang mendera anak diwajibkan menjalani sesi kaunseling dan kursus keibubapaan selepas mereka menjalani hukuman mahkamah.

Langkah ini dicadangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bertujuan memastikan kes penderaan kanak-kanak tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada ibu bapa lain.

Terdapat banyak peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi mengawal perbuatan dera namun tidak digeruni oleh mereka yang melakukannya. Seksyen 325 atau 506 Kanun Keseksaan boleh digunakan jika mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah. Kes yang lebih sadis sehingga menyebabkan kematian akan disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut seksyen 307 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Tertuduh tidak patut dibenarkan diikat jamin bagi kes yang melibatkan anak kandung atau anak yang masih lagi tinggal serumah dengan tertuduh berikutan kemungkinan tertuduh akan mengancam mangsa.

Contohnya kes tragis yang berlaku di Port Dickson ini. Ibu kandung mangsa pernah membuat laporan polis selepas mendapati mangsa yang berada di bawah jagaan bekas suaminya mempunyai kesan lebam pada beberapa bahagian badan. Namun kes itu kemudiannya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Seremban tetapi ia diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) pada 24 Julai atas alasan suspek (bapa kandung) memukul atas dasar ingin mengajar mangsa.

Suami penyanyi Ziana Zain iaitu Armin Zaharin, ditahan pada 2 Mac lalu hasil laporan polis yang dikemukakan oleh Ziana pada 27 Februari atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, 25 Februari kira-kira pukul 4 pagi.

Dalam penjelasannya di mahkamah, Armin mengatakan bertanggungjawab mengajar anak-anak mengaji al Quran. Pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan. Armin bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kedua-dua kes, tertuduh menggunakan alasan “mengajar anak”. Alasan mengajar anak terutamanya mengajar anak mengaji berkaitan hal agama sering disalahgunakan oleh pelaku dan juga disalahtafsirkan oleh masyarakat. Mengajar anak tidak perlu sehingga menyakiti, apatah lagi sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Keadaan ini sudah menjadi penderaan. Namun jika alasan “mengajar anak” digunakan, seringkali isu ini diketepikan dan tidak dianggap serius sehinggalah menyebabkan kematian. Aspek ini perlu diutamakan dan siasatan perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku kemudian hari.

Terdapat juga kes yang diringankan hukumannya seperti dalam kes di mana mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ibu tunggal Wong Mei Ting dan teman lelakinya Tan Peng Tong selepas mereka didapati bersalah membunuh anak Wong iaitu Jasmine Lee Siew Hui di No. D-3- 15, Blok D, Tingkat Tiga, Apartmen Bayu, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan antara tengah malam 1 Mac, 2010, dan 14 Mac 2010.

Dalam perbicaraan, mahkamah diberitahu kanak-kanak perempuan itu mati akibat red hepatisation (radang paru-paru), kerana berulang-kali disepak, dicubit dan dipukul dengan penyangkut baju. Pasangan itu juga meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri di rumah selepas mengikat tangan dan kakinya dengan tuala semasa mereka pergi makan angin ke Melaka.

Menurut laporan bedah siasat, terdapat sekurang-kurangnya 60 kesan luka di seluruh badan Siew Hui. Namun selepas mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan peguam bela, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Dalam menangani kes penderaan kanak-kanak, kementerian telah melaksanakan pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 yang kini dikenali sebagai Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, serta mewujudkan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak dan Dasar

Perlindungan Kanak-Kanak serta pelbagai program advokasi yang dijalankan oleh agensi-agensi berkaitan. Kempen kesedaran telah kerap diadakan bagi mewujudkan kesedaran kepada masyarakat akan perbuatan penderaan zalim ini.

Undang-undang turut digubal dan dipinda ke arah kebaikan, namun masih tidak berupaya menjadikan mereka ini serik, menyesal atau takut daripada melakukan penderaan.

Tidak salah mendidik anak-anak. Tetapi jangan sampai memudaratkan hingga disabitkan dengan elemen jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.

Pada masa sama pendekatan rohani dan agama juga berupaya menerapkan akidah agar menjauhi perbuatan yang merosakkan sesama insan.

**Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah