“Di sinilah negara tempat kita lahir, tempat kita bertatih semasa kecil, bersekolah dan membesar dan mencari rezeki sebagai orang dewasa dan apabila sampai waktunya kita akan bersemadi di tanah tumpah darah kita,” kata Najib.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita perlu sama-sama menerima hakikat bahawa kedaulatan dan reputasi negara terus diuji. Kita telah melaluinya pada akhir 1990-an. Kali ini ujian ini begitu petir. Pada Mac 2013, negara diceroboh oleh pengganas asing iaitu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Tiga tahun lalu kita dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370. Ia turut menguji daya tahan serangan imej pelbagai pihak luaran ke atas Malaysia. Baru-baru ini ada pihak menggunakan hospitaliti mesra Malaysia sebagai medan untuk melakukan pembunuhan, sekali gus cuba mencabarkan kedaulatan negara.

Saya tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. Katanya, satu perkara yang perlu diterima semua pihak meskipun sesetengah parti dan kumpulan enggan menerima karisma kepimpinan negara, Malaysia bukanlah sebuah negara yang gagal.

Malaysia sebuah negara yang berjaya dan akan lebih berjaya lagi jika rakyat boleh memperkukuhkan semangat cintakan negara. Negara dan kepimpinan negara masih berupaya menarik pelaburan asing. Pelaburan dari Arab Saudi antara bukti. Ada juga yang mengatakan pelaburan China akan menggadai kedaulatan negara. Ini bukan kali pertama negara menerima pelaburan asing. Pelaburan asing datang ke Malaysia sejak negara merdeka.

Irmohizam mengajak kita berfikir mengapa ia menjadi satu isu besar sehingga meng­gambarkan Malaysia “juara ra­suah”, di mana ia secara langsung menjejaskan imej dan reputasi negara. Memberi fakta tidak benar menunjukkan kita sanggup menjaja imej negara dengan mendatangkan gambaran buruk. Adakah ini yang kita mahukan? Adakah generasi seperti ini yang harus mewarisi negara?

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia itu berharap ma­sya­rakat mengambil kira apa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam mesej pelancaran Ekspresi Negaraku Malaysia. Iaitu kita perlu melahirkan rak­yat yang mempunyai nilai-nilai murni, yang sejajar dengan prinsip Rukun Negara.

Najib berkata contoh terbaik dalam menunjukkan perasaan kasih sayang terhadap negara apabila rakyat bersatu padu mem­pertahankan imej negara ke­tika ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

“Kita adalah patriot bila kita sebagai penjawat awam bekerja dengan bersungguh-sungguh dan beri khidmat bakti kepada rakyat. Kita adalah patriot jika sebagai pendidik, kita mengajar anak-anak di bilik darjah dengan penuh kasih sayang dan dedikasi. Kita patriot bila sebagai ibu bapa mendidik anak dengan penuh kesempurnaan,” kata beliau.

Pada Irmohizam, kita selalu bercakap mengenai nilai-nilai integriti, jika gagal diamalkan, menjurus kepada jenayah ra­suah, tindakan tidak bermoral dan penyelewengan. Kita ku­rang menekankan nilai-nilai in­tegriti yang menekankan budaya murni dan patriotik perlu dititikberatkan.

Sejumlah isu dan masalah yang dilalui sejak dua dekad lalu dengan sendiri menunjukkan pentingnya aspek semangat patriotisme dan tadbir urus yang baik diberi perhatian. Pemimpin muda itu yakin TN50 akan membawa kita ke arah itu.

Ajar ilmu keselamatan air

Kejadian mati lemas memba­bitkan kanak-kanak pada setiap tahun sama ada meningkat atau tidak – itu soal lain sehingga tragedi itu menimpa keluarga kita. Ketika itu mungkin baru kita akui kepentingan belajar renang dan tahu ilmu keselamatan air.

Dalam e-mel Dr. Tengku Fa­dilah Tengku Kamalden berkaitan artikel tentang belajar berenang (Mingguan Malaysia, 19 Mac 2017), beliau memberitahu berita kes lemas memang sentiasa menghantunya kerana insiden kematian sebegitu memang boleh dielakkan jika ada ilmu keselamatan air.

Pensyarah Jabatan Kajian Sukan, Universiti Putra Malaysia itu bukan calang-calang orang. Beliau juga adalah Pengerusi, International Society of Performance Analysis of Sport Asia, Pegerusi, National Coaching Academy, Malaysia.

Saya ketengahkan pandangan yang dilontarkannya. Kata Tengku Fadilah, sama seperti kita mendidik anak mengenai keselamatan lalu lintas bagi mengelakkan kecelakaan di jalan raya. Memang kurang sangat kanak-kanak Melayu Islam di Malaysia yang tahu berenang. Terlalu kurang usaha dan terlalu bergantung kepada nasib dan takdir bila kelemasan berlaku.

Hakikat sebenarnya seorang yang tahu berenang pun akan lemas sekiranya beliau tidak ada ilmu keselamatan air. Ilmu keselamatan air tidak semestinya memerlukan seseorang ke kolam renang.

Ilmu keselamatan boleh diajar di sekolah sebagai aktiviti dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan atau dalam subjek kokurikulum. Namun tidak begitu yang berlaku.

Ilmu keselamatan air mengajar cara berwaspada bila berdekatan atau berada di dalam air. Perkara yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan di air seperti menghulurkan kayu, baju, pelepah kelapa atau membuat pelampung dengan baju.

Sekiranya berkesempatan ke dalam air, boleh diajar kemahiran apungan (floating) kerana apungan sebenarnya yang boleh menyelamatkan seseorang. Seorang yang boleh berenang dari satu tempat ke satu tempat yang lain (contoh dinding kolam ke dinding kolam yang lain) tanpa kemahiran untuk terapung masih berisiko untuk lemas.

Namun subjek keselamatan air tiada dalam kurikuklum, malah kini tempoh waktu pengajaran subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan digabungkan untuk dipendekkan jadual kelas.

Sesungguhnya bila ada insiden kecemasan di air, ia adalah soal hidup dan mati, bukan seperti naik basikal.. bila jatuh, mungkin hanya terseliuh atau luka. Statistik telah menunjukkan bahawa mangsa lemas yang paling ramai adalah di bawah umur 15 tahun dan juga lelaki. Fikirkan…