Lebih merumitkan lagi ialah apabila berita palsu itu terbit daripada maklumat yang sahih tetapi "dengan pintar" dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk menanam tanggapan yang berat sebelah. Apabila rakyat United Kingdom (UK) keluar mengundi untuk menentukan sama ada untuk kekal atau sebaliknya dalam Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2016, penularan maklumat yang dimanipulasi iaitu berita palsu amat begitu berluasa sekali.

Umpamanya janji yang mengatakan UK akan menjimatkan sejumlah wang sehingga 350 juta pound sterling seminggu dan akan mengembalikan kuasa mengawal sempadan adalah contoh ketara maklumat yang dimanipulasikan. Kedua-dua janji tersebut walaupun bersandarkan fakta tetapi telah dimanipulasi sehingga boleh ditakrifkan sebagai berita palsu.

Tidak keterlaluan jika ditegaskan sebahagian daripada 51.9 peratus rakyat UK yang telah membuat keputusan untuk keluar dari EU merasa mereka telah terpedaya dengan janji daripada maklumat yang dimanipulasikan.

Sebab itu terdapat cadangan supaya dilakukan referendum kali kedua tetapi hakikatnya bagi rakyat UK semuanya itu sudah terlambat dan terpaksa menerima padahnya.

Berlandaskan berita palsu rakyat UK disogokan dengan persepsi mereka akan raih manfaat dan keuntungan jika berada di luar EU, tetapi hakikatnya hari ini baru mereka sedar bahawa UK berada dalam situasi akan kehilangan lebih banyak faedah yang diterima sebelum ini.

Bukan sahaja rakyat UK yang telah terdedah dengan fenomena berita palsu, tetapi juga rakyat Perancis, Ireland dan Jerman juga pernah melalui situasi serupa yang begitu sukar sekali untuk dikawal. Sebab itu dihujahkan cadangan untuk mengawal selia penularan berita palsu melalui perundangan bukan unik hanya untuk Malaysia kerana UK, Perancis, Ireland dan Jerman juga telah mengambil langkah yang serupa lebih awal lagi.

Jerman umpamanya mempunyai perundangan yang boleh memaksa organisasi media sosial untuk memadamkan berita palsu dan seterusnya mendenda organisasi yang disabit.

Membezakan

Malah jiran Malaysia lebih awal dan mereka sudah pun berada dalam proses akhir untuk mewujudkan akta mengawal selia berita palsu. Dalam tinjaun pendapat yang dilakukan didapati lebih daripada 90 peratus rakyat Singapura menyokong akta tersebut. Lebih menakjubkan lagi ialah hampir 70 peratus yang ditinjau tidak mampu membezakan antara berita benar dan palsu.

Apa yang menakutkan ialah penularan berita palsu di Malaysia seolah-olah didalangi oleh satu organisasi tersusun kerana ia berlaku secara sistematik dan bukannya secara semberono.

Modus operandi paling ketara ialah pada ketika ini China dijadikan sebagai kambing hitam dan setiap berita mengenai China dimanipulasi sebegitu rupa sehingga membayangkan negara itu sudah menjajah Malaysia!

Berita seperti penutupan pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan kehadiran kenderaan polis China di Putrajaya adalah contoh bagaimana berita sahih dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Faktor negara asing dijadikan kambing hitam adalah satu strategi lumrah yang digunakan untuk mencanang berita palsu dan rakyat Malaysia bukanlah unik menghadapi tekanan seperti ini.

Ketika kemuncak kempen Brexit dilakukan, Turki telah dijadikan kambing hitam dengan tersebar berita palsu bahawa negara itu bakal menjadi ahli EU ke-29 dan UK sebagai ahli EU terpaksa menerima kebanjiran rakyat Turki mencari pekerjaan. Sebagaimana berita palsu China sedang menjajah Malaysia adalah begitu menakutkan, begitu jua rakyat UK dihidang dengan berita palsu yang serupa miripnya.

Sepatutnya perundangan untuk mengawal selia penularan berita palsu sudah lama diwujudkan kerana penyebarannya pada ketika ini bagaikan sudah tidak dapat dikawal. Tetapi apa yang penting adalah usaha mewujudkan perundangan perlu mendapat sokongan semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

Jika lebih daripada 90 peratus rakyat Singapura menyokong usaha kerajaan mereka mewujudkan akta yang khusus, sepatutnya tidak timbul suara sumbang di Malaysia yang begitu khuatir dengan kewujudan akta seperti ini.

Ini adalah kerana kesan negatif yang timbul daripada penyebaran berita palsu, tidak mampu mengenal dan membezakan ideologi politik seseorang. Tetapi hakikatnya jika tidak dikekang fenomena ini, ia bakal mengugat masa depan negara terutama sekali menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Jika rakyat UK boleh terpedaya dengan berita palsu semasa membuat keputusan mengenai keahlian dalam EU, tidak mustahil juga rakyat Malaysia yang kini terdedah dengan berita palsu tanpa kawal selia boleh terpedaya sehingga membuat keputusan berlandas maklumat berita palsu.

* Penulis ialah Geostrategis di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).