Pada hemat penulis, gelaran yang diberikan kepada ekonomi digital ini sebagai teknologi yang mengganggu adalah kurang tepat apatah lagi jika dibandingkan dengan kuasa dan potensi besar yang dibawakan oleh teknologi ini. Kuasa dan potensinya telah membawa banyak perubahan bukan sahaja kepada cara me­nguruskan sesebuah perniagaan malah cara hidup seseorang turut terkena tempiasnya.

Sebagai contoh, kemunculan teksi Uber dan Grab telah me­ngubah cara lama pengangkutan awam yang berasaskan teksi dan kereta sewa. Begitu juga dengan industri perhotelan yang menerima kesan hebat akibat kemunculan konsep baharu pengurusan melalui agen-agen seperti Agoda, Traveloka, Trivago dan sebagai­nya.

Suka ataupun tidak, konsep perniagaan baharu berasaskan ekonomi digital ini telah melebarkan sayapnya kepada sebahagian besar profesion pekerjaan lain yang sesuai dengan konsep sumber terbuka, saluran penghantaran yang lebih cekap dan me­ngoptimumkan sumber sedia ada. Satu daripada profesion pekerjaan yang turut menerima tempiasnya adalah perakaunan.

Perkara ini diakui sendiri oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang bertanggungjawab mengawal selia dan membangunkan profesion perakaunan di Malaysia. Baru-baru ini, MIA telah me­nubuhkan Pasukan Petugas Khas Ekonomi Digital bagi menyediakan ahlinya untuk berdepan perubahan pendigitalan dalam profesion perakaunan.

MIA secara berterusan dilihat berusaha untuk mengukuhkan profesion perakaunan dengan membangunkan bilangan akauntan yang berkualiti dan profesional. Usaha ini penting bagi menyokong kedudukan ekonomi dan daya saing negara.

Dalam konteks ini, MIA telah menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi oleh profesion perakaunan akibat gangguan teknologi yang telah muncul eko­ran ekonomi digital. Antara cabarannya adalah bidang perakaunan itu sendiri yang semakin berasaskan awan dan diupayakan oleh data raya.

Akauntan berdepan cabaran mengurus dan mengaudit transaksi yang jumlahnya berjuta-juta pada satu-satu masa di sam­ping perlu menyediakan laporan kewangan secara lebih cekap dan lebih pantas. Dalam bidang pe­ngauditan, tatacara dan prosedur kerja audit turut terkena impak akibat pendigitalan ini. Secara tradisional, proses pengauditan dilakukan dengan memberikan jaminan berasaskan munasabah.

Namun, teknologi baharu dan pintar ini telah mengubah perkara ini dengan membolehkan juruaudit memberikan jaminan mutlak berdasarkan keupayaan mereka untuk memeriksa semua transaksi aktiviti ekonomi yang terlibat dengan cepat dan cekap.

Teknologi pintar ini juga mem­bolehkan proses pengauditan dilakukan dengan lebih sistematik dan dibuat pada masa nyata. Hal ini kerana juruaudit mempunyai akses yang luas dan tepat pada masa sesuatu transaksi perniagaan dilakukan. Ini mem­bolehkan pengauditan dijalankan pada masa nyata. Penyediaan laporan audit dapat dibuat dengan cepat dan serentak dengan proses audit yang dilakukan.

Para akauntan juga berdepan dengan cabaran lain seperti perlu terus meningkatkan pengetahuan profesional mereka, memahami lebih terperinci mengenai proses automasi dan metodologi dan kecenderungan terhadap pergantungan yang besar ke atas risikan.

Peralihan ini datang dengan permintaan yang semakin meningkat untuk akauntan untuk mempu­nyai pengetahuan tinggi mengenai teknologi baru yang bersifat fleksibel dengan pemikiran kritis dan kemahiran untuk mentafsir data.

Selain ‘mengganggu’ profesion perakaunan, ada juga bahagian dalam teknologi baharu dan pintar ini yang membawa kesan tersendiri atas dasar sifatnya yang tidak bersempadan dan desentralisasi. Mungkin, ia dianggap oleh sesetengah pihak sebagai me­ngganggu kerana ia mencabar bukan hanya model operasi dan protokol perakaunan semasa, tetapi ia juga cuba untuk memutuskan sambungan manusia dari hierarki kuasa terpusat.

Tanpa kita sedari, kebanyakan teknologi baharu ini sedang berusaha untuk mendeskripsikan manusia dari struktur kekuasaan terpusat. Agenda desentralisasi sangat jelas jika kita meneliti teknologi ini dari perspektif yang bertentangan. Ia memberi kuasa kepada sesiapa sahaja untuk mengawal selia atau ia boleh me­ngambil kuasa dari semua orang untuk mengawal selia.

Dalam menghadapi cabaran ini, akauntan disaran supaya membuat anjakan paradigma dalam peranan dan cara mereka melaksanakan sesuatu tugas. Langkah MIA yang memulakan usaha untuk membangunkan pendidikan berorientasikan digital dalam kalangan akauntan adalah sangat baik. Universiti Utara Malaysia (UUM) juga telah mengambil langkah bersepadu dalam melahirkan graduan perakaunan yang holistik dan bersifat global bagi menghadapi cabaran ini.

Kesimpulannya, bagi penulis, ekonomi digital memberi kesan yang baik dan mencabar profesion perakaunan untuk turut berubah. Ia seharusnya tidak dilihat dalam satu konteks yang mengganggu sahaja. Ia harus men­jadi sumber motivasi dan inspirasi buat semua akauntan dan bakal akauntan. Ia sepatutnya menjadi galakan untuk menjadikan profesion perakaunan dan lain-lain profesion ke arah yang lebih baik.

Penulis sangat yakin bahawa kita mampu untuk berhadapan dan menerima teknologi-tek­nologi baharu seperti yang kita lakukan pada masa lalu, ter­utamanya sejak berlakunya revolusi perindustrian yang pertama.

PROFESOR MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD ialah Bendahari Persatuan Perakaunan Malaysia (MyAA) dan pensyarah di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan 
Safinaz (TISSA-UUM), Universiti 
Utara Malaysia (UUM).