Jika dahulu saya sendiri merasakan gerunnya mahu berkhatan, kini giliran anak pula menjalani prosedur wajib tersebut dan sebagai seorang bapa, gementarnya sama seperti masa kecil dahulu.

Proses khatan adalah perkara biasa yang perlu dilalui semua lelaki mahupun perempuan Islam. Orang perempuan biasanya dikhatankan ketika masih bayi sementara yang lelaki kebiasaannya ketika sekolah rendah iaitu sebelum cukup umur atau akil baligh.

Ada juga khatankan anak lelaki mereka sebaik sahaja lahir seperti mana amalan masyarakat Arab berkhatan beberapa hari selepas lahir atau sebelum umur tujuh tahun.

Di negara ini, umumnya berkhatan diadakan semasa cuti sekolah panjang pada pertengahan atau hujung tahun bagi kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

Menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu sejak dahulu lagi gemar menakut-nakutkan anak kecil tentang proses khatan yang ‘sangat sakit’, perlu guna ‘kapak’ jika lambat khatan dan banyak lagi.

Walaupun sekadar jenaka, perkara itu menyebabkan majoriti kanak-kanak lelaki gerun dengan proses khatan sekalipun menggunakan teknologi terkini.

Prosedur berkhatan juga semakin maju setiap tahun. Jika dahulu Tok Mudim memotong tanpa bius di atas batang pisang, kini klinik dan hospital menyediakan pelbagai pilihan menggunakan bius dan teknologi moden.

Sama ada prosedur biasa menggunakan bius setempat dan gunting, bius penuh (tidur), laser dan bermacam peralatan lain, perkara paling penting adalah supaya anak-anak tidak trauma.

Saya tidak pasti sama ada masih ada tok mudim yang mengadakan majlis khatan secara tradisional memandang­kan kebanyakan ibu bapa kini memilih ka­edah moden bagi mengelakkan anak berasa sakit.

Namun, sebenarnya agak sukar untuk ibu bapa membuat pilihan di mana dan bagaimana mahu khatankan anak mereka kerana mahu mencari doktor yang boleh dipercayai serta berpengalaman.

Tahun lalu amat mengejutkan apabila laporan akhbar mendedahkan dua kanak-kanak terpotong kemaluan ketika berkhatan, seorang disebabkan gunting dan seorang disebabkan laser.

Tidak dapat dibayangkan trauma kedua-dua mangsa itu dan lebih gerun memikirkan risiko yang bakal dihadapi anak sendiri, semoga dijauhkan perkara seumpamanya.

Klise di kalangan orang yang mahu memeluk agama Islam perlu ‘potong’ sebelum boleh kahwin dengan wanita Islam tetapi sebenarnya penganut agama Yahudi, Kristian dan beberapa anutan lain juga mengamalkan khatan atas tuntutan agama serta kebersihan diri.

Ada juga ibu bapa liberal yang meninggalkan sepenuhnya proses khatan anak lelaki mahupun perempuan atas dasar ‘mengikut arus semasa’ memandangkan berkhatan khususnya untuk anak perempuan disifatkan sebagai perbuatan kejam dan tidak bertamadun oleh pejuang hak asasi di Barat.

Proses khatan sebenarnya salah satu cara membersihkan kemaluan dan melindungi daripada sesetengah penyakit kelamin malah didakwa dapat membantu seseorang mengawal rangsangan nafsu syahwat apabila dewasa kelak.

Khatan juga bukan sekadar prosedur perubatan biasa kerana ada melibatkan sentuhan budaya dan hubungan kekeluargaan.

Majlis khatan beramai-ramai menjadi norma biasa sepanjang musim cuti sekolah umpama satu sambutan keraian bagi mengurangkan sedikit rasa gemuruh anak-anak kecil ini.

Tempoh pemulihan selepas berkhatan juga menjadi waktu saudara-mara datang melawat kanak-kanak dikhatankan tetapi dengan teknologi semasa, kebanyakan daripada mereka pulih hampir serta merta.

Mungkin tiada lagi gambaran berbaring beramai-ramai dengan kain pelekat diikat pada siling atau berjalan sambil memegang kain pelekat ke depan.

Apa pun, pastikan pengalaman berkhatan anak-anak dijauhkan atau dikurangkan risiko trauma kerana sebarang kesilapan bukan sahaja boleh menjejaskan fizikal malahan mental mereka seumur hidup.

Biarlah berbelanja lebih semahal mana sekalipun asalkan pengalaman itu tidak menjadi trauma kepada anak mahupun kepada keluarga.