Bagi mereka yang berkemampuan pula, bulan Disember merupakan bulan percutian bersama keluarga sama ada di dalam atau luar negara. Hujung tahun juga sering dinantikan golongan wanita yang gemar membeli belah kerana terdapat banyak pasar raya dan kedai yang akan menawarkan promosi jualan dan harga diskaun barang-barang terpilih.

Semua ini memerlukan peruntukan kewangan dan berlakunya peningkatan perbelanjaan mendadak berbanding bulan sebelumnya. Laporan “Realiti Berbeza” yang disediakan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada 15 Oktober lalu boleh dijadikan panduan.

Laporan dibentang Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menyatakan isi rumah berpendapatan RM2,000 membelanjakan 94.8 peratus daripada pendapatan sebulan pada 2016 dan mempunyai baki pendapatan hanya RM76 sahaja.

Situasi ini pastinya sesuatu yang membimbangkan kerana ia berpotensi mendedahkan isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 kepada apa-apa kejutan ekonomi dan kecemasan. Ia mungkin bukan masalah besar bagi golongan T20 yang berpendapatan RM8,319 ke atas namun tidak bagi golongan B40 yang berpendapatan bulanan bawah RM3,860, mewakili 40 peratus penduduk Malaysia.

Bayangkan dengan baki sedemikian, apa yang boleh dilakukan jika kita berhadapan kecemasan seperti kematian ahli keluarga, kemalangan dan sebagainya? Antara langkahboleh diambil adalah dengan merancang perbelanjaan bulanan lebih awal setiap tahun.

Bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak, senaraikan barang-barang keperluan terlebih dahulu dan kira anggaran kos setiap keperluan tersebut.

Potong mana-mana peralatan atau kelengkapan tidak perlu dan bandingkan harga di mana-mana kedai atau pasar raya. Terdapat banyak pilihan kedai atau pasar raya yang menawarkan harga mampu milik terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Ibu bapa juga perlu mengelakkan diri daripada membeli barang kerana terikut dengan trend terkini atau disebabkan jenama tertentu. Jangan pengaruhi anak yang masih kecil atau remaja untuk memilih jenama tertentu kerana tujuan mereka pergi ke sekolah adalah untuk menunutut ilmu.

Jenama mahal bukan jaminan kejayaan pembelajaran anak-anak, malah kita sebenarnya mengajar anak-anak berbelanja mewah dari kecil. Biasakan anak-anak kita memilih barang-barang keperluan berbanding kehendak seperti buku rujukan dan alat tulis yang mempunyai banyak pilihan dari segi harga. Terangkan kemampuan sebenar ibu bapa bagi mengelakkan mereka berasa tidak puas hati.

Bagi wanita yang tidak bekerja, penjimatan boleh dibuat dengan memasak sendiri makanan harian dan menggalakkan anak-anak membawa bekal ke sekolah. Selain kebersihan terjamin, ia juga dapat menjimatkan wang saku. Untuk mereka yang bekerja terdapat banyak perkongsian di laman sosial seperti di Facebook yang mengajar cara mudah dan cepat untuk memasak setiap hari dan berjimat dalam membeli kelengkapan dapur dan sebagainya.

Dan pastinya untuk tahun 2019 nanti, rancang kewangan keluarga dengan baik agar kita dapat mengelakkan situasi meruncing ini setiap akhir tahun. Biasakan diri untuk menabung dan menyimpan dari awal untuk pendidikan anak-anak, percutian, keraian, kecemasan dan sebagainya.

Berjimat cermat dalam berbelanja seharian supaya kita dapat membuat simpanan setiap bulan walaupun pada nilai kecil kerana sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Penulis teringat kata sahabat baik, “siapa tahu poket kita kosong hujung bulan, dan nak tolong kita?”

Elakan diri kita daripada boros berbelanja sehingga terpaksa berhutang dan membuat pinjaman bagi menampung kekosongan poket. Apapun situasi yang dihadapi, pokok pangkalnya, ukurlah baju di badan sendiri!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan dan juga Koordinator Institut Pendidikan NEO di UiTM Kampus Pasir Gudang.