Jika satu ketika dahulu raja buah itu pernah dijual secara longgok atau 50 sen sekilo tetapi sekarang permintaan untuk durian semakin tinggi dan boleh dika­tegorikan sebagai makanan mewah

Kini, durian yang belum luruh sudah ditempah lebih awal dan pekebun boleh berasa lega apabila durian baka Musang King, Black Thorn, Teka dan Udang Merah mendapat permintaan tinggi dari peniaga.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini memberi isyarat jelas, jika ada tanah tanamlah durian. Kalau tidak, carilah tanah dan tanamlah durian, sudah tentu pesanan ini harus direbut oleh mereka yang mahu menjana kekayaan melalui industri baharu ini.

Ahmad Shabery turut berkongsi pengalaman yang beliau setiap hari menerima panggilan telefon daripada orang ramai yang merungut dengan kenaikan melampau harga durian.

Ada pengguna juga yang cadangkan supaya diper­kenalkan harga siling bagi buah durian seperti yang dibuat terhadap beberapa produk lain seperti ayam dan ikan setiap kali menjelang musim perayaan. Namun beliau ada pandangan tersendiri.

Rupa-rupanya beliau tidak kisah langsung kalau durian naik harga tetapi sangat risau kalau durian tidak ada harga memandangkan durian adalah satu industri yang sedang membangun.

Kini, boleh dikatakan jika penggemar durian mampu menikmati hidangan Musang King dan Black Thorn, mereka dikategorikan sebagai ‘orang ada-ada’ kerana gred tersebut dianggap premium memandangkan harganya yang telah mencecah ratusan ringgit.

Jika hendak difikirkan memanglah tidak mati pun kalau tidak makan durian premium tersebut. Tetapi kehendak untuk menikmati buah durian isi kuning dengan biji kempis itu seakan satu kepuasan atau nikmat kepada pencinta durian.

Tidak perlu berasa rendah diri kalau kita hanya mampu makan durian kampung sebab durian kampung sekarang sudah banyak yang diklon dan rasanya juga tidak kurang hebatnya. Ada yang lemak, ada yang manis dan ada yang pahit. Pendek kata, durian sekarang sudah melalui satu transformasi hebat dan sentiasa menjadi buruan ramai.

Boleh dikatakan durian Siam sekarang sudah kurang mendapat sambutan sebab harapkan buahnya sahaja yang besar tapi isinya tawar dan tak ‘menggiurkan’ se­perti buah durian Malaysia.

Untuk merealisasikan hasrat kerajaan beralih kepada tanaman durian, kerajaan negeri, Felda, Felcra dan RISDA seharusnya memanfaatkan tanah-tanah terbiar atau tanaman yang semakin kurang mendatangkan hasil se­perti kelapa sawit kepada penanaman durian.

Permintaan yang cukup tinggi bukan sahaja datang dari kalangan rakyat tempatan, sebaliknya China disasar menjadi pengimport utama durian yang dalam bentuk produk seperti minuman, coklat, pes dan aiskrim.

Dalam hal ini, untuk menembusi pasaran ke China, Malaysia perlu memenuhi syarat-syarat protokol pengeksportan durian sejuk beku bersama negara itu.

Bagi menjamin kualiti buah, nilai yang ditetapkan perlu sepadan dengan kualiti rasa buah tersebut dan faktor itu menjadi penentu kepada kenaikan harga durian di pasaran tempatan.

Kenaikan harga durian di pasaran tempatan turut dipengaruhi oleh pengeluaran yang terhad disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu, permintaan meningkat daripada pasaran Singapura, Hong Kong dan China, permintaan terhadap produk hiliran seperti aiskrim, tempoyak, coklat dan produk berasaskan durian dan permintaan dalam bentuk durian segar ekoran peningkatan pelancong dari China ke Malaysia.

Sebagai agensi bertanggungjawab, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bersedia untuk menstabilkan harga pasaran khususnya di peringkat ladang bagi memudahkan petani membawa hasil buah-buahan mereka.

FAMA dan usahawan di bawahnya akan membeli terus buah-buahan melalui pusat-pusat pengeluaran utama di samping pembeli swasta. Setakat ini sebanyak 35 daerah utama pengeluaran durian telah dikenal pasti bagi mewujudkan pusat-pusat belian.

Dengan menyasarkan belian sebanyak 500 tan metrik durian kampung dan 300 tan metrik durian klon yang bernilai RM4 juta pada tahun ini, memang amat wajar orang ramai merebut peluang untuk memilih penanaman durian pada masa hadapan.

Jika anda bukan seorang penggemar durian sebab tidak tahan dengan baunya, tolaklah ke tepi masalah tersebut kerana ‘bau duit’ durian tersebut lebih menarik untuk difikirkan.