Agensi-agensi yang mengambil bahagian dalam projek pembinaan rumah terutama kategori mampu milik hanya kelihatan bersemangat ketika majlis pelancaran sahaja, selepas itu diam.

Tidak pasti di mana silapnya, jumlah yang siap dibina sangat kecil berbanding dengan jumlah yang diumumkan kerajaan ketika itu.

Tidak hairanlah seorang ahli Parlimen pembangkang dalam Sidang Dewan Rakyat yang lalu menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) berbohong kepada pengundi dan gagal menunaikan janji mengenai isu perumahan mampu milik.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan kepada jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika itu bahawa hanya 8,475 unit kediaman Perumahan Rak­yat 1Malaysia (PR1MA) siap dibina daripada 500,000 unit yang dijanjikan sejak tiga tahun lalu.

Ahli Parlimen itu mendakwa sedangkan dalam manifesto 2013, BN berjanji membina satu juta rumah mampu milik yang akan dimajukan oleh pihak swasta termasuk 500,000 rumah PR1MA.

Oleh kerana isu perumahan mampu milik menjadi isu yang sangat mendesak, kerajaan baharu yang baru mengambil alih pentadbiran negara diharapkan dapat melakukan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang sudah dilakukan sebelum ini.

Projek-pro­jek perumahan yang di­­rancang oleh ke­rajaan terda­hulu yang tidak ber­gerak atau perlahan ta­hap pelaksa­na­annya atau wujud pada nama sahaja perlu dikaji balik.

Agensi-agensi pelaksana serta syarikat-syarikat terlibat mesti menyempurnakan tanggungjawab tersebut.

Bagaimanapun dalam keghairahan memastikan keperluan perumahan rakyat dipenuhi, kerajaan juga mesti memberi jaminan bahawa setiap projek yang dilaksanakan itu selamat.

Isu ini timbul ekoran ke­nyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini bahawa kerajaan merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium Highland Tower yang runtuh 25 tahun lepas.

Menurutnya, pembangunan di kawasan itu hanya boleh dilaksanakan setelah tanah ber­kenaan diam­bil alih dan segala isu berkaitan perundangan, tanah dan pembeli kondominium itu berjaya diselesaikan.

Umum mengetahui tragedi kondominium runtuh 11 Disember 1993 yang meragut 48 nyawa adalah peristiwa hitam dalam sejarah negara. Tragedi yang tidak pernah terfikir dek akal itu meninggalkan kesan mendalam kepada penghuni, pemilik serta para penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Sehingga sekarang kawasan itu menjadi kawasan yang dianggap tidak selamat. Dua lagi blok Highland Tower masih kukuh berdiri dan menjadi simbol tragedi menyayat hati itu.

Blok bangunan kondominium mewah itu kini terbiar dan menjadi sarang penagih dadah dan penjenayah tinggal.

Memang betul tapak kondominium yang runtuh itu adalah sebidang tanah premium di Kuala Lumpur, tidak harus dibiarkan begitu sahaja dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Memang kena sangat jika satu bentuk perumahan mampu milik dibangunkan di kawasan itu. Sesiapa sahaja sudah tentunya mengimpikan sebuah rumah yang dibina di satu kawasan eksklusif, dikelilingi rimba hijau dan terletak di lereng bukit.

Walau bagaimanapun jika kawasan tersebut tidak selamat dan sentiasa terdedah kepada bahaya, ditambah lagi dengan peristiwa hitam yang pernah berlaku 23 tahun lalu tidak akan ada sesiapapun yang mahu berpindah ke situ.

Kalaupun mereka terpaksa tinggal di situ, peng­huni tidak akan dapat tidur lena memikirkan pelbagai kemungkinan termasuk bencana buruk berulang.

Sekalipun ada laporan atau kajian alam sekitar terbaharu menyatakan kawasan tersebut sudah selamat diduduki, belum tentu akan ada orang yang mudah mempercayainya.

Kejadian kondominium runtuh yang menggemparkan negara itu belum hilang daripada ingatan dan terus menghantui rakyat di negara ini khususnya penduduk di Hulu Kelang.

Malah para penduduk di sekitar kawasan tersebut sudah ber­ulang kali mendesak agar dua lagi blok kondominium terbiar dirobohkan.

Selain menjadi sarang penjenayah dan penagih dadah, mereka juga bimbang musibah tersebut berlaku sekali lagi.

Langkah kerajaan baharu mahu menyelesaikan isu perumahan rakyat terutama bagi golongan tidak berkemampuan amat dipuji tetapi pelaksa­naannya tidak dapat tidak mesti mengambil kira faktor-faktor berkaitan lokasi, ke­selesaan dan yang paling penting sekali ke­selamatan penghuni.