Islam menyediakan instrumen perancang harta dalam Islam se­perti hibah, namun apabila wujud salah faham berkaitan konsep hibah ini juga boleh membawa implikasi. Mereka sebenarnya tertipu dengan diri sendiri kerana akibat tidak membahagikan harta sewaktu hidup akan menimbulkan malapetaka cukup besar.

Hibah adalah satu perbuatan memberi harta miliknya kepada orang lain sewaktu hayatnya tanpa balasan. Walaupun nampak ringkas maksud tersebut, namun dari segi pelaksanaan masih ramai yang tidak memahaminya dan tidak sempurna.

Untuk menjadikan hibah tersebut sempurna ia perlu kepada syarat dan rukun hibah itu sendiri. Contoh yang pernah berlaku dalam masyarakat, ada seorang bapa memberitahu kepada anak-anaknya bahawa semua hartanya seperti tanah, rumah dan tanah tol dihibahkan kepada anak­nya. Tetapi dia tidak mematuhi syarat-syarat hibah, akibatnya hibah tidak berlaku dan tidak disabitkan apabila anak-anaknya membuat permohonan hibah di mahkamah syariah.

Dalil pensyariatan hibah se­perti yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah ayat 177 bermaksud: “Dia memberikan harta yang dimilikinya kepada keluarga terdekat, anak yatim, orang miskin,orang musafir, orang yang berhajat dan hamba”.

Sementara itu, hadis berkaitan hibah pula seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bermaksud; “Berilah hibah nescaya kamu akan dikasihi”. (Hadis riwayat al Baihaqi).

Justeru oleh kerana hibah sua­tu akad pemberian hak milik seseorang kepada seseorang lain ketika hayatnya dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan maka pada zaman yang canggih dan pantas ini maka sudah pastinya cara untuk menghibahkan harta juga didatangkan dengan cara berlainan berbanding masa lalu.

Sebagai contoh, ketika 1960-an dan 1970-an hibah yang dilakukan dengan pembuktian dokumen kurang diambil berat oleh si pemberi dan penerima hibah. Ia banyak berlaku secara lisan atau disaksikan orang lain.

Namun, hari ini telah wujud berbagai syarikat dan agensi berkaitan seperti Amanah Raya Berhad maka penyediaan dokumen hibah boleh dilakukan demi kemaslahan pemberi hibah. Ini boleh dibuktikan secara jelas bahawa hibah itu wujud dan segala dokumen dilampirkan bersama dan dapat menunaikan hasrat si pemberi walaupun dia meninggal dunia.

Jika kita membaca dan mengkaji perbahasan ulama terdahulu berkaitan hibah, kita akan mendapati beberapa perbahasan dan perbezaan pendapat mengenai­nya.

Untuk diaplikasikan hibah sebegitu pada zaman kita sekarang, cendekiawan Islam kontemporari telah membincangkan secara panjang lebar sama ada secara akademik dan aplikasinya dalam masyarakat, adakah ia sesuai dan perlu diluluskan demi kemaslahan si pemberi hibah dan tiada pihak yang cuba mencabar jika timbul isu di kemudian hari.

Sebagai umat Islam wajar kita mengetahui mengenai hibah supaya ia dapat membantu kita atau sesiapa sahaja dalam menyelesaikan masalah harta ataupun kita dapat merancang harta sewaktu masih diberikan ruang dan masa oleh Allah SWT.

Terdapat perbincangan ulama kontemporari berkaitan akad hi­bah yang disertakan dengan sya­rat dan dari sudut praktikalnya di Malaysia oleh pihak yang menguruskan dokumen hi­bah ia suatu yang agak praktikal dan teratur iaitu dengan mengasi­ngkan ke­dua-dua akad antara hibah dan syarat dengan dua kali akad antara pemberi dan penerima yang diakui oleh syarak.

Hibah juga disebut sebagai pemberian kasih sayang, sesuatu akad hibah yang telah sempurna rukun syaratnya tidak boleh ditarik balik, selain perbuatan itu adalah haram, Rasullullah SAW menggambarkan juga betapa buruk dan kejinya jika seseorang menarik balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain de­ngan mengibaratkan seseorang itu menjilat semula kahak yang telah dikeluarkan dari mulutnya, namun Islam membenarkan penarikan hibah daripada seorang bapa kepada anaknya.

Kenapa kita perlu melakukan hibah ini? Apakah kita mempercayai tentang hukum faraid juga adalah salah satu instrumen pe­rancangan harta dalam Islam? Antara kita ada yang Allah SWT berikan rezeki melalui pelbagai cara sama ada dalam bentuk harta, anak yang ramai dan sebagai­nya, namun pernahkah kita terfikir ada dalam kalangan kita kurang bernasib baik?

Contohnya, walaupun dikur­niakan harta yang banyak, namun tiada zuriat yang Allah berikan dan sebagai alternatif­nya memelihara anak orang lain sebagai anak angkat tetapi terfikirkah kita bahawa anak angkat sama sekali tidak dapat mewarisi harta bapa angkatnya? Apakah nasib anak angkat tersebut jika kita tidak menyediakan perancangan harta kepadanya dengan cara hibah?

Bagi memberi pemahaman le­bih jelas kepada umat Islam me­ngenai hibah, adalah wajar forum, seminar atau ceramah berkaitan perancangan harta diperluaskan agar masyarakat Islam tidak lagi dibelenggu dengan perebutan harta atau harta terbeku kerana tiada muafakat antara ahli waris ataupun pelbagai isu lain sehingga menimbulkan masalah besar terhadap umat Islam itu sendiri.

Mohd. Asri Mohamad Ghazali 
ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak.