Kebobrokan ekonomi di AS sudah jelas apabila mereka hanya memperkayakan golongan bourgeoisie dalam pada berterusan meminggirkan golongan murba terutama yang rentan. Jika kita meneruskan dengan TPPA, tentu sahaja sistem ekonomi negara akan dijangkiti juga barah yang membusung di AS. Selepas bersilat dengan penarikan AS daripada TPPA, timbul pula Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang antara lain memperuntukkan kawalan ke atas monopoli syarikat milik kerajaan (GLC) kepunyaan negara-negara ahli.

Peruntukan di bawah Klausa 17 CPTPP akan memberi kesan yang besar kepada GLC seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Telekom Malaysia (TM) yang selama ini mendapat perlindungan pasaran melalui peruntukan undang-undang negara. Jika CPTPP diteruskan juga, peruntukan undang-undang seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 [Akta 144] akan perlu sedikit sebanyak dipinda bagi memberikan ruang kepada negara-negara ahli CPTPP untuk meneruskan dengan obligasi masing-masing di bawah perjanjian itu.

Walaupun wujud 22 penangguhan sementara kepada CPTPP termasuklah bagi perkara yang melibatkan sektor minyak dan gas tetapi apa yang rakyat Malaysia harus fahami penangguhan ini hanyalah bersifat sementara dan tetap akan diteruskan juga apabila kesemua negara ahli CPTPP bersetuju untuk menerima penuh terma-terma CPTPP. Sudahkah Malaysia sebagai sebuah sistem ekonomi global mampu untuk bersaing dengan pasaran CPTPP?

Keburukan perjanjian ekonomi global terutama yang melibatkan AS sudahpun terbukti oleh Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang melihat bagaimana akhirnya negara-negara ahli langsung berantakan dan mengubah polemik sosial mereka.

Sebagai contoh, NAFTA antara punca pekerja dari Mexico mendapat tempat dalam pasaran AS namun akhirnya mereka dikatakan sebagai pencuri pekerjaan rakyat AS. Penyudahnya, migran haram dari Mexico dihantar balik dalam proses deportasi besar-besaran dek kerana tanggapan rakyat AS yang melihat pekerja Mexico sebagai punca masalah sosial mereka. Sedangkan ekonomi AS ditampung berat hasil titik peluh pekerja haram ini. Adakah Malaysia sudah lahap benar untuk mengulang masalah ini di Malaysia?

Sedangkan tanpa pelaksanaan CPTPP sekalipun, masalah migran negara sudah meruncing. Apakah Malaysia bersedia untuk menerima kesan membuka pasaran ekonomi kepada buruh luar? Sedangkan golongan rentan seperti komuniti tidak bernegara di Malaysia masih terpekik lolong meminta bantuan dan pengiktirafan.

Begitu juga dengan isu ekonomi lain yang bercambah pesat. Baru-baru ini timbul pula cadangan oleh timbalan menteri kesihatan untuk mewujudkan sistem insurans kesihatan bagi golongan B40. Jika pun pada luarannya cadangan ini kelihatan selamat kerana kerajaan akan memberikan perlindungan insurans secara percuma kepada B40 namun hakikatnya sekiranya cadangan ini diteruskan, langkah ini hanyalah permulaan kepada penghapusan sistem penjagaan kesihatan yang disubsidi hampir keseluruhannya oleh kerajaan Malaysia.

Tanpa mendalami cadangan ini, kita hanya akan dibuaikan dengan perkataan ‘percuma’, walhal harga yang rakyat perlu langsaikan di masa depan teramatlah tinggi. Sistem yang menggunakan perlindungan kesihatan sejagat di Malaysia buat masa ini adalah antara yang diakui terbaik di dunia. Kadar kematian maternal menyusut 89% antara 1963 hingga 2013 dan jangka hayat di Malaysia meningkat kepada 75 tahun. Ini adalah pencapaian yang baik bagi sistem penjagaan kesihatan negara dan haruslah dipelihara dan ditambah baik lagi.

Dengan memasukkan elemen perlindungan insurans kepada golongan B40, sistem yang berjalan baik ini akan mula dihakis sedikit demi sedikit sehinggakan akan tiba masa apabila sistem kesihatan negara akan menyerupai keadaan di AS, di mana rakyat sejak 2017 mula bangkit untuk menuntut lebih banyak subsidi diberikan kepada penjagaan kesihatan mereka. Apakah keperluan Malaysia meniru sistem yang sudah terbukti bobrok, busuk dan menunggu masa untuk mati di AS?

Kerajaan yang dilantik dengan mandat majoriti rakyat Malaysia haruslah bijak mengimbangi antara tuntutan pasaran global dan keperluan menjaga amanah dan kebajikan rakyat negara ini. Jangan dek kerana tergila-gila menjarah pembangunan sehinggakan rakyat tergadai.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.