‘Inklusif’ adalah satu terma yang tidak boleh dipisahkan dengan segmen ekonomi digital.

Bagi maksud kepenggunaan inklusif ini, rakyat Malaysia perlu mengambil tahu ruang lingkup definisi ekonomi digital ini dalam kehidupan seharian.

Melihat kepada perkembangan semasa, kita sebenarnya telah pun memulakan langkah-langkah kepenggunaan segmen ekonomi digital ini sebaik sahaja memulakan hari seperti membaca akhbar di alam maya, penggunaan perkakasan teknologi pintar di rumah dan lain-lain.

Segmen ekonomi digital ini banyak berkait rapat dengan revolusi Industri 4.0 yang menekankan tentang aspek automasi dan Internet of Things (IoT) hampir dalam kesemua aspek kehidupan. Ini termasuklah penekanan kepada kesepaduan data, peranti dan gajet pintar serta kaitannya de­ngan internet dan aktiviti harian manusia di peringkat global.

Dasar IoT dalam aspek mencipta keuntungan misalnya tidak lagi bergantung kepada bentuk fizikal sesebuah perniagaan, sebaliknya banyak menggunakan kreativiti da­lam perniagaan.

Sebagai contoh, syarikat Airbnb tidak menyediakan rangkaian tempat penginapan tersendiri di bawah jenamanya tetapi menyedia platform di alam maya bagi individu yang ingin menawarkan tempat penginapan dan individu yang berminat untuk menyewanya. Di sinilah kita melihat unsur-unsur kritis digabung jalin bagi memanfaatkan peluang ekonomi.

Melihat dari segi perkembangan semasa dalam negara, boleh dikatakan Malaysia masih berada dalam revolusi Industri 2.0 dan 3.0 yang menekankan tentang penggunaan aspek buruh yang berkemahiran rendah namun dalam masa sama berusaha mengejar rapat dalam konteks pembangunan informasi dan teknologi.

Ini dapat dilihat melalui permintaan perkembangan ekonomi semasa yang berlaku seperti pergantungan kepada buruh asing separa mahir, rangkaian internet yang masih boleh dipertingkat dan kesedia­an masyarakat itu sendiri dalam mengoptimum aspek pendigitalan dalam aktiviti kehidupan mereka.

Walau bagaimanapun, ke­adaan ini seharusnya tidak menjadi halangan untuk kita terus mengorak langkah dalam aspek pengukuhan ekonomi digital. Ini kerana, bagi Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, jaringan perhubungan antarabangsa amat penting bagi memastikan ketahanan dari segi ekonomi, keselamatan dan kedaulatan negara.

Dari perspektif ekonomi Islam semasa, segmen ekonomi digital banyak membahaskan tentang kepenggunaan teknologi dan digital dalam aspek perbankan dan kewangan Islam.

Aspek ini penting kerana melibatkan penjanaan modal dan pelaburan di peringkat antarabangsa terutama di antara negara yang mengamalkan sistem ekonomi konvensional dengan negara yang menawarkan sistem ekonomi Islam.

Bahkan Malaysia juga merupakan salah satu gergasi dalam perkembangan kewangan Islam dunia. Maka, jalan pertengahan untuk perkembangan industri ini adalah melalui alam maya dan segmen ekonomi digital yang kukuh boleh membantu Malaysia untuk lebih maju.

Justeru, di antara langkah pen­ting untuk di­ambil bersekali dengan tindakan ke arah peng­ukuhan segmen ekonomi digital di peringkat negara adalah pertamanya tentang dasar inklusif ekonomi digital.

Inklusif ini bermaksud kesemua lapisan masyarakat mendapat akses sekurang-kurangnya pada tahap tertentu terutama perkara yang melibatkan IoT.

Kumpulan berpendapatan rendah, warga tua dan orang kurang berupaya seringkali terpinggir dalam pelan pembangunan begini kerana keterbatasan keupayaan mereka baik dari segi kewangan mahupun biologikal.

Justeru, penglibatan mereka dalam segmen ini perlu ditingkatkan.

Kedua adalah tentang pemerkasaan kepada skil dan kemahiran serta sikap kepada teknologi dan pendigitalan.

Masih terdapat segelintir masyarakat yang takut kepada penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam kehidupan seharian dan memilih untuk terus menggunakan pendekatan tradisi­onal.

Tidak salah bersikap begini kerana setiap individu mempu­nyai pilihan, namun, penggunaan teknologi membantu manusia untuk mendapat hasil yang berkualiti dengan lebih banyak dan pantas.

Penawaran peranti pintar di pasaran dan rangkaian internet yang terhad dan kosnya tinggi semata-mata dilihat kurang membantu menggerakkan sikap yang lebih positif kepada teknologi.

Sebaliknya, aspek latihan kepada teknologi dengan kadar lebih munasabah dan jaringan internet lebih murah dan meluas perlu ditawarkan terutama kepada kumpulan sasar bagi memupuk sikap lebih terbuka terhadap penggunaan teknologi dan memastikan golongan ini tidak ke­tinggalan untuk bersama-sama dengan masyarakat lain.

Ketiga adalah pemerkasaan dan persediaan negara berkaitan ancaman siber. Dengan perkembangan pesat dalam bidang informasi dan teknologi, ancaman siber juga memberi persaingan yang hebat dan sengit.

Pengabaian kepada ancaman begini boleh membawa kepada kerosakan besar-besaran baik terhadap individu mahupun negara kerana segmen ekonomi digital sangat berkait dengan data-data terkumpul dan bersepadu. Justeru, aspek pengawalan dan penyeliaan siber perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Ini termasuklah penghasilan sistem sekuriti yang baik, garis panduan keselamatan, pengawal seliaan dan kepantasan pihak berkuasa dalam mengambil tindakan menyekat penularan ancaman siber yang sedang mahupun bakal berlaku.

Ekonomi digital adalah satu perkembangan terkini dalam ekonomi yang tidak harus ditakuti atau dijauhi.

Bahkan segmen ini boleh memberi jalan keluar kepada banyak pihak terutama graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan, suri rumah, penjaga orang kurang upaya dan lain-lain untuk menjana pendapatan menerusi platform yang kreatif dan berbeza serta selesa.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).