Situasi yang berlaku ini merugikan banyak pihak. Kerugian yang menafikan hak waris dan menyebabkan terhentinya kitaran harta yang sepatutnya memberi kemakmuran ekonomi negara.

Antara faktor yang menyebabkan krisis ini berlaku disebabkan kurangnya pengetahuan masyarakat negara ini tentang prosedur yang perlu dilalui dalam membuat urusan dan tuntutan hak mereka terhadap harta pusaka.

Walaupun demikian, faktor yang lebih signifikan adalah disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan perancangan terhadap harta. Atau dengan perkataan lain, selepas harta atau wang diusahakan, diraih dan disimpan juga dikumpulkan, malangnya pemilik wang atau harta tidak mempunyai pengetahuan (juga kemahiran) terhadap mekanisme-mekanisme yang ada dalam pengurusan kewangan dan harta keluarga.

Faraid

Kalangan kita mungkin memaklumi atau pernah mendengar tentang amanah, harta sepencarian, hibah, wasiat dan wakaf, tetapi tanpa kefahaman yang sebenar dan kesedaran bahawa semua instrumen ini boleh berfungsi dengan berkesan dalam pengurusan harta.

Kemahiran seseorang Muslim dalam pengurusan harta atau kewangannya dapat dilihat apabila ia mampu memberi keadilan dalam urusan pengagihan harta yang dimiliki terhadap ahli keluarganya secara adil. Baginda Rasulullah SAW pernah berpesan dengan maksudnya: “Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli waris engkau itu kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan dalam kemiskinan (serta) meminta-minta kepada manusia.” (HR Bukhari)

Dalam hal pengurusan harta, faraid sebenarnya adalah pendekatan terakhir yang disediakan oleh syariah jika seseorang pemilik harta tidak menguruskan harta yang ada semasa hidupnya. Dalam pengurusan harta kekeluargaan Islam, faraid hanya memperuntukkan bahagian harta kepada ahli waris tertentu. Dalam keadaan ini, boleh berlaku terhalangnya ahli keluarga tertentu daripada mendapat harta si mati, sedangkan realitinya ia seorang yang amat memerlukan pelbagai keperluan demi kelangsungan hidup.

Sehubungan dengan perkara ini juga, barangkali dalam sesebuah keluarga terdapat saudara tiri, anak yatim yang dipelihara, anak angkat, anak tidak sah taraf, anak tiri, anak bawa atau seumpamanya dan semua mereka ini bukan dalam kalangan waris yang berhak terhadap harta pusaka. Jika terdapat kalangan mereka ini dalam sesebuah keluarga, maka hibah dan wasiat boleh dijadikan sebagai instrumen yang lebih praktikal sesuai dalam menghasilkan keputusan ‘menang-menang’ kepada semua ahli keluarga yang ada.

Hibah lebih fleksibel

Hibah merupakan mekanisme yang amat fleksibel kerana syariah Islam tidak menentukan had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Sifatnya yang fleksibel disebabkan pemberi hibah boleh membuat pertimbangan secara mutlak terhadap barang itu sendiri dan kadar yang hendak dihibahkan. Dalam hal ini, jumhur ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat bahawa sunat hukumnya untuk menyamakan pemberian adil jika penerimanya adalah anak-anak. Pemberian dengan melebihkan sebahagian daripada mereka pula adalah makruh hukumnya, sekalipun sah di sisi syarak.

Walaupun demikian, pada pendapat Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain.

Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka untuk menyamakan pemberian tersebut. Menurut Mazhab Hanbali pula, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Menurut Imam Malik pula, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anak tertentu tetapi tidak kepada yang lain.