Singapura umpamanya lazim dipersoalkan oleh jiran-jiran terdekat kerana memperuntukkan bajet pertahanan yang begitu besar sedangkan rantau ini tidak menghadapi konflik yang kritikal. Setiap pembelian tidak kira jet pejuang, kapal selam atau helikopter tempur sering dipandang serong oleh negara lain kerana khuatir terhadap niat sebenar Singapura.

Sebenarnya setiap ulasan dari negara jiran tidak begitu memberi kesan kepada strategi perolehan aset pertahanan kerana setiap pembelian adalah berdasarkan keperluan negara tersebut dan bukannya negara jiran.

Singapura sekali lagi adalah contoh terbaik kerana walaupun berhadapan kritikan sinis, pemimpin republik itu tetap dengan pendirian berbelanja besar adalah prasyarat untuk mendapatkan teknologi terbaik dan terkini.

Begitu mudah pemimpin Singapura membuat keputusan sedemikian kerana setiap perolehan aset pertahanan begitu jarang sekali mendapat bantahan dalaman iaitu dari rakyat Singapura sendiri. Mereka seolah-olah sudah menerima hakikat bahawa bajet pertahanan yang tinggi adalah keperluan asas untuk memastikan negara mereka sejahtera.

Pemimpin Singapura telah berjaya meyakinkan rakyat mereka bahawa perbelanjaan yang besar adalah kerana keadaan yang memaksa dan bukannya hanya kerana mahu bermegah.

Bantahan minimum bukan kerana rakyat Singapura tidak ambil peduli kerana secara amnya mereka adalah begitu kritikal kepada setiap isu yang memberi kesan kepada gaya hidup seharian. Umpamanya masalah kos sara hidup dan kebanjiran pekerja asing yang menjadi isu kempen pilihan raya tahun lepas telah digunakan sepenuhnya oleh pengundi untuk menghukum kerajaan pimpinan Lee Hsien Loong.

Tetapi agak berbeza senarionya di Malaysia kerana setiap perkara mengenai pembelian aset pertahanan akan mendapat bantahan dan kritikan sinis daripada golongan tertentu. Timbul tohmahan bahawa kapal selam KD Tun Razak dan KD Tunku Abdul Rahman tidak mempunyai kemampuan untuk menyelam sebagai dalil tersirat bahawa Malaysia masih tidak bersedia memiliki aset sedemikian rupa.

Keadaan ini memaksa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjemput mereka yang lantang mengkritik untuk bersama-sama meninjau kemampuan sebenar kapal selam milik Malaysia semasa Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 berlangsung.

Begitu juga dengan perolehan kapal rondaan pesisir pantai (LCS) mendapat kritikan yang lantang kerana terdapat andaian bahawa kos pembinaan yang diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) telah meningkat dengan mendadak.

Sememangnya setiap negara terpaksa menghadapi isu kritikan perolehan aset pertahanan tetapi timbul kemusykilan kerana bantahan melulu mampu mengubah strategi pertahanan sesebuah negara. Contoh terbaik adalah pembelian 126 jet pejuang pelbagai guna (MRCA) yang menelan belanja AS$12 bilion yang baru sahaja dibuat oleh New Delhi.

Pembelian ini dianggap penting dan bersejarah bukan sahaja kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar tetapi ia juga mampu mengubah keseimbangan pertahanan Asia Selatan. Keadaan geopolitik dan geografi India memaksanya mendapatkan MRCA untuk menggantikan jet pejuang MiG-21 yang begitu uzur dan tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Tetapi oleh kerana stigma skandal pembelian artileri Bofors Howitzer pada lewat tahun 1980-an yang telah menumbangkan kerajaan Rajiv Gandhi, New Delhi begitu berhati-hati dengan keputusan pemilihan MRCA sehinggakan membelakangkan keperluan strategik.

MRCA Rafale yang dibangunkan oleh Dassault dari Perancis telah dipilih mengalahkan tawaran Eurofighter Typhoon dari konsortium empat negara Britain, Itali, Sepanyol dan Jerman.

Begitu juga dengan bidaan dari Amerika Syarikat iaitu Lockheed Martin yang menawarkan F16IN dan Boeing dengan F/A-16 Super Hornet juga ditolak bersama-sama dengan bidaan MiG-35 Rusia.

Pemilihan Rafale dibuat bukan berdasarkan kepentingan strategik tetapi lebih kepada kos yang lebih rendah 10 peratus berbanding dengan tawaran lain iaitu lebih kurang AS$5 juta lebih murah untuk setiap MRCA. Ini adalah kerana kerajaan Manmohan Singh tidak mahu dituduh terlibat dalam skandal rasuah seperti yang telah menimpa Rajiv Ghandi tiga dekad yang lepas.

Rafale sebenarnya bukan MRCA Generasi Kelima yang begitu kritikal untuk menjadikan Tentera Udara India (IAF) sebagai organisasi yang efektif. F16IN atau pun F/A-16 Super Hornet adalah pilihan lebih baik berdasarkan keperluan IAF tetapi oleh kerana stigma Bofors Howitzer telah memberi tekanan politik melebihi keperluan sebenar.

Sebab itu golongan tertentu di Malaysia perlu berhati-hati apabila membuat teguran terhadap perolehan aset pertahanan kerana sektor ini adalah begitu unik sehinggakan kepentingan strategik melebihi segala-galanya. Teguran masih diperlukan tetapi biarlah kritikan tersebut mampu membina pertahanan negara yang lebih baik.

Bajet pertahanan Singapura adalah kedua tertingginya di dunia hanya di belakang Israel jika dibandingkan dengan faktor per kapita. Begitu juga jika dikaitkan dengan jumlah jet pejuang F-15 dengan nisbah keluasan negara, Singapura dalam kes ini berada jauh di hadapan di ikuti oleh Israel dan negara-negara lain yang mempunyai F-15.

Hakikatnya adalah segala apa jua yang berkaitan dengan pertahanan Singapura, statistik dan fakta menggambarkan sesuatu yang ekstrem. Tetapi mungkin juga ada baik buruknya, rakyat mereka menerima hakikat tersebut sebagai keperluan untuk melangsungkan kemajuan negara mereka.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial UTM dan Ahli Bersekutu Majlis Profesor Negara