Malah wilayah AS terdekat iaitu Guam yang kini dalam perhatian Pyongyang sebenarnya sering diancam dan digertak oleh Jong-un bermula 2012 lagi iaitu ketika era Presiden Barack Obama.

Tidak keterlaluan jika diandaikan mengapa Jong-un bersikap demikian sebenarnya adalah untuk tontonan rakyat Korea Utara kerana itulah propaganda Pyongyang yang mengawal minda setiap rakyatnya. Setiap hari rakyat Korea Utara akan disogok oleh Pyongyang bahawa bukan sahaja AS tetapi Korea Selatan dan Jepun akan melancarkan perang terhadap mereka.

Bezanya adalah pemimpin negara yang diancam seperti Obama umpamanya tidak pernah membalas retorik ancaman tersebut sebagai perjuangan peribadi di antara beliau dan Jong-un. Begitu juga dengan Presiden Korea Selatan seperti Lee Myung-bak, Park Geun-hye atau terkini Moon Jae-in tidak pernah menjadikan ancaman dari Pyongyang sebagai perjuangan peribadi dengan Jong-un walaupun Korea Selatan paling terdedah dengan tingkah laku tidak menentu pemimpin Korea Utara tersebut.

Tetapi berbeza dengan Presiden Donald J. Trump kerana setiap isu dijadikan perjuangan peribadi beliau dan ini ­termasuklah kemelut Korea Utara. Bukan itu sahaja isu pembinaan tembok sempadan Mexico juga dijadikan masalah peribadi dengan Presiden Enrique Peña Nieto. Begitu juga dengan kemelut perjanjian AS-Australia mengenai pelarian dijadikan pertembungan di antara Trump dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.

Timbul masalah apabila isu geopolitik yang rumit seperti ancaman peluru berpandu Korea Utara dijadikan isu peribadi seseorang pemimpin. Ini adalah kerana isu sebenar akan tenggelam dan perhatian hanya akan ditumpukan kepada gelagat pemimpin yang bertelagah. Sebenarnya, apabila Trump secara langsung mencabar Jong-un, maka pemimpin AS itu telah terperangkap kerana strategi sedemikian memberi manfaat kepada Pyongyang.

Ini kerana propaganda Jong-un adalah hanya beliau yang mampu mempertahankan Korea Utara dari ancaman luar dan Trump telah memperkukuhkan propaganda tersebut.

Sama juga apabila Trump menegaskan akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Venezuela yang kini berada dalam keadaan huru-hara sebenarnya memberi kelebihan kepada Presiden Nicolas Maduro yang sering menuduh AS campur tangan politik negaranya untuk mengekalkan kuasa.

Tingkah laku Trump telah merumitkan lagi jalan penyelesaian ancaman peluru berpandu Korea Utara kerana jika selama ini ancaman lebih kepada retorik tetapi kini bertukar kepada isu peribadi atau air muka pemimpin. Analogi paling mudah adalah ketika sembilan rakyat Malaysia ditahan oleh Pyongyang Mac lepas, kemelut ini tidak pernah dijadikan isu peribadi di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Jong-un. Jika pendekatan Trump digunakan maka besar kemungkinan pembebasan rakyat Malaysia tidak akan dapat disempurnakan.

Bukan sahaja penyelesaian isu geopolitik antarabangsa akan menjadi buntu apabila dijadikan perjuangan peribadi pemimpin yang terlibat, tetapi juga senario politik sesebuah negara jika ditakrifkan sebagai perbandingan pemimpin politik dan bukannya perjuangan parti, maka akan timbul kekeliruan ketika tiba masanya rakyat membuat pilihan.

Ini kerana keputusan akan dipengaruhi oleh aura pemimpin politik yang besar kemungkinan tidak memberi gambaran sebenar politik negara berkenaan.

Ketika pilihan raya United Kingdom (UK) pada Jun lalu, strategi kempen yang diguna pakai oleh parti memerintah Konservatif adalah berkisar kepada pertembungan individu politik utama iaitu Perdana Menteri Theresa May dan pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyrn. Keadaan sebegini memberi gambaran berat ­sebelah terhadap sesuatu isu yang dibincangkan terutama sekali berkait dengan niat UK untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU). Akibatnya, parti May kehilangan banyak kerusi kerana kempen menjurus kepada senario yang tidak menggambarkan isu sebenar.

Paling membimbangkan sekali adalah senario politik Malaysia juga sedang menjurus kepada pertembungan individu atau ikon politik tertentu. Proses demokrasi sebegini tidak begitu sihat kerana mampu mengaburi isu yang dibincangkan atau pun keadaan di mana seseorang akan begitu taksub dengan pemimpin tertentu. Keadaan sebegini akan mengaburi persepsi seseorang dan akhirnya keputusan yang dibuat berdasarkan kepada pertimbangan tidak munasabah.

Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah, Melaka beberapa hari lalu, tujuan tersirat Najib sebagai presiden parti menegaskan UMNO bukan milik beliau seorang adalah usaha untuk menangkis senario politik tempatan pada ketika ini yang hanya berkisar kepada pertembungan individu politik tertentu.

Beliau akur jika keadaan begini berterusan, maka seseorang akan menjadi begitu taksub dan sanggup melakukan perkara yang tidak pernah berlaku dalam perjalanan sejarah politik tanah air seperti rusuhan dan huru-hara yang tercetus ketika perbincangan mengenai hal politik beberapa hari lepas.

Seperti mana geopolitik antarabangsa ditegah hanya ­berkisar kepada pemimpin ­seperti Trump sahaja.

Perkara ini walaupun beliau adalah presiden negara kuasa besar kerana penyelesaian kemelut global memerlukan kerjasama banyak negara besar atau kecil. Begitu jua politik tanah air adalah melangkaui fenomena individu tertentu kerana sejarah Malaysia tidak pernah berkisar kepada individu tertentu sahaja.